VAPE

Mutakhir ini, dunia dihidangkan dengan kecanggihan yang melampau-lampau hinggakan tercipta rokok elektronik. Kita sebagai pemuda pemudi Islam harus cakna dan tahu apa itu rokok elektronik atau e-ciggarette yang sedang digembar-gemburkan di serata tempat. Rokok elektronik adalah satu percubaan mewujudkan sejenis rokok yang dikatakan mampu mengurangkan penggunaan rokok asal yang berasaskan tembakau yang diketahui umum sebagai penyumbang kepada masalah berkaitan dengan pelbagai risiko penyakit kronik seperti radang paru-paru, leukemia dan sebagainya. Nama asal bagi rokok ini (Electronic Nicotine Delivery systems) dan ianya suatu inovasi dari bentuk rokok konvensional menjadi rokok moden.

Ia juga dilabelkan sebagai rokok yang selamat diguna. Rokok elektronik ini dikatakan mempunyai nilai rasa yang sama seperti merokok dengan rokok asli yang berasaskan tembakau kecuali ianya tidak berasap sepertimana rokok biasa melainkan wap sahaja. Kononnya rokok elektronik ini tidak menghasilkan karbon monoksida dan juga tidak meninggalkan abu.

Bagaimana rokok elektronik ini berfungsi ? Rokok elektronik terdiri daripada tiga bahagian utama iaitu bateri, atomizer dan katrij nikotin yang mengandungi perasa. Apabila pengguna menyedut rokok elektronik, cip elektronik akan mengesan pengaliran udara di dalamnya. Kemudian microprocessor akan menghidupkan enjin atomizer yang akan mencampurkan nikotin cair dan udara. Hasilnya, penghisap rokok elektronik tersebut akan mendapat dos nikotin yang diperlukan.

Akan tetapi, di sebalik kecanggihan rokok elektronik ini banyak pihak mendakwa bahawa rokok elektronik ini jauh lebih bahaya daripada rokok asli. Hakikatnya tiada negara yang setuju dengan penggunaan rokok elektronik. China sebagai penemu terawal rokok elektronik ini pun juga melarang penggunaannya kerana dianggap membahayakan kesihatan.

Secara terperincinya, dikatakan bahawa dalam rokok elektronik ini terkandung jenis nikotin yang bervariasi, iaitu nikotin pelarut, propilen glikol, dietilen glikol dan gliseren yang apabila dipanaskan akan menghasilkan nitrosamina. Larutan nitrosamina ini nantinya akan menjadi penyebab kanser. Sehingga sekarang masih lagi dibahaskan isu samada rokok elektronik ini lebih berbahaya daripada rokok biasa atau tidak.
Apabila kita memandang dari kacamata agama, maka jelaslah ia banyak membawa kemudaratan dan akan menyebabkan pembaziran serta ia seakan-akan meniru budaya bukan Islam. Alangkah baiknya duit yang digunakan untuk membeli rokok atau vapor ini kita salurkan ke tempat yang lebih baik seperti menderma di masjid-masjid, menyantuni anak-anak yatim, memberi makan kepada fakir miskin serta membantu keperluan mereka.
Vape juga telah diisytiharkan haram oleh Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dengan mengqiaskan ianya seperti rokok. Selain itu, kita juga harus melihat ini sebagai satu ancaman kepada ummah generasi masa depan kita nanti. Kenanglah kembali, suatu ketika dahulu kita menyaksikan kejatuhan bangsa Cina kerana candu. Kita juga melihat bagaimana rakyat Somalia hancur kerana rakyatnya mengunyah daun qat.

Oleh yang demikian, sudah menjadi kepastian kita tidak mahu melihat ummah tersungkur hanya kerana rokok dan vape ini dan menjadi tanggungjawab kita untuk sama-sama cakna dalam hal permasalahan ummah. Sepertimana firman Allah SWT di dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan mereka sendiri.” Sama-sama berubah, in sha Allah.

Sumber rujukan:
1)http://www.healthline.com/health/smoking/effects-onbody.
2)http://www.muftiwp.gov.my.

Wan Nurul Farhana Binti Wan Kamil.
Syariah Islamiah.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 433

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *