PEMUDA YANG BERPERANAN

Pemuda memainkan peranan yang penting dalam menentukan masa depan sesuatu bangsa, negara dan agama. Kekuatan sesuatu bangsa sebenarnya secara jelas ia bergantung sepenuhnya kepada keupayaan golongan pemuda dalam sesebuah negara tersebut. Bahkan pemuda juga merupakan aset dan asas penting dalam pembinaan setiap gerak kerja.

Pemuda juga adalah golongan yang berada di barisan hadapan di mana sahaja keadaan bagi memperkukuhkan dan menguatkan sesuatu negara. Nyatanya dalam Al-Quran sendiri menegaskan beberapa ayat yang khusus menyebut tentang pemuda antaranya :

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar. Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada tuhan mereka, dan kami tambahkan mereka dengan hidayah petunjuk.” (Surah Al-Kahfi:13)
Peranan kita sebagai pemuda adalah satu amanah yang besar dan berat iaitu memikul risalah Islam ini. Tanggungjawab dan bebanan risalah itu terpundak di atas bahu kita. Kita ialah pendokong kebangkitan Islam. Kita juga harus memberi dan menunjukkan kepada manusia dan seluruhnya akan agama yang benar ini.

Mengetahui akan peranan kita selaku pemuda adalah satu amanah yang besar, lalu apakah yang perlu kita lakukan agar perkara tersebut dapat dilaksanakan dengan sebaiknya? Antaranya ialah menurut Dr. Yusof Al-Qardhawi dalam buku beliau “Kewajipan Remaja Muslim Hari Ini :

1. Kewajipan memahami Islam secara sahih.
2. Kewajipan beramal dengan Islam.
3. Kewajipan berdakwah kepada Islam.
4. Kewajipan bersatu atas Islam.

Hidup di zaman era globalisasi ini mendedahkan kita kepada pelbagai perkara. Selaku pemuda, kita perlu peka dengan suasana sekeliling dan menyedari bahawa musuh-musuh Islam sentiasa menumpukan perhatian dan serangan mereka terhadap pemuda. Selain itu, kita juga akan berhadapan dengan pelbagai cabaran. Antaranya dinyatakan oleh Abdullah Naseh Ulwan dalam buku beliau “Pemuda Muslim Dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini” :

1. Cabaran syaitan dan hawa nafsu.
2. Cabaran serangan pemikiran.
3. Cabaran keruntuhan akhlak.
4. Cabaran kerajaan sekular.
5. Cabaran putus asa dalam kerja Islam.

Pemuda adalah peneraju perjuangan. Tewasnya dua kerajaan besar dan kuat iaitu Rom dan Parsi, begitu juga tunduknya Syam, Mesir, Iraq, Tripoli dan Utara Afrika di bawah keadilan Islam adalah melalui tangan para pemuda. Al Imam As-syahid Hasan Al-banna ada menyatakan :

“Generasi muda merupakan rahsia kehidupan umat dan sumber kebangkitannya. Kuat lemahnya umat sesungguhnya diukur dari sejauh mana kemampuan ‘rahim’ umat itu melahirkan tokoh-tokoh yang memenuhi syarat rijal (pemuda Islam) yang sebenarnya”

“Wahai Pemuda! Seruan pertama sekali kepada tugas ini untuk kamu iaitu hendaklah kamu percaya kepada diri sendiri, hendaklah kamu mengetahui kedudukan kamu dan kamu yakin bahawa kamu adalah para pemimpin dunia sekiranya kamu mahu musuh kamu menjadi hina.Tentukanlah wahai pemuda iman kamu, matlamat dan tujuan kamu”

Matlamat yang besar tidak akan tercapai tanpa persiapan. Oleh itu, masa muda yang kita kecapi ini seharusnya dimanfaatkan untuk kita berfikir dan bertindak tentang bagaimana untuk bersiap sedia. Kita harus fikirkan bagaimana untuk memulakan langkahan yang pertama. Adakah kita perlu terus terjun ke kedai-kedai kopi atau terus bercermah diatas pentas? Adakah kita perlu terus tumpukan dakwah dan meninggalkan bidang yang kita ceburi kini? Bagaimanakah persiapan yang diperlukan?

Segala-galanya bermula daripada diri kita. Kita harus bermula dengan membentuk diri dengan acuan Islam. Pendidikan jiwa ataupun tarbiah. Menuntut ilmu dan praktikal terhadap ilmu yang dipelajari.

Kita sebagai pemuda harus sentiasa memperbaiki jiwa dan iman kita sebagai persiapan untuk melaksanakan amanah yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Kita harus ada keterikatan dengan mana-mana kumpulan pembentukan jiwa agar proses pembentukan akan berjalan dan berterusan. Malah, dengan keterikatan itu kita dapat disusun oleh organisasi itu dalam medan dakwah dengan lebih sistematik dan berkesan. Rebutlah dan manfaatkan masa muda sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

“Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, hidupmu sebelum matimu, sihatmu sebelum sakitmu, masa lapangmu sebelum masa sibukmu, mudamu sebelum tuamu dan kayamu sebelum miskinmu.” (Al-Hakim)

Maka, seruan saya khusus kepada diri dan para pembaca, bersedialah untuk mengubah diri. Marilah kita samasama membentuk diri kita sebagai persediaan untuk menyeru pemuda-pemuda atau masyarakat lain kepada Islam. Langkah pertamanya ialah pembentukan iman melalui penyertaan dengan mana-mana kumpulan pembentukan jiwa dan sahsiah atau kumpulan tarbiah, usrah, halaqah dan lain-lain. Pastikan diri ada keterikatan dengan kumpulankumpulan ini kerana sesungguhnya serigala memakan kambing yang bersendirian.

Muhamad Amri bin Ouma

Kuliah Al-Quran,Tanta

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 435

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *