SUBUH PETANDA KEKUATAN

Waktu subuh merupakan waktu perdana dalam kehidupan seorang insan. Waktu ini bermula selepas seseorang insan tersebut dimatikan buat sementara waktu yakni tidur. Ia merupakan salah satu dari waktu solat yang lima yang diwajibkan ke atas seluruh umat Islam. Waktu ini juga merupakan ujian kepada segala kekuatan kerana bermula selepas terbitnya fajar. Hal ini kerana manusia berjuang untuk melepaskan diri dari dakapan erat sang syaitan yang sentiasa berbisik untuk mengelakkan diri dari bangun. Hanya kekuatan iman seseorang itulah yang mampu menepis segala kesulitan dalam menunaikan solat pada waktu ini.

Iman yang kuat menjadi suatu penghalang kepada musuh manusia iaitu syaitan yang sentiasa berusaha dalam menyesatkan manusia. Mereka yang memiliki iman yang kuat akan segera mengambil wudhu’ tanpa menghiraukan segala bisikan syaitan. Ini adalah kekuatan yang luar biasa yang boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja selagi seseorang mempunyai keinginan jiwa yang tinggi. Selain itu, mereka juga akan sentiasa bermujahadah bangun diawal waktu bagi menyegerakan solat fardhu subuh secara berjamaah.

Perkara ini juga telah dijadikan indikator dan penanda aras kepada kekuatan generasi pejuang terdahulu ketika berlakunya peperangan-peperangan besar . Mereka tidak menjadikan peperangan sebagai alasan untuk tidak menunaikan solat subuh akan tetapi sebagai kekuatan kebangkitan dan saf ketenteraan. Mereka tidak meletakkan kemenangan dalam peperangan hanya persiapan kelengkapan senjata semata-mata sebaliknya kekuatan yang sebenar ialah persiapan kekuatan generasi pejuang dalam menagih simpati bagi mencapai kemenangan dari Illahi. Inilah penanda kekuatan yang telah digunakan oleh Sultan Salahuddin Al Ayyubi dahulunya sebelum mencapai kemenangan ketika mendepani kekuatan tentera Salib yang merupakan kesatuan gabungan ketenteraan daripada 22 buah negara Eropah.

Selain itu, tidak hairanlah juga bahawa soalan-soalan yang ditujukan Sultan Muhammad Al-Fateh mengikut urutan kepada tenteranya menggambarkan peringkat kekuatan seseorang. Lima waktu solat fardhu kemudian solat rawatib dan kemudiannya solat tahajjud. Di waktu penghujung malam sehingga subuh dijadikan indikator terakhir kepada kekuatan pejuangnya. Tidak dapat dibayangkan kedudukan pemuda hari ini berbanding kekuatan yang dimiliki oleh tentera Al-Fateh kerana hanya sebahagian sahaja yang mampu menjaga solat subuh ini. Di atas alasan yang sama inilah juga menyebabkan musuh-musuh Islam gerun kepada orang Islam. Hal ini menyebabkan agen-agen KGV di Chechnya dan agen-agen Gaddafi di Libya akan menangkap pemuda-pemuda yang bersolat subuh secara berjamaah dengan keyakinan bahawa mereka adalah pemuda yang akan menggegarkan kerajaan Russia dan Libya.

Di antara kelebihan mereka yang menjaga solat subuh adalah Allah SWT akan memberi perlindungan sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Jundab bin Sufyan bahawa Rasulullah bersabda: “Barangsiapa yang menunaikan solat subuh, maka ia telah berada dalam jaminan Allah. maka jangan cuba-cuba membuat Allah membuktikan janjinya. Sesiapa yang membunuh orang yang bersolat subuh, Allah akan menuntutnya sehingga Dia akan membenamkan mukanya ke dalam neraka.”(Riwayat Muslim).

Kesimpulannya, marilah sama-sama kita memelihara solat subuh dengan berusaha untuk bangun di awal waktu dan menunaikannya secara berjamaah. Hal ini kerana segala kekuatan yang dimiliki setiap manusia adalah milik Allah. Ramai di antara kita hanya bersemangat dalam berkata-kata bagi menentang musuh-musuh Islam, akan tetapi lemah dalam memeliharan solat subuh itu sendiri. Sebaliknya, jangan lupa untuk kita menagih simpati dan memohon pertolongan daripada Pemberi Pertolongan yang hakiki. Ingatlah, sekiranya kita inginkan kemenangan, jangan alpa dengan kekuatan yang ada pada solat subuh.

Maryam binti Imran,

Kuliah Syariah Islamiyyah, Al-Azhar, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 409

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *