MUJAHADAH UNTUK HATI

DALAM rasa kepenatan, dalam diri kelelahan,mari teman-teman, mari kita duduk sebentar, dan beriman. Nabi Muhammad s.a.w bersabda:”Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya.Daging yang dimaksudkan itu adalah hati.”

Teman-teman yang dikasihi, begitu besar peranan hati itu. Ibarat tunjang utama dalam kehidupan, jika hati tidak terang dan kotor dengan maksiat dan dosa maka gelaplah jalan kehidupan itu lalu menutupi jalan yang ada padanya cahaya.Jangan kita mengeluh, susahnya untuk memahami sesuatu perkara itu jika hati penuh dengan noda -noda titik hitam. Sebagai pelajar terutamanya ,hati itu perlu terang dan jauh dari menjadi hati yang penuh maksiat agar ilmu mudah untuk diserap, dicerna lalu diamalkan.Keutamaan orang yang berilmu itu lalu diamalkan walau sedikit tapi istiqamah lebih baik dari orang yang penuh dengan segala ilmu, tapi tiada sedikit pun diamalkan, malah dia menjadi orang yang sangat rugi.

Disamping hati ,pandangan juga perlu ditundukkan. Firman Allah s.w.t buat muslimin: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orangorang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.” [An-Nur 24:30]

Buat muslimat juga Allah s.w.t berfirman: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hambahamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” [An-Nur 24:31]

Teman-teman yang dikasihi, hati juga merupakan tempat jatuhnya pandangan Ilahi.Teruslah meraih cinta Ilahi.Teruslah bermujahadah menggapai redhaNya kerana di situlah kemenangan yang terlahir buat diri kita. Marilah kita berusaha menjaga seketul daging (HATI) ini dari dicemari dan dipenuhi dengan debudebu dosa apatah lagi dosa-dosa besar..Na’uzubillah… Moga-moga kita semua tergolong dalam kalangan mereka yang hatinya suci dari kekotoran dan sentiasa dipelihara olehNya.

Sedikit peringatan untuk kita bersama. Andai di kaki kita masih berselirat rantai-rantai dosa,bagaimana kita mampu berlari kencang bagi mencapai redhaNya?Jom,banyakkan istighfar,taubat nasuha dengan sebenar-benar taubat. Sedikit yang bermanfaat lebih baik dari yang banyak tetapi melalaikan

Maryam Binti Imran,
Kuliah Syariah Islamiah, Universiti al-azhar, Kaherah.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 394

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *