Month: April 2019

APA ITU STROK?

Strok atau angin ahmar berlaku apabila bekalan darah ke sebahagian otak terganggu sama ada tersumbat dengan darah beku (Strok Iskemik) atau saluran darah otak pecah (Strok Hemoragik), yang menyebabkan kekurangan oksigen dan nutrien ke tisu-tisu otak. Ini menyebabkan sel-sel otak mati dengan cepat dan gangguan kepada anggota badan untuk berfungsi dengan baik. Angin ahmar merupakan punca kematian ketiga terbesar dan punca utama kecacatan di Malaysia.

Faktor risiko penyumbang kepada strok/angin ahmar yang tidak boleh diubah suai adalah:

• Umur – Peningkatan umur, terutama apabila meningkat umur 65 tahun ke atas, risiko mendapat strok/angin ahmar lebih tinggi.
• Jantina – Lelaki lebih berisiko tinggi daripada wanita.
• Sejarah keluarga – Risiko lebih tinggi jika terdapat ahli keluarga yang menghidap strok/angin ahmar atau angin ahmar ringan (Minor Stroke/Transient Ischaemic Attack).

Faktor risiko yang boleh diubah suai adalah:

• Tekanan darah tinggi.
• Kencing manis.
• Paras kolesterol tinggi.
• Merokok.
• Berat badan yang berlebihan.
• Cara hidup tidak aktif (sedentari).
• Tekanan/stress.
• Pemakanan – kurang serat dan tinggi lemak.
• Minuman keras – minum minuman keras yang berlebihan.

Apakah gejala atau tanda-tanda strok/angin ahmar?

• Rasa semut-semut dan kebas secara tiba-tiba pada sebahagian badan.
• Rasa lemah, kebas atau lumpuh bahagian muka, kaki atau tangan secara tiba-tiba.
• Celaru/keliru, susah bertutur atau memahami pertuturan orang lain secara tiba-tiba.
• Sakit kepala yang kuat tanpa sebab tertentu.
• Penglihatan kabur tiba-tiba pada sebelah mata atau kedua-dua mata.
• Sukar berjalan, pening atau hilang imbangan atau koordinasi secara tiba-tiba.
• Sukar menelan.

Bagaimana untuk mengelak dari serangan strok/angin ahmar?

• Kawal tekanan darah.
• Kawal tahap kolesterol.
• Kawal penyakit diabetes.
• Amalkan cara pemakanan sihat.
• Berhenti merokok.
• Kerap bersenam.
• Menangani tekanan mental.
• Jauhi pengambilan minuman keras.

Apakah rawatan untuk strok/angin ahmar?

• Dimasukkan ke hospital untuk pengesahan punca strok dan mengenal pasti berapa luas tisu otak yang telah rosak.
• Dirawat dengan pemberian ubat jika perlu.
• Pembedahan untuk menghentikan perdarahan otak jika berkaitan.
• Mulakan rawatan pemulihan/rehabilitasi secepat mungkin seperti senaman menguatkan otot yang terlibat, latihan pertuturan dan penyesuaian kepada aktiviti harian (ADL).
• Nasihat amalan pemakanan sihat.

Rujukan:

1) http://www.myhealth.gov.my/angin-ahmar-strok/
2) http://www.myhealth.gov.my/posisi-badan-dan-anggota-yang-baik-untuk-pesakit-strok-angin- ahmar/
3) Systemic Pathology Dr. Ali El-Hindawi book

Muhammad bin Aziz,
Mahasiswa Perubatan Cawangan al-Azhar,
Kaherah, Mesir.

Muat turun Risalah Kesihatan siri ke 96

KENALI VIRUS-VIRUS DAN CARA MENGATASINYA

1. TROJAN

Trojan adalah salah satu jenis virus yang mampu menyamar sebagai program yang sebenar bahkan sebagai software antivirus. Berkemampuan menghapus dan mencuri data-data yang terdapat dalam komputer seperti maklumat perbankan dan lain-lain.

Solusi: Dengan menggunakan dan mengaktifkan Firewall atau Windows Defender yang telah tersedia dalam perincian komputer sudah memadai. Untuk keberkesanan yang lebih efektif, pastikan Firewall atau Windows Defender sentiasa dikemas kini. Terdapat juga antivirus khusus untuk virus Trojan yang mana boleh didapati di dalam web.

2. WORM Worm

adalah sejenis virus yang mampu membuat fail-fail yang tidak berguna sehingga memenuhi hardisk atau storage komputer mahupun telefon. Ini kerana sifatnya yang mampu berkembang dan menggandakan dirinya dengan cepat. Pada kebiasaannya ia tersebar melalui e-mel dan jaringan internet.

Solusi: Sentiasa mengemas kini Windows Defender atau untuk keberkesanan yang lebih efektif, scan menggunakan antivirus yang berlesen dan berbayar seperti Kaspersky Internet Security, Avast dan lain-lain lagi.

3. FAT VIRUS

Nama sebenarnya File Allocation Table. Ia mampu merosakkan fail-fail yang terdapat dalam folder tertentu. Fail yang terkena virus ini pada kebiasannya akan hilang dan susah untuk dicari kembali.

Solusi: Lakukan pembersihan atau scan menggunakan antivirus.

4. OVERWRITE VIRUS

Overwrite Virus adalah sejenis virus yang memiliki kemampuan untuk menghapus fail atau data tanpa mengubah ukuran fail tersebut sehingga pengguna tidak akan merasa curiga akan keberadaannya. Contohnya, anda memiliki data sebesar 16 GB. Data tersebut kemudian hilang sepenuhnya kerana terkesan oleh Overwrite Virus. Meskipun demikian, kapasiti hardisk anda akan tetap terpakai sebanyak 16 GB walaupun sebenarnya data tersebut sudah terhapus.

Solusi: Cuba scan menggunakan antivirus. Jika tidak berkesan, maka caranya hanyalah dengan menghapuskan sepenuhnya fail yang dijangkiti sekaligus fail yang asal juga akan turut terhapus.

5. SHORTCUT VIRUS

Shortcut Virus adalah virus yang membentuk shortcut-shortcut yang muncul dalam bentuk folder yang ada (cloning), meskipun sudah dihapuskan, namun ia tetap akan kembali. Ini sangat berbahaya dan akan merosakkan sistem kerja komputer jika tidak diselesaikan dengan segera.

Solusi: Scan komputer menggunakan antivirus yang khusus untuk shortcut seperti HFV atau scan dengan menggunakan antivirus Smadav yang terkini, yang boleh didapati di dalam web. Jikalau ingin keberkesanan yang lebih efektif, maka scan komputer anda dengan menggunakan antivirus yang berlesen dan berbayar.

Rujukan :

https://blog.dimensidata.com/macam-jenis-nama-virus-komputer-dan-cara-mengatasinya/
https://www.indoworx.com/jenis-virus-komputer/ https://jalantikus.com/tips/virus-komputer-berbahaya-dan-cara-mengatasinya/
https://www.inews.id/techno/read/187057/kenali-5-jenis-malware-dan-cara-mengatasinya
https://faris6593.blogspot.com/2016/03/penjelasan-virus-shortcut-dan-cara-membasminya-menggunakan-software-hijackthis.html

Mahmud Muzakkir bin Mad Yusoff,
Kuliah Usuluddin,
Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Muat turun Risalah Multimedia siri ke 35

TAWAQUF PROGRAM

[MAKLUMAN | TAWAQUF PROGRAM]

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat, ahli keluarga, serta rakan-rakan seperjuangan dan pengikut baginda sekalian.

Setelah hampir tiga bulan para mahasiswa dan mahasiswi bertungkus-lumus dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang penuntut ilmu di bumi Mesir ini, maka pada tanggal 25 Mei 2019, akan bermulalah peperiksaan fasa dua bagi setiap bidang pengajian Islam dan akan berakhir pada 25 Jun 2019.

Demi memastikan kecemerlangan khususnya dalam bidang akademik, Unit Perancang di bawah Jabatan Timbalan Yang Dipertua, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir sesi 2018/2019 telah menetapkan tarikh penangguhan program yang melibatkan semua ahli KPKM kecuali program yang melibatkan thaqafah dan pendidikan.

Hal ini bertujuan memberi peluang dan ruang seluas-luasnya kepada semua ahli untuk mengulangkaji pelajaran dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada akademik seterusnya membuat persediaan yang rapi bagi menghadapi peperiksaan yang akan tiba tidak lama lagi.

Penangguhan program akan bermula pada 25 April 2019 yang melibatkan seluruh mahasiswa dan mahasiswi KPKM bidang pengajian Islam al-Azhar.

Diharapkan dengan penangguhan ini, semua mahasiswa dan mahasiswi dapat menggunakan peluang dan memanfaatkan masa dengan sebaiknya seperti menghidupkan suasana ‘study group’ bersama rakan-rakan, menghadiri kuliah yang berbaki dan kelas-kelas tutorial yang dianjurkan.

Semoga penetapan ini akan memberi kesan dan impak yang besar dalam memastikan kecemerlangan dan pencapaian akademik ahli terus meningkat pada sesi ini.

Sekian, wassalam.

Sayyidi Muizzuddin bin Mohamad Sabri,
Timbalan Yang Dipertua,
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2018/2019.

“Belajar dan Beramal”
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”
#BersamaBersatu
#UkhuwahKitoKkuatFikrahKitoKkemah

HAK ’19

KAHERAH, 27 JANUARI 2019 – Telah berlangsungnya Himpunan aktivis KPKM yang diberi nama HAK’19 di bawah anjuran Jabatan Yang Dipertua melalui unit perancang KPKM 2018/2019 bertempat di surau Wisma Sultan Muhammad ke V bermula dari jam 7.00 pagi sehingga jam 4.00 petang.

Tujuan program sebegini diadakan adalah bagi membina pelapis dalam bidang kepimpinan sekaligus melahirkan “Aktivis  Proaktif” dalam gerak kerja bersesuaian dengan tema program kali ini. Antara objektif program ini adalah ingin melahirkan pelapis yang mantap dalam kepimpinan, khususnya KPKM mengikut landasan syara’. Yang kedua, memperkasakan kualiti aktivis demi meningkatkan keunggulan dan kemantapan gerak kerja KPKM. Yang ketiga, memupuk kecintaan terhadap KPKM dalam kalangan ahli sebagai persatuan mahasiswa islam. Dan akhirnya, ingin mengeratkan ukhuwah islamiah dalam kalangan ahli KPKM.

Kehadiran peserta pada program kali ini sangat memuaskan apabila sebahagian besar aktivis KPKM dapat menghadirkan diri bagi menjayakannya. Program ini dimulai dengan slot taklimat oleh unit disiplin program. Seterusnya, diteruskan lagi dengan slot perasmian yang dirasmikan oleh anggota lembaga penasihat kpkm, ustaz Ahmad Subhi bin Zainal Abidin. Kemudian program diteruskan lagi dengan slot pengisian yang ditunggu-tungu oleh para aktivis KPKM iaitu slot Kesetiausahaan yang dihandle oleh Setiausaha Agong KPKM 2018/2019, ustaz Mohd Nazif bin Mohd Razif dan slot Kebendaharaan yang dihandle oleh Bendahari Agong KPKM 2018/2019, ustaz Mohd Atiquddin bin Omar.

Seterusnya program diteruskan lagi dengan slot terakhir yang telah disempurnakan oleh Yang Dipertua KPKM 2018/2019, ustaz Asrol Hasnan bin Mohd Zin yang menekankan usul KPKM yang dibawa pada tahun ini. Program diakhiri dengan sesi bergambar diantara kepimpinan KPKM bersama peserta himpunan aktivis KPKM.

Mudah-mudahan pencapaian objektif utama program pada kali ini dapat dicapai untuk melahirkan aktivis yang proaktif dalam gerak kerja persatuan mahupun di medan sebenar kelak.

Disediakan oleh:
Setiausaha HAK’19,
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2018/2019.

BAZAR KELATE ‘19

17, 18, 19 & 20 FEBRUARI 2019, KAHERAH – Bazar Kelate ’19 anjuran Lajnah Ekonomi KPKM 2018/2019 bertemakan “Kekuatan Ekonomi Pemangkin Keunggulan Organisasi” telah diadakan di Wisma Sultan Muhammad V. Program bermula pada jam 12:30 tengahari dan berakhir pada jam 10:00 malam.

Program Bazar Kelate ’19 dianjurkan sebagai salah satu usaha untuk menjana dan meningkatkan kewangan KPKM bagi meneruskan kelangsungan KPKM sebagai organisasi yang berkebajikan terhadap ahlinya dalam setiap aspek. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah sesama ahli serta individu luar, memupuk konsep kerjasama dalam kalangan ahli KPKM, mewujudkan dan membudayakan muamalat patuh syariat serta menyediakan medan kepada ahli untuk menjana pendapatan.

Bazar Kelate ’19 menyajikan beraneka jenis pilihan makanan yang sangat menarik lagi menyelerakan dengan harga yang sangat berpatutan kepada para pengunjung. Terdapat 8 petender yang mengambil bahagian untuk membuka gerai jualan makanan dalam bazar pada kali ini dan tidak ketinggalan juga Gerai KPKM yang menyediakan pelbagai menu minuman, air batu campur (ABC), cendol pulut tapai special (CPT special), bingsu serta roti canai. Selain itu, terdapat juga booth yang dibuka seperti booth Lajnah Ekonomi, booth Lajnah Penerbitan, booth Unit Biah Solehah, booth Unit Bait Muslim, booth Unit Hisbah dan booth Unit Fotografi, Audio & Video (UFO).

Pihak penganjur mengambil kesempatan berinteraksi dan melayani pimpinan BKAN lain yang hadir dengan mengadakan temu ramah mesra melalui deejay. Para pengunjung dapat membuat seleksi lagu nasyid pilihan serta membuat ucapan khusus kepada sahabat dan kenalan yang ada di kaunter Unit TTK. Program ini turut dimeriahkan lagi dengan permainan dan aktiviti yang tidak kurang menariknya seperti teka kacang, gusti lengan, dart, tiup belon berhalangan, bowling angin, pop-up, alihan berwaspada, celik hati celik mata, rangkaian nombor, lompat sibola lompat, dan lilit serban bagi kategori mutazawwijin. Selain itu, Lajnah Penerbitan turut menganjurkan pertandingan Wallpaper sempena Ulang Tahun KPKM kali ke-54 sempena Bazar Kelate ’19.

Hari terakhir bazar menyaksikan Wisma Sultan Muhammad V dibanjiri pengunjung yang cukup ramai yang datang untuk menikmati keenakan dan keunikan makanan yang ada. Acara kemuncak Bazar Kelate ’19 iaitu majlis penutup bermula pada pukul 9:00 malam dan dimulakan dengan ucapan pengarah program, Ustaz Ahmad Nabil Bin Ahmad Fauzi yang juga merupakan Ketua Lajnah Ekonomi KPKM 2018/2019. Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap pertandingan yang telah dianjurkan, termasuklah pemenang anugerah Gerai Terbaik yang bertujuan untuk memberikan galakan dan motivasi serta sebagai tanda penghargaan kepada semua yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan program mega ini.

Majlis penutup Bazar Kelate ’19 telah dirasmikan oleh Yang Di-pertua  KPKM 2018/2019, al-Fadil Ustaz Muhammad Asrol Hasnan bin Mohd Zain yang mana menjadi lebih istimewa dan bermakna kerana diserikan lagi dengan gimik memotong kek sempena sambutan ulang tahun KPKM kali ke-54. Majlis diakhiri dengan persembahan nasyid daripada kumpulan nasyid KPKM dan juga tayangan video Bazar Kelate ’19 yang memaparkan rakaman momen-momen sepanjang program berlangsung.

Mudah-mudahan pencapaian objektif utama program ini dianjurkan, iaitu untuk menjana kewangan KPKM sedikit sebanyak dapat membantu mengukuhkan ekonomi KPKM bagi meneruskan kelangsungan KPKM sebagai badan yang berkebajikan terhadap ahlinya dalam setiap aspek yang telah sekian lamanya menaungi anak-anak Kelantan di bumi Mesir. Semoga melalui pelaksanaan program ini juga ukhuwah sesama ahli KPKM dapat dikukuhkan lagi.

Disediakan oleh:
Muhamad Yusri bin Abdullah,
Setiausaha Bazar Kelate  ‘19,
Lajnah Ekonomi, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2018/2019

QUM FA ANZIR ‘19

13 FEBRUARI 2019, KAHERAH – Qum Fa Anzir ‘19 merupakan program anjuran Unit Hisbah di bawah Jabatan Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2018/2019 bertemakan “Bangunlah, Beri Peringatan!” telah diadakan di Wisma Sultan Muhammad V dan Wisma Tengku Mahkota Kelatan. Program bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 4.00 petang.

Program Qum Fa Anzir ‘19 dianjurkan sebagai salah satu usaha untuk menyampaikan dakwah kepada mahasiswa/wi supaya dapat memahami Islam secara syumul. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk menerangkan konsep amar makruf nahi mungkar, memberi pendedahan berkenaan keselamatan dan teknik mempertahankan diri serta mengeratkan ukhuwah Islamiah sesama ahli.

Program Qum Fa Anzir ’19 dibuka tirainya pada sesi pagi dengan majilis perasmian yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir (BKPPM), Ustaz Muhamad Hafizuddin bin Mat Nasir, Mahasiswa Kuliah Bahasa Arab Universiti Al-Azhar. Seterusnya program diteruskan lagi dengan pengisian slot yang pertama bertajuk “Etika Keselamatan HISBAH dan JAKSI” yang disampaikan oleh saudara Muqri Afifi bin Mazlan, Penasihat PERUBATAN Cawangan Al-Azhar 2018/2019 dan Ustaz Mohd Adri Afzan bin Marzelan, Pengarah Unit Hisbah KPKM 2018/2019.

Kemudian program ini diteruskan lagi dengan pengisian slot yang kedua yang bertajuk “Titik Kelemahan” yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Yusran Azim bin Mohd Berkuri, Koordinator Kebudayaan, Kesenian dan Sukan MG BKAN. Pengisian ini menerangkan kepada peserta berkaitan teori asas pertahanan diri ketika situasi kecemasan apabila berdepan dengan penjenayah di Mesir.

Setelah itu program diteruskan lagi pada sesi petang dengan pengisian slot praktikal iaitu “Slot Waja Diri” yang diadakan di Wisma Sultan Muhammad V bagi mahasiswa dan Wisma Tengku Mahkota Kelantan bagi mahasiswi. Slot ini dikendalikan oleh 6 orang jurulatih seni mempertahankan dari kalangan mahasiswa/wi Mesir ini sendiri. Di dalam slot ini peseta diberi peluang untuk mengetahui kaedah aplikasi bagi teori seni pertahanan diri yang telah didedahkan pada slot yang kedua melalui praktikal yang dibimbing oleh para jurulatih.

Akhirnya, Majlis penutup Program Qum Fa Anzir ’19 telah dirasmikan oleh Yang Dipertua KPKM 2018/2019, al-Fadil Ustaz Muhammad Asrol Hasnan bin Mohd Zin di Wisma Sultan Muhammad V dan Ketua HEWI KPKM 2018/2019, al-Fadilah Ustazah Norliana binti Mohd Nasir di Wisma Tengku Mahkota Kelantan.

Mudah-mudahan pencapaian objektif utama program ini dianjurkan, iaitu untuk mendedahkan mahasiswa/wi secara dekat berkenaan perihal “Amar Makruf Nahi Mungkar” dalam Islam dan juga keselamatan ahli di Mesir ini sedikit sebanyak dapat membantu menambahkan lagi kekuatan dan kesatuan sesama ahli KPKM.

Disediakan oleh:
Wan Ismail bin Wan Mustaffa Fikri,
Setiausaha Qum Fa Anzir ‘19,
Unit Hisbah, Jabatan Yang Dipertua KPKM 2018/2019.

IJTIMAK KARYAWAN ISLAM 2019

12 FEBRUARI 2019, KAHERAH – Ijtimak Karyawan Islam anjuran Lajnah Penerbitan KPKM 2018/2019 bertemakan “Karyawan Islamik, Media Dinamik” telah diadakan di dewan Dr. Tengku Fa-iz Petra, Wisma Tengku Mahkota Kelantan. Program bermula pada jam 1.00 tengah hari dan berakhir pada jam 6.00 petang. Program ini telah dihadiri oleh ahli-ahli KERIS seramai 31 orang ikhwah dan 32 orang akhawat. Yuran pendaftaran bagi program ini ialah LE 10.

Program Ijtimak Karyawan Islam ini dianjurkan bagi menyelaraskan kembali gerak kerja dan kefahaman untuk membentuk hasil kerja yang kreatif dan inovatif. Program ini dimulakan dengan slot pertama iaitu pendedahan berkaitan dengan design (pattern, trend dan sumber design) yang disampaikan oleh Ustaz Wan Muhammad Afiq bin Wan Azli, Ketua Lajnah Penerbitan KPKM 2018/2019.

Program diteruskan lagi dengan slot kedua  iaitu penerangan tentang aliran gerak kerja KERIS dan etika poster KPKM yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Amin Najmi bin Suhardi, Pengarah Kelab Karyawan Islam (KERIS) 2018/2019.

Program ini juga telah mendapat respon yang baik daripada peserta. Peserta-peserta dari kalangan ahli KERIS juga turut memberi muhasabah dan cadangan bagi penambahbaikan pada sesi ini.

Sebelum program ini berakhir, pihak penganjur menjemput Ustaz Muhammad Asrol Hasnan bin Mohd Zin, Yang Dipertua KPKM 2018/2019 untuk menyampaikan ucapan penutup. Seterusnya, program diakhiri dengan tayangan video Ustaz Ubaidillah Alias, mantan Ketua Lajnah Penerbitan sesi 2012/2013 yang memberi kata-kata semangat sebagai seorang muslim yang mampu memberi manfaat kepada orang lain dan sesi bergambar para peserta

Moga-moga pencapaian objektif utama program ini dianjurkan iaitu, untuk memberi kefahaman berkaitan peranan karyawan Islam dalam mengharungi cabaran-cabaran di dalam dunia siber. Bukan itu sahaja, malah dapat memberikan sedikit sebanyak sumbangan kepada KPKM justeru menaikkan nama Islam itu sendiri.

Disediakan oleh:
Ammar bin Baharin,
Setiausaha Ijtimak Karyawan Islam,
Lajnah Penerbitan, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2018/2019.