CARA MENJADI PEREKA GRAFIK

Pada zaman sekarang, reka bentuk grafik telah menjadi elemen komunikasi yang sangat popular dan dianggap berperanan besar. Reka bentuk grafik berperanan dalam kehidupan dengan memberi nilai tambah dan makna bagi sesuatu. Secara umumnya, reka bentuk grafik dapat diertikan sebagai sebuah bentuk komunikasi visual yang merupakan aplikasi daripada panduan keterampilan seni dan komunikasi dengan menggunakan gambar sebagai cara menyampaikan informasi atau pesanan untuk memenuhi kehendak manusia, baik dari sudut peribadi, bisnes mahupun industri.

Dalam mendepani kehidupan, setiap manusia mempunyai cara tersendiri dalam pelbagai perihal mereka. Begitu juga kita yang ingin menjadi seorang pereka grafik, sudah semestinya harus melalui proses yang panjang, yakni belajar reka bentuk grafik dan pengalaman dalam bidang ini. Dua hal tersebut merupakan kunci yang sangat penting yang harus dijalani oleh semua pereka grafik. Jadi, saya ingin berkongsi beberapa cara untuk menjadi seorang pereka grafik yang mampu mengikuti peredaran zaman kini. Antara cara untuk menjadi seorang pereka grafik adalah :-

1) PASAKKAN NIAT, KEMAHUAN SERTA VISI DAN MISI

Sebagai seorang muslim, setiap perkara yang kita lakukan haruslah dimulai dengan niat kerana niat ini sangat penting dalam setiap tingkah laku kita. Selain itu, kita perlu mempunyai visi dan misi kerana visi ini sangat penting bagi seorang pereka grafik, bukan hanya dalam sebuah perusahaan sahaja tetapi peribadi kita juga harus mempunyai visi dan misi. Kedua-dua ini merupakan batu loncatan untuk kita terus menjadi seorang pereka grafik yang profesional. Sebagai contoh, kita mahasiswa Mesir perlu mempunyai target dalam mendalami ilmu-ilmu reka bentuk grafik di samping ilmu utama yang kita pelajari.

2) SERTAI KELAS, KURSUS ATAU SEMINAR REKA BENTUK GRAFIK

Di samping kita mempunyai visi dan misi, kita juga harus berusaha untuk menyertai kelas, kursus ataupun seminar yang berkaitan dengan bidang ini. Dengan cara ini, kita akan dapat mengembangkan idea, cara-cara yang berkesan dan menarik daripada aktiviti tersebut. Aktiviti ini membantu kita seorang pereka grafik untuk meningkatkan lagi tahap kefahaman, ketelitian, kekemasan serta kreativiti dalam reka bentuk ini. Di Mesir, pihak persatuan akan mengadakan program khusus untuk melahirkan seorang pereka grafik iaitu program variasi media yang merupakan salah satu medium permulaan dalam mereka grafik. Jadi, kita hanya perlu sertai untuk meningkatkan lagi karya grafik kita.

3) MEMBINA HUBUNGAN BAIK DENGAN PEREKA GRAFIK YANG LAIN

Untuk kita meneruskan minat dalam bidang ini, kita perlu membina hubungan baik dengan pereka grafik yang lain sebagai pembakar semangat dalam bidang ini. Bak kata lain, setiap pereka grafik perlu mempunyai mentor kerana
mentor merupakan tempat rujukan kita dalam segala hal yang berkaitan dengan kemahiran ini. Dalam keadaan ini, seorang pereka grafik boleh berkongsi idea, berkongsi permasalahan, meminta tunjuk ajar, nasihat, teguran serta membantu antara satu sama lain. Seorang mentor semestinya ingin melahirkan seorang pelapis yang lebih hebat daripadanya, begitu juga dengan kita.

4) MENGUMPUL KOLEKSI-KOLEKSI YANG MENARIK DAN UNIK

Setiap pereka grafik semestinya mempunyai sikap suka mengumpul koleksi-koleksi grafik yang menarik dan unik seperti wallpaper, iklan, cover buku, cover majalah, banner, banting, bookmark, dan sebagainya. Sikap ini memang tidak asing lagi dalam diri seorang pereka grafik kerana dengan cara ini, mereka mampu mencuri idea-idea kreatif, menginovasikan reka bentuk grafik yang unik untuk menghasilkan sebuah karya yang eksklusif dengan hasil gabungan idea orang lain. Kadang-kadang dalam mengumpul dan meneliti koleksi grafik tersebut akan membuatkan seorang pereka grafik berfikir dengan lebih kreatif dalam mencipta serta mampu menandingi pereka grafik yang hebat lagi profesional kerana otak manusia mampu untuk berfikir lebih daripada apa yang ada di hadapan mata mereka, nyata hasil kajian ahli saintis.

Justeru, kita sebagai mahasiswa al-Azhar merupakan produk yang terbaik dalam menyampaikan dakwah melalui medium ini dengan cara mengeluarkan wallpaper berkaitan dengan akhlak seorang muslim, hukum-hukum agama dan pelbagai lagi dalam menarik minat masyarakat sekarang untuk membaca. Seorang pereka grafik yang mempunyai ciri-ciri tersebut merupakan bakal seorang pereka grafik yang hebat kerana jika ingin menjadi seorang yang hebat, seseorang individu perlulah bermula dari bawah agar dapat istiqamah atas jalan yang dipilih. Bak kata pepatah, “ berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.”

Wan Nur Zafirah binti Wan Mohd Zauki,
Kuliah Syariah Islamiah, Universiti al-Azhar, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Multimedia siri 23

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *