“Menanti Sirna di Bumi Rakhine”

Dunia hari ini digegarkan dengan berita yang amat menyayat hati dan sanubari. Tatkala kebanyakan negara dan umat islam seluruh dunia mampu membuka mata dalam melihat keamanan dan kemakmuran negara terus dikecapi dan dirasai. Sebaliknya, apa yang berlaku kepada saudara seagama kita yang terus hidup dalam keadaan yang merana, kefakiran dan hidup dalam penuh ketakutan diburu oleh musuh . Sejarah Myanmar

Myanmar adalah salah satu negara yang terletak di Asia Tenggara. Sama seperti Indonesia, negara ini juga merupakan anggota Association of Southeast Asian Nations (ASEAN). Etnik-etnik Rohingya bukanlah pendatang asing tanpa izin dan mereka bukan tergolong sebagai pelarian. Ketahuilah Wilayah Rakhrine di Myanmar merupakan tanah air dan tumpah darah mereka. Etnik Rohingya adalah kelompok minoriti Muslim yang kebanyakannya tinggal di Rakhrine walaupun hampir 800,000 Rohingya tinggal di sana sejak turun temurun.

Sejarah tidak dilupakan pada tahun 1978, junta tentera Myanmar cuba menghalau mereka dari tanah air mereka sendiri lalu mengakibatkan ramai yang lari ke Bangladesh. Akta kewarganegaraan 1982 yang digubal oleh tentera junta Myanmar tidak mengiktiraf Rohingya sebagai salah satu etnik di Myanmar. Ianya menyebabkan mereka bagaikan disisih daripada latar sosio ekonomi dan politik negara. Myanmar mengiktiraf 135 golongan etnik dan etnik Rohingya langsung tidak tersenarai. Etnik ini masih mempunyai tanah mereka yang sah di Rakhrine, sebuah kawasan yang mampu menghasilkan hasil bumi seperti minyak, gas dan sebagainya. Perkara ini adalah salah satu usaha pihak tentera untuk merampas hasil mereka.
Tidakkah kita sedari, kezaliman demi kezaliman terus bermaharajalela. Hal ini telah dilakukan oleh pihak junta tentera dan sesetengah pelampau Sami Buddha yang dipimpin oleh Ashin Wirathu. Sebagaimana yang kita sedia maklum, kezaliman dan pembantaian serta kekejaman terhadap muslim Rohingya sebenarnya bukan pertama kalinya pada tahun ini, malah ianya telah menjadi agenda terancang musuh Islam sejak sekian lama.

Jelaslah di sini, bagaimana Islam amat mengambil berat elemen kasih sayang dan perpaduan untuk sama-sama kita kecapi nikmat yang dianugerahkan Ilahi kepada kita secara bersama-sama. Selagi mana yang termampu, ianya perlulah diusahakan semampu mungkin bagi menghasilkan kekuatan yang pernah kita miliki suatu ketika dahulu. Sesungguhnya hati dan perasaan umat islam telah diikat dengan satu ikatan yang sama sekali tidak akan putus dan berkekalan dalam keadaan apa jua yang menimpa.

Firman Allah SWT, mafhumnya : “ Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebaikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat dan pencerobohan) “. ( Surah : al Maidah : 2 )

Disamping itu, peringatan yang begitu tegas oleh Nabi SAW kepada kita ialah: “Tidak sempurna iman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri “. ( Riwayat al-Bukhari no. 13 )
Berikut adalah siri-siri kezaliman yang dihadapi oleh mereka:

Pertama: Penghapusan kewarganegaraan atau etnik Muslim Rohingya di Arakan berdasarkan undang-undang yang mereka gubal pada tahun 1982 M.

Kedua: Mengetatkan sistem keselamatan terhadap Muslim yang mahu keluar dalam perjalanan baik di dalam negeri mahupun luar negeri.

Ketiga: Penangkapan dan penyiksaan Muslim di kem-kem tahanan tanpa soal bicara.

Keempat: Memaksa umat Islam untuk melakukan kerja buruh paksa tanpa upah, seperti pembinaan jalan dan penggalian parit di daerah pergunungan di Burma.

Kelima: Pengusiran umat Islam dan memberi penempatan kaum Buddha di rumah-rumah mereka.

Antara bantuan yang dapat kita hulurkan kepada mereka ialah:

Pertama: Membuka tabung khas untuk Rohingya dalam isu ini. Masjid di seluruh negara menggunakan tabung pada hari Jumaat sebagai bantuan dan sedikit kempen kesedaran.

Kedua: Majlis Agama atau Baitul Mal dijadikan sebagai tempat pengumpulan dana dan pengagihan bantuan kepada masyarakat Muslim Rohingya.

Ketiga: Menggesa pihak OIC dalam mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membantu pelarian Rohingya yang tiada arah tuju sehingga berkampung di lautan samudera.

Keempat: Menggesa pihak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memainkan peranan yang lebih aktif dalam memberi tekanan dan mendesak kerajaan Myanmar.

Justeru itu, marilah kita menyalurkan bantuan semampu mungkin kepada saudara Rohingya di sana atas nama hak sesama insan. Dengan cara meringankan bebanan dan belas simpati sebegini dapat menjarakkan kita dari neraka Allah SWT, seperti mana Nabi SAW bersabda : “ Jauhilah api neraka, walau hanya dengan bersedekah sebiji kurma ”. ( Riwayat al-Bukhari, no. 6540 )

Semoga usaha yang kita lakukan akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT dan ianya menjadi saham yang berterusan dunia dan akhirat. Diharapkan dengan sekalung doa yang kita panjatkan kepada Ilahi dapat melindungi kita daripada dipersoalkan di akhirat kelak.

Mohamad Shahir bin Mohd Zaropi

Kuliah Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 443

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *