SAFAR AL-MAR’AH

Safar al-mar’ah satu isu yang seringkali kita dengar dan perbincangkan. Persoalan ini kerap diajukan untuk mendapat kepastian. Inilah dilema yang pernah dan masih menyelubungi Mahasiswi Al-Azhar mengenai status permusafiran mereka kerana terdapat beberapa hadith sahih telah melarangnya.

Jika kita meneliti buku perbincangan ‘Safar Mar’ah’ oleh Ustaz Nuruddin , kita dapat menyimpulkan bahawa beliau berpegang teguh kepada zahir hadis yang melarang perempuan bermusafir tanpa mahram secara mutlak. Hadishadis tersebut adalah hadis yang kuat dan sahih. Ulama’ menyatakan pengharaman itu adalah mutlak dan jumhur ulama’ telah menyatakan hukum ini.

“Janganlah seorang wanita bermusafir perjalanan tiga hari kecuali bersama mahram”. Sahih Bukhari (no: 1036) dan Muslim (no: 1338).

Ulama’ Hadis melarang secara mutlak, kerana thabit hukum dari hadis ini.
Ulama’ Feqah melihat pada illahnya (sebab larangan) kerana selepas kewafatan Nabi SAW, dan suasana di tanah arab menjadi aman, maka para wanita termasuk Saidatina Aisyah RA mengerjakan haji tanpa muhrim lelaki. Maka ulama’ fiqh melihat hadis itu tertakluk pada suasana dan tahap keselamatan wanita tersebut. Jika perjalanan selamat dan bebas dari gangguan binatang buas, penjahat atau jatuh pada syahwat, maka larangan itu diangkat. (Asqalani, Fathul Bari: 7/201)
Kehidupan alaf modenisasi yang mengejar kemajuan mendesak para wanita bertebaran musafir bersama tujuan masing-masing. Melancong, belajar, menuntut ilmu, tuntutan kerjaya, berniaga dan pelbagai tujuan . Realiti survival hari ini, menuntut wanita kerap keluar rumah atau bermusafir keluar dari daerah permukiman tanpa mahramnya. Begitu juga dengan golongan wanita yang menuntut ilmu. Sebagai
seorang muslimah, isu ini perlu difahami dengan cermat agar dapat berta’amul dengan perkara ini dengan yakin. Jadi ,adakah masih wajar permusafiran wanita ini pada zaman sekarang ?
Ulama kontemporari Prof Yusof Al-Qardhawi dalam kitabnya ‘Kayfa Nata’amalu ma’a AsSunnah’, “Apabila kita melihat kepada safar zaman ini dengan segala kemudahannya, kita akan dapati ia seperti kapal terbang yang dapat memuatkan beratus-ratus penumpang yang membawa manusia dari satu negara ke satu negara yang lain dalam waktu yang singkat. Oleh yang demikian, tidak perlu dibimbangkan tentang keselamatan seseorang perempuan apabila kaum keluarganya menghantar ke lapangan terbang dan perempuan itu disambut oleh kaum keluarganya di destinasi yang ditujunya. Tambahan pula perempuan itu menaiki kapal terbang bersama penumpang yang boleh dipercayai”.
Majlis Fatwa Al-Azhar Mesir berpegang kepada pendapat yang membenarkan safar mar’ah sekiranya terjamin keselamatan dan fitnah kepada si perempuan sepanjang perjalanannya,. Menurut mereka, sebahagian ulama’ Mazhab Maliki dan Shafi’e membolehkan perempuan untuk bermusafir tanpa mahram sekiranya ada keperluan dan jalan yang akan ditempuhinya serta tempat yang akan didatanginya terjamin keselamatannya.
Dalam kitab Mufassal Fi Ahkam Al-Mar’ah, menjelaskan bahawa permusafiran wanita semata-mata kerana menuntut ilmu adalah diharuskan samada menuntut ilmu dunia atau ilmu akhirat. Walau bagaimanapun ia menjadi wajib sekiranya berkaitan dengan fardhu kifayah dalam keadaan tiada seorang pun mempelajarinya dalam sesebuah negara ataupun bandar.

Sungguh , permasalahan ini diperbahaskan panjang lebar oleh ulama yang amat teliti dalam hukum-hakam Allah.

Meskipun jumhur ulama’ menyatakan, tidak boleh musafir wanita tanpa mahram. Namun ,tidak menjadi masalah andai kita berpegang kepada pendapat yang mengharuskan.

Justeru , akhawat yang dirahmati Allah, jagalah kesucian permusafiran ini. Hiasi diri dengan syaksiah dan akhlak yang
baik, menutup aurat dengan sempurna di samping menjaga batas pergaulan yang telah digariskan syariat. Lihatlah hikmah hukum ini sebagai anugerah perlindungan dan penghormatan dari Allah khusus untuk anda yang bergelar wanita.

Sumber :

– Kaifa Nataamal Maal Sunnah, Dr Yusuf Qhardhawi.
– Safar Mar’ah, Sheikh Nuruddin Marbu Al-Banjari.

Siti Sarah bt Mahmi
Kuliah Bahasa Arab Universiti Al-Azhar, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 404

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *