AMALAN MENAIK TARAF LAPTOP

Panduan ini boleh dirujuk apabila laptop anda perlu diformatkan kembali untuk memasang OS windows atau, apabila anda perlu menggantikan atau menaik taraf pemacu kerasnya. Misalnya beralih dari pemacu keras (HDD) kepada SSD (Solid State Drive). Begitu juga apabila anda membeli laptop baru yang hanya dilengkapi program DOS. Jadi, anda boleh memasang sendiri versi windows yang dikehendaki (dibeli berasingan) misalnya ‘Windows 7 Home Premium’. Anda boleh mengamalkan semua panduan yang disarankan di bawah ini atau sebahagian sahaja apabila diperlukan.

1. MENAIK TARAF BIOS/UEFI

Operasi menaik taraf firmware (BIOS/UEFI) bukan suatu kemestian. Namun, anda boleh melakukannya jika perlu menaik taaf peranti dalam laptop anda. Umpamanya pemacu keras (HDD) yang sedia ada perlu digantikan dengan SSD (Solid State Drive) atau bagi mendapatkan kefungsian tertentu daripada versi terkininya. Biasanya anda boleh memuat turun fail BIOS/UEFI ini di tapak web vendor laptop atau pembuat papan induk. Harus diingatkan prosesnya perlu dilakukan dengan berhati-hati. Kalau perlu, sila rujuk panduan atau manual laptop yang disertakan.

2. MEMASANG FAIL WINDOWS

Sistem operasi (OS) Windows anda perlu dipasang semula jika HDD sudah diformat atau ditukar dengan yang baru. Begitu juga apabila anda menaik taraf OS, contohnya berhijrah daripada Windows Vista kepada Windows 7. Sebelum OS tersebut dipasang, anda boleh menyalin OS dari DVD yang asal pada DVD kosong atau pemacu USB Flash (thumbdrive). Anda boleh memasangnya menerusi thumbdrive jika laptop anda tidak dilengkapi pemacu optikal atau peranti itu rosak.

3. MEMASANG DRIVER BARU

Driver merupakan program yang menjadi penghubung di antara peranti dan OS. Sehubungan itu, sebaik sahaja OS windows siap dipasang anda perlu memasang driver bagi peranti laptop. Sebahagian besar driver peranti yang diperlukan sudah tersedia ketika windows dipasang. Namun anda boleh menaik taraf driver yang sedia ada untuk digantikan dengan yang baru. Anda boleh memuat turun fail-fail driver dari sumbernya dan dipasang satu demi satu. Menerusi perisian seperti ‘SlimDrivers 2.2’, fail driver lebih mudah dipasang secara automatik.

4. KEMASKINI DAN KETEPATAN

Windows 7 yang telah dipasang adalah versi yang asal. Anda perlu mengemaskini OS ini menerusi Windows Update yang disediakan, khasnya yang membabitkan keselamatan. Beberapa ketepatan OS seperti firewall perlu diaktifkan.

5. PASANG APLIKASI

Sebaiknya anda sediakan senarai perisian komersial atau percuma yang perlu dipasang. Selepas itu anda boleh memasangnya satu demi satu mengikut keutamaan. Media pemasang (installer) dalam bentuk CD, DVD, atau thumbdrive perlu disediakan bagi memudahkan tugas anda. Misalnya, boleh dimulakan dengan perisian antivirus kemudian disusuli aplikasi pejabat, penyimpan (backup) sistem, pengoptima OS dan lain-lain. Apabila ada sambungan internet, anda boleh mengemaskini perisian berkenaan.

6. BERSIH, OPTIMA DAN SIMPAN

Anda boleh mengimbas seluruh sistem untuk memastikan tiada jangkitan malware. Pastikan juga aplikasi penyimpan sistem seperti ‘EaseUS Todo Backup 4.0’ sudah dipasang, demikian juga perisian ‘CCleaner 3.2’ dan ‘10bit Advance System Care 4.0’. Apabila sistem sudah diimbas, jalankan operasi pembersihan sistem untuk membuang fail sampah. Kemudian susuli dengan proses pengoptimuman windows. Akhir sekali, jalankan operasi menyimpan partition yang berisi windows. Ini sebagai satu langkah berjaga-jaga.

Sumber: Majalah PC, bil. 193, mukasurat 21.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *