WABAK DALAM PERJUANGAN

Darsawarsa,dalam menempuh arus modenisasi yang mencabar gerakan islam sering menghadapi halangan dan cabaran yang hebat dari pelbagai sudut. Punca utama masalah yang berlaku adalah disebabkan masalah pendokong itu sendiri yang tidak komited dan gagal mempersiapkan diri sebagai pendokong islam. Hal ini berlaku kerana seseorang penggerak itu telah dijangkiti virus atau wabak di dalam jiwa mereka.Persoalannya apakah wabak itu? Diantara penyakit yang dihadapi penggerak islam :

Wabak yang pertama yang dihadapi para penggerak ialah Al-Futur iaitu putus asa. Al-futur mengandungi dua maksud : pertama, terputus atau terhenti sesudah berjalan. Yang kedua, bermaksud malas, menangguh, atau melengah-lengahkan sesudah bergerak aktif. Sifat ini terjadi mungkin disebabkan sikap yang suka berlebih-lebihan atau keterlaluan dalam agama. Rasullullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud “Binasalah orang-orang yang berketerlaluan.” Baginda mengulanginya sebanyak 3 kali.

Selain itu, wabak kedua yang melanda penggerak ialah Al-israf yang bermaksud pemborosan. Maksud pemborosan dari segi bahasa ialah apa yang dibelanjakan bukan untuk ketaatan atau tindakan yang melampaui batas. Mengikut istilah pendakwah, pembaziran ialah perbuatan yang melampaui batas sama ada dalam makanan, minuman, pakaian, kediaman dan seumpamanya. Kadang kala pemborosan berlaku disebabkan suasana awal seseorang itu dibesarkan dan cara hidup yang dilaluinya. Sikap ini sangat merugikan dan dicela dalam islam.

Kemudian wabak yang ketiga AL-Isti ‘jal. Al- Isti’jal ialah keinginan untuk merubah realiti kehidupan masa kini dalam sekelip mata tanpa menilai beberapa kesan buruk yang akan berlaku disamping tidak memahami . Realiti yang berlaku hari ini sesetengah penggerak terburu-buru mengejar kemenangan tanpa panduan syariat yang telah ditetapkan. Perlu diingat, matlamat tidak menghalalkan cara. Al-Isti’jal yang dipuji ialah apa sahaja yang lahir dari penilaian yang terperinci tentang kesan dan akibat yang akan terjadi disamping membuat persediaan terbaik dan susunan yang rapi.

Wabak yang keempat ialah Al-Uzlah(memencilkan diri). Al-Uzlah ialah mengutamakan kehidupan secara berseorangan dan meninggalkan penghidupan berjemaah.Hal ini berlaku kerana mereka berpegang dengan sebahagian nas syar’ie yang menggalakkan seseorang itu beruzlah tanpa mengambil kira nas syar’ie yang menggalakkan penghidupan berjemaah.Apabila berseorangan, seseorang itu lebih cenderung kepada Al-Futur berbanding hidup berjemaah. Firman Allah yang bermaksud “Dan berpeganglah kamu denagan tali (Agama)Allah dan janganlah kamu berpecah belah” [Ali-Imran : 103]

Seterusnya wabak yang kelima ialah Al-I’jab Bil Nafsi bermaksud terpesona dengan diri sendiri. Ia merupakan suatu kegembiraan dengan diri sendiri hasil daripada apa yang dilakukan sama ada melalui perkataan atau perbuatan tanpa menyinggung orang lain, tanpa mengambil kira perkataan atau perbuatan tadi baik atau buruk, terpuji atau keji.Kadang kala sifat ini terdorong dengan pujian yang diberikan secara berdepan tanpa mematuhi adab dan peraturan hukum syara’ yang berkaitan dengan pujian.

Begitulah diantara virus, penyakit atau wabak yang melanda penggerak islam masa kini. Hakikat perjuangan itu penuh dengan onak duri dan pancaroba yang harus diharungi. Oleh itu,setiap penggerak perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan juga ilmu yang berkaitan dengan perjuangan agama agar kita terus thabat dan istiqamah untuk terus mendokong perjuangan ini. Perjuangan itu pahit kerana syurga itu manis.

NUR SYAMIMI BINTI CHE MOOD

KULIAH BAHASA ARAB

Rujukan: Wabak Sepanjang Jalan- Dr. Al-syed Muhammad Noh

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 429

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *