Sambutan Memperingati Saint Valentine of Rome

Hari Valentine adalah satu perayaan pada 14 Februari setiap tahun. Ianya adalah sambutan terhadap beberapa tokoh bernama Valentinus, paling masyhur adalah Saint Valentine Of Rome. Ianya adalah perayaan rasmi bagi Kristian Angelican dan Lutheran. Gereja Orthodox turut merayakannya namun pada tarikh dan Saint Valentine yang berbeza. Perayaan ini mula dikaitkan dengan cinta romantik pada era Geoffrey Chaucer, seorang sasterawan Inggeris zaman pertengahan. Kemudiannya pada kurun ke-18 di England, ianya menjadi satu perayaan bagi pasangan kekasih dengan memberi kad, bunga dan hadiah. Bermula kurun ke-19 hingga kini, sambutan ini telah menjadi satu agenda perniagaan kapitalis, ianya dipromosikan dan produk Valentine dihasilkan secara besar-besaran demi keuntungan. Malangnya, terdapat sebahagian muslim terikut-ikut merayakan perayaan ini tanpa mengetahui sejarah asalnya.

Sejarah: Terdapat beberapa versi berkenaan Saint Valentine, yang paling masyhur adalah beliau seorang kristian yang dipenjarakan oleh Raja Rom, Claudius II kerana mengahwinkan beberapa tentera Rom. Ini kerana Claudius menganggap tentera bujang lebih baik dari berkahwin, maka mengahwinkan tentera adalah satu kesalahan (Kisah ini bagaimanapun tidak benar kerana ianya tidak pernah diarahkan Claudius, malah beliau mengarahkan tenteranya memilih beberapa tawanan perempuan selepas menang peperangan dengan Goth). Ketika dipenjara, beliau menyembuhkan Julia, anak perempuan kepada ketua penjara, Asterius. Pengembangan kepada cerita ini adalah dikatakan Saint Valentine menulis surat sebelum dihukum bunuh kepada Julia, ditandatangani ‘Your Valentine’ yang kemudiannya menjadi tradisi dalam sambutan ini kemudiannya.

Hukum: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 pada November 2005 telah memutuskan: amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.” (HR: Abu Daud).

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah menyebut: Rasulullah s.a.w memerintahkan agar kita menyelisihi orang Yahudi dan Nasrani: “Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani tidak mahu merubah uban, maka selisihlah mereka” (Al- Bukhari 3462, Muslim 2103). Hadis ini menunjukkan kepada kita agar menyelisihi orang Yahudi dan Nasrani secara umum dan di antara bentuk menyelisihi mereka adalah dalam masalah uban (Iqtidho’, 1/185). Selain itu, merayakan Valentine juga bukan ciri orang yang beriman, firman Allah taala: “Dan orang-orang yang tidak menyaksikan perbuatan zur, dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya.” (al- Furqan: 72). Sambutan ini, bukan saja asalnya perayaan agama kristian, bahkan kini menjadi perayaan yang menjerumuskan kepada zina. Firman Allah taala: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.” (al-Isra’: 32). Tradisi memberi hadiah sempena Valentine juga adalah satu pembaziran dan lebih elok digunakan untuk perkara lain yang lebih bermanfaat dan berpahala.

Ahmad Syakir bin Muhammad Faleh Lai,

Usuluddin, American Open University.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 436

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *