SEJARAH KOMPUTER

Dengan nama Allah tulisan ini bermula, assalamualaikum pembuka pena. Setiap perkara mempunyai waktu dan sejarah yang tercatat. Komputer juga tidak terkecuali. Ia mempunyai nilai memori yang tinggi kerana ia antara alat yang sangat lama dan mengalami perubahan mengikut zaman.

Komputer merupakan sebuah alat yang diprogramkan untuk menerima dan menyampaikan maklumat. Program yang direka membuatkan komputer sangat fleksibel dan berguna untuk melakukan pelbagai kerja. Hal ini termasuklah mengira, sebagai pusat kawalan sesebuah sistem seperti yang terdapat pada industri pengilangan akhirnya sebagai tujuan umum termasuk komputer peribadi, peranti dan telefon pintar.

Perkataan komputer mula digunakan pada tahun 1613 hinggalah kepada penciptaannya pada abad ke-18. Agak sukar untuk mengatakan siapa yang mula mencipta komputer kerana terdapat pelbagai jenis serta fungsinya. Walaubagaimanapun para pengkaji mencatat nama Charles Babbage sebagai pencipta dan pengenalan asas kepada komputer. Oleh itu, beliau diberi jolokan Bapa Komputer.

Cukup untuk sejarah umum, mari kita lihat sejarah dan cerita komputer di sekeliling kita. Tidak perlu mengupas panjang berkenaan komputer yang digunakan dalam industri pengilangan, ketenteraan, robotik dan sebagainya.

Komputer peribadi pertama diperkenalkan oleh John Blankenbaker iaitu Kenbak-1 pada tahun 1970 dan mula dijual pada tahun 1971. Dijual dengan harga Rm 3300.00 pada tahun tersebut dan sebanyak 40 hingga 50 unit terjual yang majoritinya di sekolah-sekolah. Selepas 5 tahun Kenbak-1 diperkenal dan dijual, syarikat-syarikat gergasi seperti IBM, Microsoft dan Apple mula mengatur gerak memperkenalkan produk mereka. Antara komputer terawal ialah :

I) Altair 8800

Dikeluarkan oleh Syarikat MITS di Amerika pada tahun 1975. Ia merupakan komputer pertama menggunakan pemproses Intel dan menggunakan sistem pertama dari Microsoft. Komputer yang lengkap dipasang ini dijual dengan harga Rm 2700.00 pada tahun tersebut (Rm 12,235.00 mengikut tahun terkini) dilengkapi dengan sistem pemproses Intel 8800, RAM 256 bytes, 64k maksima dan menggunakan kaset untuk menyimpan data.

II) IMSAI 8080

Dikeluarkan oleh IMSAI Manufacturing Corp. Diumumkan pada Ogos 1975 iaitu 7 bulan selepas Altair 8800. Dipasarkan sebanyak 20,000 unit dengan harga Rm 4,100.00 pada tahun tersebut. Ia juga menggunakan sistem pertama dari Microsoft dengan pemproses Intel 8800 yang kemudian dinaik taraf kepada Intel 8085 dengan kemampuan RAM maksima 64k. Menggunakan kaset untuk menyimpan data. Komputer ini juga dikatakan sebagai klon kepada Altair 8800. Nampaknya isu klon bukan benda baru.

III) IBM 5100

Dikeluarkan oleh International Business Machines Corporation (IBM Corporation) pada September 1975. Ia merupakan komputer mudah alih seberat 25 kg. Menggunakan pemproses IBM iaitu IBM PALM dengan keupayaan 1.9MHz. Menggunakan RAM 16k dengan 64k maksima, ia juga mempunyai skrin sebesar telefon pintar 5 inci. Menyediakan storan pita dalaman (internal tape storage) berkapasiti 200k untuk menyimpan data.

IV) Apple 1

Dikeluarkan oleh Apple Computer Company (kini Apple Inc.) pada tahun 1976. Ia dibina oleh Steve Wozniak dan dipasarkan oleh rakannya Steve Jobs yang mempunyai idea dalam pemasaran Apple 1. Apple 1 ialah produk pertama dari Apple yang dipasarkan pada 11 April 1976 kira-kira 41 tahun yang lalu. Apple 1 menggunakan pemproses MOS 6502 berkeupayaan 1.0MHz didatangkan dengan RAM biasa 4k yang boleh ditingkatkan kepada 65k melalui komponen luar. Menggunakan skrin bersaiz 280×192, ia mampu memuatkan 24 patah perkataan dalam 1 baris dengan 40 baris kesemuanya. Apple 1 dijual pada harga Rm 2950.00 pada tahun tersebut dengan anggaran Rm 12,437.00 pada zaman ini.

V) Compucolor 8001

Dikeluarkan oleh Intelligent Systems Corporation (ISC) pada tahun 1976. Ia merupakan komputer pertama yang menggunakan skrin CRT sebesar 19 inci dengan 8 warna. Dikuasakan oleh pemproses Intel 8080 dengan keupayaan 2MHz, RAM 4k dipertingkat kepada 32k dan menggunakan pita cakera luaran (external) untuk menyimpan maklumat. Dengan spesifikasi tersebut, ia dijual dengan anggaran Rm 11,930 pada tahun tersebut dan menjadikan ia antara komputer paling mahal pernah dibina.

Saya ringkaskan di sini saiz data komputer untuk kefahaman umum. Bit, Byte (8bit), Kilobyte (1024bytes), Megabyte, Gigabyte, Terabyte, Petabyte, Exabyte, Zettabyte dengan saiz 1024 setiap 1 unit ukuran.

Umumnya, perbezaan yang sangat ketara dari segi saiz, berat, harga dan spesifikasi adalah satu titik yang membawa kita ke dunia moden. Harga yang mencecah belasan ribu (jika dibandingkan dengan harga sekarang) melalui spesifikasi yang sangat terhad serta saiz dan berat berkali ganda dari komputer yang ada pada zaman sekarang merupakan bukti dunia kini penuh dengan kemudahan.

Amirul Barzam bin Zol Baharin,
Kuliah Syariah Islamiah, Universiti al-Azhar, Kaherah

Rujukan:
bbc.com
lowendmac.com
wikepedia.org
livescience.com
xe currency

Muat turunĀ PDF Risalah Multimedia siri 21

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *