KEUTAMAAN AMALAN ISTIQAMAH

Al-Quran dan sunnah ada menjelaskan perihal pelbagai peringkat dan tahap amalan manusia disisi Allah s.w.t. Al-Quran juga menjelaskan perbuatan yang paling mulia dan paling Allah s.w.t. cintai berbanding dengan perbuatan-perbuatan lain. Allah s.w.t. menerangkan dalam surah At-Taubah, ayat 19 hingga 20 yang bermaksud:

“Adakah kamu sifatkan perbuatan manusia memberi minum kepada orang yang mengerjakan haji, dan memakmurkan Masjidil Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta jihad pada jalan Allah? Mereka tidaklah sama di sisi Allah dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim. Orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar darjatnya di sisi Allah dan mereka itu adalah orang yang berjaya.”

Dalam sebuah hadith sahih Rasulullah ﷺ menyebut, “Iman mempunyai 60 ataupun 70 lebih cabang. Antara cabang yang tinggi adalah la ilaha illallah. Antara cabang yang paling rendah adalah membuang gangguan di jalan.”

Ini menunjukkan, peringkat iman itu pelbagai nilai dan peringkat. Peringkat itu tidak dilakukan secara membuta tuli, tetapi didasari oleh nilai-nilai dan dasar yang perlu dipatuhi. Antara ukuran iman adalah amalan yang berterusan. Mereka yang melakukan amalan secara berterusan dan dengan penuh disiplin berbeza dengan amalan yang dilakukan sekali-sekali hanya pada waktu tertentu.

Dalam hadith lain Rasulullah ﷺ menyebut, “Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” Selain itu, Imam Al-Bukhari dan Muslim merekodkan, daripada Masruq, beliau bertanya kepada Saiditina Aisyah r.a., “Apakah amalan yang paling dicintai oleh Nabi ﷺ?” Saiditina Aisyah r.a. menjawab, “Amalan yang berterusan.”

Terdapat juga laporan daripada Saiditina Aisyah r.a., Nabi s.a.w. masuk ke dalam rumahnya. Pada ketika itu, beliau sedang bersama seorang wanita. Nabi ﷺ bertanya, “Siapakah wanita ini?” Saiditina Aisyah r.a. menjawab, “Polanah yang terkenal dengan solat (banyak melakukan solat).” Nabi s.a.w. berkata, “Aduh, lakukan sahaja perkara yang kamu mampu lakukan. Demi Allah, Allah tidak bosan sehingga kamu sendiri berasa bosan.” Saiditina Aisyah r.a. berkata, “Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah yang sentiasa dilakukan oleh pelakunya.”

Perkataan „aduh‟ dalam hadith menunjukkan perasaan Baginda mengenai beban berat dalam beribadah. Ia termasuk membebani diri di luar batas kemampuan. Baginda menginginkan amalan yang sedikit, tetapi dilakukan secara berterusan. Melakukan ketaatan secara berterusan sehingga banyak keberkatan diperoleh, berbeza dengan amalan yang banyak, tetapi memberatkan. Amalan yang sedikit, tetapi berterusan pasti tumbuh mengalahkan amalan yang banyak dilakukan dalam satu waktu.

Terdapat satu perbahasan terkenal, “Sesuatu yang sedikit tetapi berterusan lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi terputus.” Itu yang menyebabkan Nabi s.a.w. mengingatkan orang yang terlalu berlebihan dan keras dalam menjalankan agama. Baginda bimbang, orang itu berasa bosan dan kekuatan bertukar menjadi lemah. Ini kelemahan yang terdapat pada diri manusia. Dia pasti terputus di tengah jalan.

Rasulullah ﷺ berkata, “Hendaklah kamu melakukan amalan yang mampu kamu lakukan. Ini kerana, Allah tidak bosan sehingga kamu sendiri menjadi bosan.” Baginda ﷺ juga berkata, “Ikuti petunjuk yang sederhana kerana orang yang keras menjalankan agama pasti dikalahkan oleh agama itu.”

Buraidah melaporkan, pada suatu hari, beliau keluar untuk suatu keperluan. Kebetulan, pada saat itu beliau berjalan bersama-sama Nabi .ﷺ Di hadapan mereka terdapat seorang lelaki yang memanjangkan rukuk dan sujudnya. Nabi s.a.w. berkata, “Apakah kamu lihat orang itu berkelakuan riak?” Beliau menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.” Kemudian, Baginda melepaskan tangan beliau dan membetulkan kedua-dua tangan orang itu, serta mengangkatnya sambil berkata, “Ikuti petunjuk yang pertengahan.”

Sahl bin Hunaif melaporkan, Rasulullah s.a.w. berkata, “Jangan kamu menyusahkan diri sendiri. Ini kerana, orang sebelum kamu binasa kerana mereka membebankan dan memberatkan diri mereka sendiri. Kamu masih dapat menjumpai baki golongan itu dalam rumah ibadat mereka.”

Kesimpulannya, kita perlu istiqamah dalam setiap amalan yang kita lakukan, biarpun sedikit namun pastikan ia berterusan. Dalam masa yang sama, berusaha untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti ibadah kita kepada Allah. InsyaAllah dengan sebegini kita mampu menjadi hamba Allah yang baik dan umat Rasullah ﷺ yang disayangi Baginda.

Hairul Nizar bin Mat Zin

Kuliah Syariah Islamiah, Al Azhar Kaherah.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 421

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *