LIBERALISME: VIRUS PEMIKIRAN UMAT ISLAM

Firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya, akan Kami isi neraka jahanam banyak daripada kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak digunakannnya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakannya untuk mendengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (Surah Al-A’raf:179)

Hari ini, kita menyaksikan pelbagai wabak akal dan rohani yang jarang dilihat sepanjang sejarah ketamadunan Islam. Pada awalnya, telah wujud usaha penjajahan untuk melumpuhkan kekuasaan ekonomi dan politik, tetapi masih gagal melumpuhkan akidah umat Islam. Namun, hasil kajian para orientalis selama beratus tahun ternyata membuahkan hasil. Ini adalah titipan ringkas untuk dibaca, dikaji dan difahami bagi mengetahui susur jalur perkembangan pemikiran liberalisme ini.

Maksud Liberalisme

Perkataan ‘Liberty’ dan ‘Freedom’ dari segi Bahasa bermaksud keadaan yang bebas. Liberty /Freedom(Liberalisme) adalah fahaman yang menegaskan kebebasan yang tabii bagi manusia. Makna Liberalisme dari segi bahasa atau lebih tepatnya ‘Liberty’ adalah bertentangan dengan perhambaan, penindasan dan keadaan tertawan.

Dari sudut agama Islam, telah tercatat bahawa manusia adalah hamba kepada Tuhan. Hakikat ini tidak mungkin dapat dihapuskan. Manusia tidak mungkin bebas daripada tuhan, kerana kewujudan manusia selamanya bergantung kepada Tuhan. Oleh kerana itu, agama(Din) menurut Syed Muhammad Naquib Al-Attas ialah keberhutangan(Indebtedness).

Ancaman Islam Liberal

Antara prinsip-prinsip yang mencirikan Islam liberal adalah:

1-Penerimaan sepenuhnya terhadap sekularisme dan nilai-nilai barat.

2-Kebebasan berijtihad dan penolakan terhadap autoriti ulama.

3-Merombak (dekonstruksi) hukum Islam (Syariah).

4-Tiada dakwaan kebenaran (realitivisme kebenaran).

5-Pluralisme agama (Kepercayaan semua agama adalah benar).

Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas telah merumuskan tiga faktor yang menyebabkan berlakunya krisis tersebut:

1-Kekeliruan serta kesilapan memahami ilmu.

2-Keruntuhan adab dalam kalangan umat Islam.

3-Kemunculan pemimpin palsu dalam semua bidang.

Menurut Dr. Khalif Muammar dalam menangani Islam liberal adalah perlunya pengukuhan alam Islam dan penguasaan tradisi keilmuan Islam.

Selain itu, al-Wasatiyyah adalah pendekatan terbaik dalam menangani cabaran semasa. Ini perlu diakui kerana terdapat sebahagian umat Islam mengambil pendekatan konservatif dan literal dalam memahami Islam. Antaranya, kecenderungan menolak segala bentuk pembaharuan dan kemajuan termasuk sains dan teknologi.

Dalam penelitian di atas, dapat disimpulkan bahawa majoriti para sarjana muslim mengambil jalan tengah dalam memahami teks-teks agama.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW mengingatkan kepada kita tentang situasi pada akhir zaman di mana orang Islam akan mengikuti jejak langkah kaum yahudi dan nasrani, sejengkal demi sejengkal sehingga apabila mereka masuk ke lubang biawak sekalipun nescaya akan diikutinya. Jelaslah disini bahawa, penegasan telah diberikan oleh Rasullullah SAW agar umat Islam berhati-hati dengan agenda musuh.

Renungilah kata-kata Saidina Ali KMJ: “Janganlah kamu mengetahui kebenaran melalui orang, sebaliknya ketahuilah kebenaran maka kamu akan mengetahui siapa ahlinya.”

Semoga Allah menyelamatkan kita daripada segala pemikiran yang dapat memesongkan akidah kita dan memandu kita untuk berpegang teguh dengan tali Allah iaitu al-Quran dan as-Sunnah.

Mohamad Shahir bin Mohd Zaropi

Kuliah Syariah Islamiah,Universiti Al-Azhar,Mesir.

Rujukan: 1-Atas Nama Kebenaran Tanggapan Kritis Terhadap Islam Wacana Islam Liberal (Dr. Khalif Muammar).

2-Risalah Untuk Kaum Muslimin (Prof. Syed Muhammd Naquib Al-Attas).

3-Menjawab Islam Liberal (Ahmad Yumni Abu Bakar, Mohd Fairuz Jamaluddin).

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 459

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *