Lailatul Qadar : Satu Ganjaran

Alhamdulillah, kita masih sempat untuk bersua dengan bulan Ramadan pada tahun ini. Ramai antara kita yang telah pergi menghadap ilahi tahun ini sebelum sempat untuk merasai nikmat puasa Ramadan. Jadi syukur hendaklah sentiasa dipanjatkan kepadaNYA agar nikmat ini tidak menjadi sia-sia bahkan disemai dengan amalan yang subur.

Kelebihan Ramadan

Bulan Ramadan ialah bulan yang telah dijanji oleh Allah taala dengan pelbagai keistimewaan. Antara keistimewaan tersebut, pintu syurga dibuka seluas-luasnya manakala pintu neraka ditutup serapatrapatnya. Kelebihan ini telah diakui sendiri oleh baginda Rasulullah S.A.W melalui sabda baginda yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar berbunyi:
اذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة وغلقت أبواب النار وصفدت الشياطين) رواه المسلم

Mafhumnya : Jika datang Ramadan maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan dirantai.Hadith riwayat muslim

Selain tertutup pintu neraka dan terbuka pintu syurga, syaitan juga dibelenggu ketika Ramadan datang bertamu. Makna belenggu yang dimaksudkan di dalam hadith tersebut ialah terputusnya gangguan syaitan terhadap manusia pada bulan. Gangguan syaitan tidak lagi menjadi alasan untuk kita melipatgandakan amalan pada bulan ini.

Malam Lailatul Qadar

Di samping itu, Allah taala telah memberikan umat Islam satu lagi keistimewaan pada bulan ini yang tidak terdapat di bulan-bulan yang lain. Keistimewaan tersebut ialah malam Lailatul Qadar. Menurut sebahagian ulama, penamaan malam ini dengan nama Lailatul Qadar disebabkan padanya ditentukan rezeki seseorang hamba dari tahun ke tahun. Ramai di antara kita masih tertanya-tanya apakah kelebihan yang ada pada malam ini?

Jawapannya terkandung di dalam surah Al-Qadr yang sering kedengaran bacaannya di corongcorong masjid apabila menceritakan tentang kelebihan malam ini. Surah tersebut menceritakan dengan jelas bahawasanya bulan ini lebih baik daripada 1000 bulan. 83 tahun bukanlah angka yang sedikit kerana rata-rata antara kita tidak sempat mencecah 80 tahun sudah kembali dijemput ilahi. Rugilah kita jika masih lagi lengah dalam merebut peluang ini sedangkan amalan sudah tidak seberapa. Namun pasti ada yang menyoal bilakah malam tersebut?
Bilakah Lailatul Qadar ?
Bagi menjawab persoalan ini marilah kita meneliti apa yang disebut oleh Sultonul Ulama Izzuddin Bin Abdul Salam di dalam kitabnya berjudul Maqasid Soum :
“ Lailatul Qadar berada di dalam 10 terakhir daripada bulan Ramadan. Malam tersebut lebih dekat kepada angka yang ganjil daripada genap. Zhohirnya malam Lailatul Qadr jatuh pada 21 haribulan Ramadan kerana Rasulullah S.A.W telah melihatnya kemudian dilupakan”.

Sebahagian ulama mengatakan malam Lailatul Qadar jatuh pada malam 27 haribulan. Hal ini kerana telah datang riwayat daripada Abu

Hurairah berkata : تذاكرنا ليلة القدر عند رسول الله فقال (أيكم يذكر حين طلع القمر وهو مثل شق جفنة) رواه المسلم

Mafhumnya : Kami saling mengingati antara kami tentang malam lailatul qadr di sisi Rasulullah kemudian Rasulullah bersabda : Siapa diantara kamu yang ingat ketika terbit bulan dalam keadaan bentuknya seperti separuh mangkuk. Hadith riwayat Muslim

Apa yang difahami daripada hadith di atas ialah malam Lailatul Qadar terjadi ketika bulan kelihatan seperti separuh mangkuk. Bentuk tersebut tidak sesekali akan muncul kecuali pada hari yang ke 21, atau 27. Kesimpulannya, malam Lailatul Qadar terletak di dalam sepuluh akhir Ramadan tetapi sebahagian ulama mengkhususkan pada hari yang ke 21 dan sebahagian lagi hari yang ke 27. Jadi alangkah baiknya jika kita dapat membuat pecutan terakhir pada kesepuluh malam terakhir sebelum garisan penamat moga-moga kita dinobatkan di dalam kalangan pemenang ketika berakhirnya Ramadan.

Disunatkan bagi mereka yang melihat malam tersebut untuk memperbanyakkan doa dan puji kepada Allah. Doa yang dianjurkan untuk dibaca pada malam itu : . اللهم انك عفو كريم تحب العفو فاعف عني Permintaan seorang hamba pada malam tersebut sangat mustajab, doakanlah kebahagian kita di dunia lebih-lebih lagi di akhirat sana.

Akhir kata, jadikanlah bulan ini sebagai satu madrasah yang mendidik kerohanian kita mogamoga apabila kita keluar daripada madrasah ini kita akan menjadi insan yang benar-benar bertakwa kepada Allah.

Khairul Faris Bin Abdul Aziz,

Kuliah Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 426

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *