Lailatul Qadar, Bersediakah Kita?

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد صلى الله عليه وسلم وعلى آله وصحبه أجمعين
عن أنس رضى الله تعالى عنه قال دخل رمضان فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم ” ان هذا الشهر  قد حضر وفيه ليلة خير من ألف شهر من حرمها فقد حرم الخير كله ولا يحرم خيرها  الا محروم

رواه ابن ماجه ِ

Mafhumnya: Dari Anas R.a berkata telah masuk bulan Ramadhan, lalu Rasulullah s.a.w bersabda “Sesungguhnya bulan ini telah datang kepada kamu, di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, sesiapa yang terlepas darinya dia telah terlepas daripada segala kebaikan, dan tidaklah terlepas daripada kebaikan melainkan dia benar-benar rugi”.

Siapakah diantara kita yang sanggup melepaskan RM10,000 dengan hanya berkerja semalaman sahaja, seandainya ada diantara kita sanggup melepaskannya dan hanya merasa cukup dengan hanya RM100 sahaja maka dia adalah orang yang benar-benar rugi.
Begitulah seseorang yang terlepas daripada malam yang lebih baik dari seribu bulan pada bulan Ramadhan. Di dalam satu hadith yang panjang Rasulullah s.a.w pernah bersabda “Apabila tiba Lailatul Qadar Allah akan memerintahkan Jibril a.s supaya turun bersama satu kumpulan malaikat bersama mereka terdapat satu bendera hijau. Dia akan memacakkan bendera itu diatas ka’bah. Jibril a.s mempunyai seratus sayap. Diantaranya terdapat dua sayap yang tidak dibuka kecuali pada malam itu sahaja.”

Keadaan Rasulullah s.a.w akan berubah apabila tibanya bulan Ramadhan dengan melipat kali ganda lagi ibadatnya kepada Allah s.w.t sehinggakan baginda seolah-olah melupakan isteri-isterinya.

Begitu juga keadaan para sahabat dalam menggapai keredhaan Allah s.w.t serta untuk mendapatkan Lailatul Qadar pada bulan Ramadhan. Kenapa mereka sanggup berbuat demikian? Pasti ada sesuatu yang telah mereka kecapi kelazatan dalam solat dan ibadah mereka kepada Allah s.w.t. Hal ini kerana seindah-indah perkara yang dituju oleh hamba dan tuhannya ialah kepasrahan dan ketundukan.

Bilakah Lailatul Qadar?

Ayuh kita rungkaikan persoalan ini melalui beberapa garis panduan yang dibekalkan oleh ulama’ kepada kita. Pada pandangan Imam Asy-syafi’ie Lailatul Qadar terkandung di dalam sepuluh yang terakhir. Tetapi malam yang ganjil yang terlebih diharapkan padanya Lailatul Qadar. Bahkan di dalam malam yang ganjil itu beliau mengkhususkan pada malam ke 21 atau malam ke 23 Ramadhan.

Disamping itu, Imam Al-ghazali dan beberapa orang ulama’ berpandangan sekiranya hari permulaan Ramadhan ialah pada hari ahad atau rabu maka Lailatul Qadar pada hari yang ke 29 Ramadhan. Jika hari isnin maka ia adalah pada hari ke 20 Ramadhan. Manakala jika hari pertama Ramadhan ialah hari jumaat maka Lailatul Qadar adalah pada malam ke 27 Ramadhan. Selain itu, sekiranya hari pertama Ramdhan ialah pada hari khamis maka Lailatul Qadar pada hari ke 25 Ramadhan dan sekiranya hari pertama Ramadhan ialah pada hari sabtu maka Lailatul Qadar pada hari ke 23 ramadhan.

Disini jelas kita lihat kenapa Allah merahsiakan kehadiran Lailatul Qadar walhal Rasulullah s.a.w sendiri mengecapinya. Namun Allah s.w.t juga tidak mengizinkan Nabi Muhammad s.a.w mengingati bilakah tarikh tersebut kerana Allah s.w.t ingin melihat siapakah diantara hamba-hambaNYA yang bersungguh-sungguh ingin mengambil hadiah istimewa dariNYA. Cuba kita bayangkan hadiah sudah tersedia dihadapan kita. Hanya tinggal bagaimana reaksi kita terhadap hadiah tersebut?

Mudah-mudahan Allah s.w.t memberkati dan menerima segala amal ibadat kita dan mempertemukan kita semua dengan Lailatu Qadar. Marilah sama-sama kita bertaubat dari segala karat dan kehitaman dosa dan bermunajatlah kepada Allah s.w.t semaksima mungkin agar natijah yang keluar setelah berlalunya Ramadhan adalah natijah yang terbaik.
Wallahu a’lam.

Siti Asiah Binti Mohd Ramli)
Kuliah Bahasa Arab Al-Azhar

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 427

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *