SEMINAR PERADABAN KERAJAAN NEGERI KELANTAN DI TIMUR TENGAH 2019 (SPEKTRUM ‘19)

KAHERAH, 17, 18 & 19 SEPTEMBER 2019 – Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir telah menganjurkan program Seminar Peradaban Kerajaan Negeri Kelantan Di Timur Tengah 2019 (SPEKTRUM ’19) dengan kerjasama Pejabat Pegawai Atase Pendidikan Kelantan Mesir bertemakan “KPKM Diungguli, Kelantan Diterajui, Islam Didokongi” bertempat di Dewan Markaz Syeikh Zayed Hayyu Sadis, Wisma Sultan Muhammad V dan Dataran Kompleks Hayyu Asyir.

Program SPEKTRUM ’19 adalah salah satu usaha untuk menerangkan kepada mahasiswa mahasiswi tentang persediaan untuk berada dalam lapangan masyarakat serta memberi pencerahan buat anak-anak Kelantan yang akan pulang berkhidmat di tanah air kelak. Selain itu, ia juga mendorong anak-anak Kelantan yang berada di Mesir untuk meningkatkan mutu daripada sudut pendidikan dan sebagai medan mengeratkan hubungan ukhuwah islamiah antara pimpinan dan anak-anak perantauan yang berada dibumi anbia ini serta mewujudkan perkongsian dua hala.

Antara pengisian menarik yang diadakan di bawah SPEKTRUM ’19:

  1. Slot pertama : Pembentangan kertas kerja bertajuk “Islam dan Barat”.
  • YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli bin Dato’ Hj Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi
  1. Slot kedua : Forum yang bertajuk “Yalla Bena”.
  • Ustaz Mohd Asri bin Mat Daud, Setiausaha Politik Menteri Besar Kerajaan Negeri Kelantan
  • Haji Azi Rahimee bin Haji Mohamed, Pengarah YAKIN
  1. Slot ketiga : Slot Wanita yang bertajuk “Bicara Peranan dan Cabaran Wanita”.
  • YABhg Datin Bentara Kanan Hajah Siti Zabidah binti Ab Hamid, Isteri Menteri Besar Kerajaan Negeri Kelantan
  • YB Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff, Ahli Parlimen Rantau Panjang
  1. Slot keempat : Pembentangan kertas kerja bertajuk “Cabaran dan Peranan Mahasiswa Azhari dalam Membentuk Mekanisme Pemantapan Aqidah Ummah”.
  • YB Dato’ Che Abdullah bin Mat Nawi, Ahli Parlimen Tumpat
  1. Slot kelima : Forum yang bertajuk “Bicara Merakyat Membangun Bersama Islam”.
  • YB Dato Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin bin Haji Daud, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta
  • YB Ustaz Haji Ahmad Fadhli bin Shaari, Ahli Parlimen Pasir Mas

Kelima-lima slot ini telah berlangsung dengan jayanya selama dua hari iaitu pada 17 dan 18 September 2019. Para ahli KPKM yang mendaftarkan diri dalam setiap slot pengisian ini tidak melepaskan peluang keemasan untuk berada bersama pimpinan bagi mengambil info dan maklumat penting daripada wakil kerajaan negeri serta menyambut baik sesi dua hala antara pimpinan dan ahli.

Slot kemuncak bagi program SPEKTRUM ’19 ialah Majlis Perasmian Penutup bagi program Seminar Peradaban Kerajaan Negeri Kelantan Di Timur Tengah 2019 bertempat di Dewan Markaz Syeikh Zayed Hayyu Sadis, 18 September 2019 yang disempurnakan oleh YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Dato Haji Ahmad bin Yakob, Menteri Besar Kerajaan Negeri Kelantan. Majlis ini diserikan lagi dengan gimik perasmian program dan penyerahan sumbangan kepada KPKM.

Dalam ucapan perasmian penutup YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan menyampaikan amanat kepada anak-anak Kelantan antara lain memberikan penekanan berikut:

  1. Kepentingan menuntut ilmu bagi generasi muda tidak kira dimana sahaja ilmu diperoleh.
  2. Kerajaan Negeri komited dengan pelaksanaan Dasar Membangun Bersama Islam dengan merangka pelan pembangunan yang holistik ke arah bukan sahaja menjadikan Kelantan Bumi tadahan Wahyu malah sebagai Bumi Tadahan Rahmat dengan pelaksanaan Dasar Islam dalam semua aspek Pembangunan.
  3. Penting Kelantan untuk terus melahirkan Modal Insan yang seimbang serta memiliki penguasaan ilmu yang menyeluruh dan bakal menjadi pewaris kepada kepimpinan Kerajaan Negeri di masa hadapan.

Keesokan harinya, dua acara penting yang telah diadakan iaitu Jamuan Rakyat dan Ceramah Perdana. Manakala, aktiviti gotong-royong sembelihan dan lapahan telah dibuat sehari sebelum bermulanya Jamuan Rakyat bertempat di Wisma Sultan Muhammad V. Aktiviti sembelihan ini telah disempurnakan oleh Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin bin Haji Daud, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta.

Seterusnya, slot Ceramah Perdana pada sebelah malam ini menampilkan beberapa panel yang terkemuka daripada Delegasi Rombongan Kerajaan Negeri Kelantan iaitu YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Dato Haji Ahmad bin Yakob, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Dato’ Hj Hassan, YB Dato Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin bin Haji Daud, YB Dato’ Che Abdullah bin Mat Nawi, YB Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff dan YB Ahmad Fadhli bin Shaari.

Akhir sekali, mudah-mudahan dengan adanya program dan aktiviti sebegini dapat memberi pencerahan berkaitan peluang pekerjaan kepada mahasiswa yang bakal pulang berkhidmat di tanah air seterusnya menjadi medan latihan sebelum terjun ke kancah masyarakat. Pihak KPKM mengucapkan sekalung penghargaan kepada YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Dato Haji Ahmad bin Yakob, Menteri Besar Kerajaan Negeri Kelantan serta delegasi rombongan atas kesudian merasmi dan menjayakan program SPEKTRUM ’19. Jutaan tak terhingga juga diucapkan kepada seluruh penggerak dan ahli yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.

 

Disediakan oleh :
Muhammad Nazhif bin Mohd Razif
Setiausaha Seminar Peradaban Kerajaan Negeri Kelantan Di Timur Tengah 2019 (SPEKTRUM ’19)
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2018/2019

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *