PERSIAPAN HARI ESOK

Firman Allah SWT di dalam surah Luqman ayat 34: Sesungguhnya hanya disisi Allah ilmu tentang hari kiamat; dan Dia yang menurunkan hujan dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang dikerjakannya besok. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Maha Mengenal.

Dalam ayat ini walaupun Allah SWT mengatakan bahawa manusia itu tidak dapat mengetahui dengan pasti apa yang akan dikerjakannya pada esok hari atau yang akan diperolehinya. Namun, perkara itu tidak bermakna kita harus ‘menggoyangkan kaki’ dan bersikap ‘sambil lewa’ dalam mengerjakan amal ibadat. Bahkan ahli tafsir telah menjelaskan bahawa kita diwajibkan untuk berusaha sebaik mungkin dalam melakukan persiapan dan amalan sebagai bekalan hari esok yakni hari akhirat sesuai dengan kata-kata hikmat “Dunia ladang akhirat”.

Suatu amalan ibadah tidak akan diterima kecuali jika terkumpul padanya dua syarat iaitu ikhlas dan ittiba’. Ikhlas adalah berkaitan dengan amalan dengan hati iaitu niat, manakala ittiba’ pula berkaitan dengan amalan zahir seseorang. Adakah kedua-dua ini sesuai dengan ajaran junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW dalam beribadah atau tidak? Secara ringkasnya, setiap amalan yang disertai dengan niat yang benar dan ikhlas mestilah diselarikan dengan sunnah yang diajar oleh Rasulullah SAW. Dengan kata lain, niat yang ikhlas adalah kayu pengukur ibadah hati, manakala ittiba’ rasul adalah pengukur ibadah zahir. Berdasarkan kata hikmat: “Niat itu seperti surat, sekiranya tersalah tulis alamat maka akan sampai ke tempat yang salah”. Melalui kata-kata ini dapat kita fahami bahawa niat yang salah akan mengakibatkan kualiti amalan berkurangan dan akan terjejas serta lebih parah lagi mungkin akan menyebabkan pelakunya terjerumus ke lembah dosa seperti riak, ujub dan sebagainya. Jika ini terjadi, maka sia-sialah segala amalan tersebut ibarat debu-debu yang berterbangan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Furqan ayat 23: Dan kami akan perlihatkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.

Antara amalan yang paling utama dalam islam ialah solat:

“الصلاة عماد الدين فمن أقامها فقد أقام الدين ومن هدمها فقد هدم الدين”

“Solat itu tiang agama. Barangsiapa yang mendirikannya maka dia telah mendirikan agama dan barangsiapa merobohkannya maka dia telah merobohkan agama”. Ibarat seperti rumah jikalau dibina tanpa tiang, mana mungkin rumah tersebut dapat berdiri dengan kukuh. Begitulah juga dengan islam, tanpa solat islam tidak dapat tertegak dengan jayanya di atas muka bumi ini. Seperkara lagi yang menunjukkan peri pentingnya ibadah solat ialah solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab pada
hari kiamat kelak. Jika baik solatnya, maka baiklah seluruh amalannya. Namun jika tidak, maka sia-sialah amalannya yang lain. Bukan itu sahaja, antara fungsi lain ialah solat dapat mencegah kemungkaran. Dalam Al-Quran Allah telah menjelaskannya dalam ayat surah al-Ankabut ayat 45: “Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar”.

Daripada Abu Hurairah RA katanya Rasulullah SAW telah bersabda: Jika anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali dari 3 perkara iaitu sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.

Umum mengetahui hadis ini membicarakan tentang tiga perkara yang tidak terputus pahalanya walaupun pelakunya telah meninggal dunia. Perkara yang pertama ialah sedekah jariyah. Contohnya membina masjid atau sekolah, mewakafkan al-Quran atau kitab-kitab ilmiah dan lain-lain lagi. Selagi ada yang memanfaatkannya, pahalanya akan terus mengalir walaupun seseorang telah meninggal dunia. Maka tidak rugilah harta-harta yang disedekahkan pada jalan Allah swt semasa hayatnya. Perkara yang kedua ialah ilmu yang bermanfaat.

Sabda Rasulullah SAW ketika menjelaskan keutamaan menuntut ilmu maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah
swt mudahkan baginya jalan menuju ke syurga”.

Apa jua ilmu bermanfaat yang telah kita pelajari sewajarnya kita aplikasikan dalam kehidupan seharian dan amat beruntung lagi jika ilmu sedemikian dan diajarkan dengan meluas kepada orang ramai. Nilai keikhlasan yang wujud dalam menyampaikan ilmu akan diberikan ganjaran pahala yang besar oleh Allah swt baik ketika masih hidup atau setelah meninggal dunia. Akhir sekali, perkara yang ketiga ialah doa anak yang soleh. Ibu bapa mempunyai amanah yang besar dalam mendidik anak tersebut, namun jika sebaliknya, akan mendatangkan kerugian kepada diri mereka sendiri. Sabda Rasulullah SAW:

“كل مولد يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو بمجسانه”

Maksudnya: Setiap anak dilahirkan atas fitrah, maka kedua-dua ibu bapanyalah yang menyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya.

Anak merupakan amanah Allah SWT yang amat bernilai kepada kita bagi mencorak dan melahirkan generasi yang bakal menerajui dunia yang penuh pancaroba. Didikan agama yang betul adalah langkah awal yang perlu diberikan perhatian dalam mendidik anak-anak. Anak yang soleh bukan sahaja menjadi harapan bangsa dan masyarakat islam, malah menjadi saham mereka di akhirat kelak.

Kesimpulannya, kita mesti tahu dan sedia maklum tentang amalan-amalan yang sewajarnya dilakukan sebagai persiapan dan bekalan untuk dibawa pada hari akhirat kelak. Harus diingat, perbanyakkanlah doa moga-moga semua amalan kita diterima Allah SWT. “Do not carry the anxiety for the future because it is in the hands of Allah”. Janganlah gusar, manfaatkan waktu semaksima mungkin rebutlah peluang yang terhidang dan lakukan sehabis baik. Yakinlah Allah tidak pernah menzalimi hamba-hamba Nya!

Wardah binti Haji Mat Ali

Graduan Kuliah Bahasa Arab Universiti Al- Azhar

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 456

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *