REJUVENASI RAMADAN

Ramadan hadir dengan membawa rahmat yang melimpah ruah meliputi seluruh alam. Bagi muslim hakiki, mereka melihat Ramadan sebagai peluang untuk membersihkan zahir dan batin mereka serta menambah ibadah sunat. Ramadan adalah khususiah umat Rasulullah SAW yang tidak diberikan kepada umat sebelumnya. Hadaf tertinggi di dalam bulan barakah ini adalah TAKWA sebagaimana mafhum ayat al-Quran,

“ Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (al-Baqarah : 183 )

Ramai dalam kalangan kita mengambil enteng dengan ketibaan bulan mulia ini disebabkan sudah lali dan biasa dengan ibadah puasa. Bagi mereka, tiada beza antara Ramadan kali ini dan tahun-tahun sebelum ini. Disebabkan tiada persediaan dan matlamat untuk dicapai, maka Ramadan diharungi dan disia-siakan begitu sahaja dengan tidur yang berlebihan, ibadah ala kadar dan perkara-perkara yang tiada manfaat. Maka, inilah perkara yang paling kita takuti dengan pembaziran waktu Ramadan sehingga melahirkan puasa tidak berkualiti malah terhenti sekadar lapar dan dahaga tanpa pengampunan daripada Allah. Perkara ini telah ditegaskan oleh Baginda Rasulullah SAW melalui kalamnya yang mulia:

“Betapa yang berpuasa itu tidak memperoleh sesuatu pun daripada puasanya melainkan lapar sahaja, dan betapa yang menunaikan solat malam tidak memperoleh sesuatu daripada solatnya melainkan letih sahaja” (Hadis riwayat Nasaie )

Apabila dibuka jendela sejarah, maka kita akan melihat betapa tingginya perbezaan antara puasa umat sekarang dengan puasa salafus soleh yang terdahulu. Andai puasa itu meletihkan bagi kita, maka puasa bagi mereka adalah satu dos penyuntik semangat penguat jasad dan jiwa. Buktinya jelas apabila peperangan pertama dalam tarikh umat Islam, Badar al Kubra berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah. Peperangan ini melibatkan 313 tentera muslimin yang diketuai oleh Rasulullah SAW sendiri menentang 1000 tentera musyrikin lengkap bersenjata. Bagaimanapun ketentuan tuhan nyata menyalahi hukum logik manusia apabila kemenangan menyebelahi tentera muslimin melalui pertolongan Allah dan ketakwaan yang jitu.

Tidak dilupakan juga peristiwa Fathul Makkah juga berlaku di dalam bulan Ramadan iaitu pada 18 Ramadan tahun ke-8 Hijrah. Inilah kemuncak kebahagiaan kaum muslimin apabila Rasulullah bersama 12,000 orang sahabatnya bertolak dari Madinah untuk membebaskan Mekah daripada cengkaman musyrikin. Kejayaan Fathul Makkah yang berlaku tanpa sebarang pertumpahan darah menandakan era baru Islam setelah lama ditindas oleh kaum musyrikin. Jelaslah, ibadah puasa yang dilaksanakan bukanlah menjadi satu alasan untuk berehat ataupun bersenang-lenang bagi salafus soleh yang terdahulu bahkan pemangkin kepada bertambah kuatnya ibadah dan amal.
Kini, zaman peperangan senjata sudah berakhir. Jihad kita pada zaman sekarang adalah jihad melawan nafsu syahwat yang membelenggu sebagaimana mafhum kalam Rasulullah SAW kepada para sahabat selepas melalui satu peperangan,

Kita baru kembali daripada peperangan yang kecil kepada peperangan yang besar. Para sahabat terkejut lantas bertanya, “ Peperangan apakah itu wahai Rasulullah ?” Baginda berkata, “ Peperangan melawan hawa nafsu”

Jelaslah hadis di atas menerangkan tentang nafsu sebagai salah satu musuh yang wajib diperangi bagi umat Islam. Justeru ketibaan puasa Ramadan adalah salah satu cara yang paling efisyen untuk melawan nafsu yang menggila. Umum mengetahui bahawa kekuatan nafsu paling utama bermula daripada perut. Apabila perut dipelihara sepanjang Ramadhan dengan gaya makan yang berhemah selaras dengan tuntutan syarak, maka nafsu akan jadi lemah. Natijahnya, kita akan terpelihara daripada melakukan perkara-perkara yang melanggari syariat dan maksiat. Inilah salah satu daripada hikmah pensyariatan puasa kepada kaum muslimin.

Tarbiah Ramadan juga mengajar kita supaya menghindari perkara lagha dan tidak bermanfaat bagi diri kita. Para ulama menegaskan bahawa Ramadan adalah bulan amal dan ibadah. Tidak sepatutnya bagi mereka yang ingin membersihkan jiwa dan raga sepanjang bulan ini untuk mensia-siakan waktu walau sedetik untuk perkara yang tidak bermanfaat bagi dirinya seperti tidur berlebihan, menonton movie, melepak, berbual kosong dan sebagainya. Bahkan, para ulama mensyaratkan bagi mereka yang benar-benar ingin mencapai kenikmatan Ramadan supaya mengasingkan diri daripada kelompok manusia dengan matlamat semata mata ibadah. Yakinlah bahawa istiqamah kita dalam menghindari perkara lagha ini akan menatijahkan kekuatan untuk sebelas bulan seterusnya.

Konklusinya, andai punya kemahuan mahu berubah dan jadi lebih baik daripada sebelumnya, maka sekarang adalah masa yang paling sesuai. Ramadan adalah tapak yang baik untuk memulakan kehidupan baru. Berpuasalah dengan bersungguh-sungguh mematuhi segala syarat dan rukunnya, nescaya pada penghujungnya adalah cahaya pengampunan beserta rahmat Tuhan tersedia kepada mana-mana hamba-Nya yang ikhlas.

Mohamad Yusran Azim bin Mohd Berkuri,

Kuliah Dirasat Islamiah Wal Arabiah, Universiti al-Azhar

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 449

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *