MANUSIA DAN KEPIMPINAN

Setiap individu mempunyai tanggungjawab sebagai pemimpin bermula daripada diri sendiri sehingga kepada pemimpin di peringkat negara dan dunia seluruhnya. Allah telah memuliakan manusia dengan mengurniakan akal kepada kita semua. Orang yang berjaya memimpin dirinya dengan baik akan membawa kepada kecemerlangan hidup manakala bagi mereka yang tidak memimpin diri mereka dengan baik akan menyebabkan hidup mereka penuh dengan kerosakan. Islam mewajibkan setiap individu menjaga dan mengurus diri dengan teratur. Individu muslim hendaklah melengkapkan diri mereka dengan ilmu dan akhlak mulia melalui firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”. (Surah Ar-Ra’du : 11)

Pemimpin sentiasa menjadi tumpuan dan diperhatikan. Seperti contoh dalam solat, imam merupakan pemimpin kepada makmumnya kerana makmum perlu mengikut setiap pergerakan imam dan begitu juga sebaliknya. Manakala bagi pemimpin kepada masyarakat, mereka perlu menjaga orang-orang di bawah jagaan mereka dengan sebaiknya mengikut landasan Islam. Seterusnya, bagi pemimpin dunia pula tentunya mempunyai tugas serta tanggungjawab yang lebih besar. Rasulullah s.a.w adalah contoh pemimpin dunia yang terbaik. Kerja-kerja dakwah yang dijalankan adalah untuk menyeru suluruh manusia kepada Islam bukanlah suatu tugasan yang mudah. Hal ini kerana terlalu banyak rintangan yang perlu dilalui. Tugas-tugas yang terpikul di pundak pimpinan adalah suatu yang berat. Oleh itu, Allah telah mewajibkan orang yang di pimpin untuk mentaati orang yang memimpinnya kecuali apabila diperintahkan untuk berbuat maksiat.

Dalam konteks yang lebih besar, Khilafah Islamiah merupakan agenda penting Islam. Umat Islam wajib melantik pemimpin yang adil dalam kalangan mereka serta patuh dan taat kepada suruhan Allah Taala bagi menjamin keutuhan Islam. Khilafah Uthmaniah misalnya telah muncul sebagai sebuah kuasa besar yang mampu menggegarkan dunia Eropah. Jelasnya, dengan membiarkan dunia dipimpin orang-orang bukan Islam adalah merupakan antara faktor utama lemahnya umat Islam di persada dunia.

Selain itu, setiap manusia wajib memimpin diri mereka dengan sebaik mungkin agar berjaya di dunia dan di akhirat. Kita hendaklah menggunakan segala pancaindera serta akal yang di amanahkan oleh Allah dengan melakukan perkara yang sepatutnya. Kita perlu bijak mengurus masa dalam kehidupan kita dengan perkara yang bermanfaat. Seorang yang berjaya adalah terdiri daripada mereka yang sentiasa menuntut dan mendalami ilmu selagi dikurniakan nyawa. Kita hendaklah menggunakan segala nikmat yang diberikan ke jalan yang benar dan berusaha memerangi musuh yang ada di sekeliling kita sama ada yang boleh dilihat atau sebaliknya kerana ia mampu menilai iman serta kekuatan dalam mengurus diri kita sendiri.

Menyedari hakikat bahawa kita semua adalah pemimpin, sudah semestinya semua tanggungjawab perlu dilaksanakan sesempurna mungkin. Segala amanah akan dipersoalkan di hadapan Allah kelak. Allah tidak sesekali mensia-siakan amalan yang dilakukan oleh hamba-Nya. Bagi meraih syurga yang kekal abadi bukanlah sekadar dengan ungkapan atau kata-kata sahaja sebaliknya perlu melaksanakan segala yang telah diperintahkan kepada kita semua. Tugas sebagai pemimpin adalah salah satu medium yang bakal dijadikan timbangan bagi neraca amal di akhirat kelak.

Hanan Sofea binti Suhaimi,

Kuliah Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 415

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *