UDHIYYAH SANG KEKASIH

Baru-baru ini umat Islam telah menyambut hari raya Aidil Adha. Pastinya perayaan tersebut memberikan seribu satu makna yang penting buat kita sebagai umat Islam supaya mengangkat nilai pengorbanan melalui penyembelihan haiwan ternakan.
Sebelum itu, mari kita sama-sama mentadabbur ayat suci alQuran dengan menilai serta membuat perbandingan antara kisah Nabi Ibrahim a.s bersama anaknya Nabi Ismail a.s dan kisah kaum bani Israil yang diutuskan Nabi Musa a.s. Untuk pengetahuan semua, dua versi kisah ini mempunyai persamaan dari sudut mengisahkan perintah penyembelihan itu sendiri. Namun begitu, kedua kisah ini mempunyai perbandingan yang cukup ketara, sekiranya kita benar-benar menghayati ayat-ayat Allah ini.

Cuba sahabat-sahabat perhatikan dalam surah al-Baqarah ayat 67 hingga 71. Kita dapat lihat bagaimana Allah SWT memerintahkan melalui Nabi Musa a.s kepada kaumnya supaya menyembelih seekor lembu betina. Namun begitu, sikap kaumnya yang suka berdalih dan mempersoalkan perintah Allah SWT membuatkan perlaksanaan perintah itu menjadi lambat dan tergendala. Seterusnya, cuba bandingkan pula dengan kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail di dalam surah as-Saffat 102, telah berkata Nabi Ibrahim kepada anaknya “Wahai anak kesayanganku, sesunggunya aku melihat di dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Maka jawab anaknya “Wahai ayahku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insha Allah ayah akan mendapatiku daripada orang-orang yang bersabar”.

Melalui ayat ini, dapat kita simpulkan bahawa ketaatan dan kepatuhan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s kepada Allah SWT sehingga sanggup menyembelih anak kesayangannya semata-mata meraih cinta dan keredhaan Allah SWT. Setelah kedua-duanya berserah diri sepenuhnya untuk menjalankan perintah Allah dan berazam bersungguh-sungguh tanpa mempersoalkan kenapa Allah SWT memerintahkan sedemikian rupa. Sesungguhnya Allah Taala Maha Mengetahui segala-galanya yang terbaik buat hambaNya. Dengan berkat kesabaran Nabi Ibrahim a.s dalam menghadapi ujian ini, maka Allah telah menyeru dan memberi khabar gembira melalui malaikat supaya menebus dan menukarkan anak itu kepada seekor kibash putih, setelah itu mereka terus melaksanakan ibadah korban itu.

KETELADAN NABI IBRAHIM A.S
Mengapa umat Islam harus meneladani Nabi Ibrahim a.s? Apakah tidak cukup dengan meneladani Nabi Muhammad SAW?

Sudah tentu jawapannya adalah al-Quran itu sendiri yang telah merakamkan kepada Nabi Muhammad SAW dan umatnya tentang keteladanan Nabi Ibrahim A.S yang harus diikuti oleh umat sesudahnya. Melalui kisah ini juga, pengajaran yang dapat diambil dalam membangunkan jiwa insan adalah kita dapat menyaksikan betapa kuatnya keimanan dan kesabaran yang diaplikasikan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail serta ibunya Siti Hajar. Walaupun mengambil masa yang lama untuk mendapat zuriat, kemudian datang pula wahyu daripada Allah Taala untuk menyembelih anak yang dikasihinya, maka tanpa banyak bertanya mereka terus melakukan perintah itu.
Kesimpulannya, marilah sama-sama kita muhasabah diri, adakah kita hanya beriman dan melakukan amalan ketaatan kepada Allah SWT apabila ditimpa kesusahan dan musibah semata-mata? Lalu melupakan segala suruhan Allah ketika dikurniakan kesenangan dalam kehidupan?

Firman Allah SWT “Bergeraklah kamu baik dalam keadaan ringan mahupun berat dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah, yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui”(Surah Taubah 41).

Mohammad Nasruirham bin Kamaruddin,

Kuliah Syariah Islamiah, Universiti al-Azhar

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 452

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *