TAZKIRAH AIDILADHA : SEKEPING HATI MILIK IBRAHIM

Pengorbanan? Pendapat saya mengenai makna pengorbanan itu sendiri, tidak terdapat dalam mana-mana kamus ataupun maqalah-maqalah ilmuwan, hanya sekadar coretan pendapat untuk kita cuba cerna bersama. Apa-apa perlakuan yang diusahakan untuk mencapai redha-Nya, maka apa-apa yang diusahakan bukan kerana-Nya, tidak dinamakan pengorbanan. Yang ada hanya usaha yang bukan lillah tapi hanya lelah.

Pengorbanan itu sudah semestinya memerlukan kepada mujahadah atau perjuangan diri.
Perjuangan itu terlahir daripada semangat yang berkobar yang melahirkan amal kerja. Apa-apa semangat yang tidak melahirkan amal kerja, hanya sekadar semangat-semangat sahaja ,itu tidak mencukupi. Seperti seseorang yang berazam untuk belajar bersungguh-sungguh, tekun dalam melakukan kerja, berjaga malam, adakah semua itu melahirkan dia sebagai seorang yang cemerlang jika dia sekadar berazam dan tidak melakukannya. Remaja yang dirinya penuh dengan semangat sahaja tetapi tiada amal gerak kerja, hanya sia-sia semata.

Nyatanya, semua rasa ini muncul dari suatu sudut yang paling jauh dalam jiwa setiap manusia. Dan sudut ini adalah raja bagi setiap gerak perilaku seorang hamba.Yakni hati. Kerana itu selepas iman perlu munculnya ehsan, kerana sekadar percaya, tidak terlahir amal gerak kerja yang merasakan Allah melihatnya, atau dia melihat Allah, maka ehsan itu tidak terlahir lagi. Sekadar islam dan iman sahaja, itu tidak mencukupi bagi seorang remaja Islam seperti kita.
Apakah dinamakan sebuah perjuangan yang jika hanya anak muda itu berkobar-kobar semangatnya saat tangan ditepuk dan kata-kata semangat dilaungkan, tetapi habis sahaja babak itu, pulangnya dari majlis masih tidak melahirkan apa-apa. Tetapi lebih enak tidur di atas katil berbanding berjuang untuk pergi kuliah. Bukankah kuliah itu juga suatu ibadah. Adakah ini anak muda yang kita inginkan untuk menjadi harapan Islam? Adakah wujud di sana apa yang dinamakan dengan sebuah pengorbanan?
Saya teringat situasi saat Dr. Tariq Ramadhan, cucu kepada Imam hasan AlBanna dalam sebuah program bicara diskusinya di salah sebuah universiti
terkemuka di Malaysia, ketika dia habis mengemukakan pendapatnya dan hujahnya tentang anak muda, sekalian tetamu yang ramainya terdiri daripada anak muda, semuanya memberi tepukan gemuruh kepadanya.

Apa yang beliau katakan kepada mereka? Apakah maknanya yang akan lahir daripada bertepuk tangan? Saat nabi Ibrahim terpaksa meninggalkan isterinya dan anaknya di tengah padang pasir, baginda berjuang dengan mencekalkan hati dan terus tidak berpaling ke arah keluarganya lagi. Sudahlah lama menunggu untuk memiliki Nabi Ismail a.s, kini tiba saatnya untuk melepaskan si anak dan isteri di tengah-tengah padang pasir. Jika bukan kerana Allah, sudah pasti semua itu tidak akan dilakukan baginda.

Semuanya dilakukan hanya kerana Allah. Saat dia pulang setelah lama tidak menemui anaknya, baginda diperintahkan pula untuk menyembelih anaknya. Perintah Allah dipatuhi. Semua itu memerlukan rasa pengorbanan yang tinggi dalam diri untuk terus patuh pada perintahNya. Tapi nyata Allah hanya ingin menguji baginda. Sebegitulah kita seharusnya, saat diuji Tuhan, jangan cepat melatah dahulu. Duduk sebentar dan beriman. Kembali kumpulkan kekuatan dalam diri untuk terus betah di atas jalanNya.

Hidup ini bukan sebatas dunia sahaja, ia melangkaui akhirat sana. Menyedari kita akan berada di negeri yang kekal,adakah kita perlu bermalas-malasan lagi dalam berjuang dan berkorban sekalipun untuk turun solat berjemaah di masjid bersama-sama? Sudah pasti tidak. Semestinya usaha-usaha penambahbaikan dalam diri perlu dilakukan. Maka saat takbir aidiladha dilaungkan, kita kembali kepada sebuah pengorbanan. Pengorbanan yang memerlukan hati sekental hati milik Ibrahim a.s. Di bening adha ini, kita harus menyedari perjuangan dan pengorbanan itu yang tak akan terhenti selagi kita tidak mati atau saja kiamat yang akan menghentikannya.
Nyata setiap perjuangan itu memerlukan pengorbanan, tetapi berapa ramai yang mahu berjuang namun tidak mahu melakukan pengorbanan. Ingin najah dalam imtihan tapi masih bermalas-malasan. Mahu dekat diri dengan Tuhan, tapi masih bertangguh-tangguhan.

Ramai orang boleh punya cita-cita tapi seramai mana yang berusaha berjuang berkorban habis-habisan untuk mencapai cita-cita tersebut? Berapa ramai yang bersenang-senang saja dan mengharapkan Tuhan memberikan yang terbaik untuknya, sedang tidak ada pun pengorbanan yang dilakukannya.

Kerana itu saat nabi Ibrahim a.s bercita-cita untuk mengenali Tuhannya, baginda berusaha dan berjuang serta sanggup berkorban untuk menggapai semua itu yakni mengenal Tuhannya.
Gencarkan kekuatan kita, biar perjuangan itu bergerak dengan amal kerja bukan sekadar bertepuk tampar sahaja di atas meja debat, tidak pula selepas pulang dari masjid, bertakbir, menyembelih haiwan ternakan semata, tapi tiada ibrah yang dapat diambil. Biar pengorbanan itu ada makna. Biar perjuangan itu dibuktikan dengan sebuah pengorbanan. Tidak pula hanya menjadi pemanis bicara dan halwa telinga.Moga aidiladha ini, Allah terus redha dengan kita, semangat kita, pengorbanan kita dan segala gerak kerja kita.

Sofiah Azzahrah bt.Norizam
Kuliah Bahasa Arab Universiti Al-azhar, Kaherah

Muat turunĀ PDF Risalah Fajar Jumaat siri 389

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *