SRIKANDI MUJAHIDAH SITI KHADIJAH

Khadijah binti Khuwailid merupakan suatu nama yang tidak asing lagi dalam kehidupan umat Islam di seluruh dunia. Marilah sama-sama kita menelusuri sejarah kehidupan dan keperibadian beliau.

Nama penuh beliau ialah Siti Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin Abdul ‘Uzza bin Qushai. Saidatina Khadijah berketurunan Banu Hashim dan merupakan anak kepada Khuwailid bin Asad dan Fatimah binti Za’idah. Ayahnya, Khuwailid bin Asad ialah seorang tokoh pembesar Quraisy yang terkenal dengan seorang yang hartawan dan dermawan. Beliau sangat mencintai anggota keluarga dan kaumnya serta suka membantu orang-orang miskin.

Saidatina Khadijah dilahirkan di Mekah pada tahun 68 sebelum hijrah. Beliau membesar dalam keluarga mulia dan terhormat sehingga menjadi seorang wanita yang cerdas, teguh dan berperibadi mulia. Pada tahun 575 Masihi, ibu Saidatina Siti Khadijah telah meninggal dunia kemudian disusuli oleh ayahnya sepuluh tahun kemudian. Beliau mewarisi harta kekayaan dan perdagangan kedua-dua orang tuanya. Saidatina Khadijah menikah dengan Abu Halah bin Zurarah at-Tamimi dan mempunyai dua orang anak yang bernama Halah dan Hindun. Kemudian selepas itu suaminya meninggal. Dan beliau menikah lagi dengan Atiq bin ‘A’id bin Abdullah al-Makhzumi. Kemudian suaminya juga meninggal dunia. Setelah itu Saidatina Khadijah menjadi wanita terkaya dalam kalangan bangsa Quraisy.

Beliau sangat bijak dalam menguruskan perdagangannya. Perdagangan beliau ini turut diuruskan oleh para pekerja yang dipercayai untuk membawa barang dagangannya ke negeri Syam dan negeri-negeri di sekitar Jazirah Arab. Perdagangannya sangat maju sehingga beliau dikenali sebagai seorang wanita yang kaya-raya dan dermawan dalam masyarakat Quraisy.

Saidatina Khadijah diberi gelaran at-Thahirah ketika zaman Jahiliah kerana beliau sentiasa menjaga kesucian dan kehormatan dirinya serta menjauhi adat istiadat kaum wanita Arab Jahiliyah. Beliau juga merupakan seorang wanita yang tajam pemikirannya, buktinya beliau pernah menterjemah dan menyalin kitab Injil daripada bahasa Ibrani ke bahasa Arab. Beliau suka menolong mereka yang hidup dalam kesempitan dan menyantuni orang-orang yang lemah.

Suatu ketika, ketika zaman mudanya Nabi Muhammad SAW bekerja menguruskan barang dagangan milik Saidatina Khadijah untuk dijualkan ke Syam bersama Maisarah. Sekembalinya dari Syam, Maisarah menceritakan mengenai perjalanannya, keuntungannya dan juga watak keperibadian Nabi Muhammad SAW kepada Saidatina Khadijah. Saidatina Khadijah mengagumi akan keperibadian baginda sehingga membawa kepada pernikahan bersama baginda SAW. Pernikahan itu diwakili oleh bapa saudara Saidatina Khadiijah, ’Amr bin Asad dan dari pihak Nabi Muhammad SAW diwakili oleh Abu Thalib dan Hamzah. Pada ketika itu Nabi Muhammad SAW berumur 25 tahun dan Saidatina Khadijah berumur 40 tahun.

Saidatina Khadijah wafat pada usia 65 tahun pada tanggal 10 Ramadan tahun kesepuluh kenabian, atau tiga tahun sebelum hijrah ke Madinah atau 619 Masihi. Ketika itu usia Rasulullah SAW sekitar 50 tahun. Beliau dimakamkan di dataran tinggi Mekah, yang dikenal dengan al-Hajun.

Peranan Saidatina Khadijah di sisi Nabi Muhammad SAW dan Islam:

1. Saidatina Khadijah sentiasa meyakinkan Nabi Muhammad SAW ketika baginda dalam kebimbangan menghadapi kejadian-kejadian yang dilihatnya dalam mimpi. Saidatina Khadijah berkata kepada Nabi Muhammad SAW bahawa dengan akhlak baginda yang mulia dan sentiasa jujur serta tidak menyakiti hati orang lain, mustahil baginda diganggu oleh jin dan syaitan.

2. Ketika Nabi Muhammad SAW menerima wahyu yang pertama dalam keadaan kegelisahan dan kebingungan, Saidatina Khadijah menenangkan dan menyakinkan hati baginda bahawa baginda akan menjadi nabi dan akan mengangkat tinggi darjat kaumnya.

3. Saat menerima wahyu yang kedua, Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW supaya berjuang menegakkan agama Allah dan mengajak kaumnya kepada tauhid. Saidatina Khadijah adalah orang pertama yang mengakui suaminya adalah Rasulullah dan menyatakan keislamannya tanpa keraguan sekalipun.

Rasulullah SAW menyebut keistimewaan terpenting Saidatina Khadijah dalam salah satu sabdanya: “Di saat semua orang mengusir dan menjauhiku, beliau beriman kepadaku. Ketika semua orang mendustakan aku, beliau meyakini kejujuranku. Sewaktu semua orang menyisihku, beliau menyerahkan seluruh harta kekayaannya kepadaku.”

Tuntasnya, marilah kita sama-sama mencontohi keperibadian mulia Saidatina Khadijah binti Khuwailid. Semoga akan terus lahir Khadijah-Khadijah lain di masa kini & zaman akan datang, insya-Allah.

Rujukan: https://jihadsabiluna.wordpress.com/2008/04/20/srikandi-1-siti -khadijah-binti-khuwailid/ http://dunia-ilmu1945.blogspot.com.eg/2013/11/biografi-kehidupan-khadijah-ra_1048.html?m=1 https://oediku.wordpress.com./2009/12/14/asal-usul-dan-riwayat-singkat-dari-siti-khadijah-istri-pertamarasulullah-saw/ https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Khadijah_binti_Khuwailid https://makhluktermulia.wordpress.com/2010/02/05/biografi-siti-khadijah/

Ustazah Wan Nur Bahiyyah binti Wan Abdul Nazir,

Kuliah Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 455

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *