IBADAH MEMBURU REDA

Erti Pengorbanan,

Dalam menempuh liku-liku kehidupan, sudah pasti terdapat unsur yang terpaksa kita tinggalkan.

Bagi orang yang sudah mencapai kejayaan yang diinginkan, boleh dikatakan bohong jika dia tidak pernah berkorban apa-apa. Sama ada pengorbanan masa,tenaga atau harta. Semua ini memerlukan kepada himmah dan kesungguhan yang tinggi dalam menggapai cita-cita.

Analogi yang cukup mudah. Seorang pekerja biasa bercita-cita ingin menjadi pengurus dalam sesebuah syarikat. Bagi merealisasikan impiannya, sudah tentu dia akan melipat gandakan usaha serta bekerja dengan baik.

Menjauhkan diri daripada ponteng kerja, datang awal ke pejabat, sentiasa menyiapkan kerja yang diberikan, semua itu memerlukan kepada kerajinan, kesungguhan dan pengorbanan. Cuba bayangkan, jika dia datang ke pejabat lewat waktu, kerja entah ke mana, datang kerja pun seminggu sekali… adakah layak dia menjadi seorang pengurus?

Semestinya tidak !

Suka untuk saya mengaitkan contoh di atas bahawa sebagai seorang hamba Allah SWT menjadi suatu kewajipan ke atas kita untuk mencari reda-Nya.

Kenapa?

Kerana dengan reda Allah SWT sahaja kita dapat memasuki syurga. Nak dapat reda Ilahi perlu melalui amal-amal soleh. Nak lakukan amal pula perlu kepada ilmu. Taqwa merupakan salah satu cabang untuk memperoleh reda-Nya. Melakukan segala ketaatan dan menjauhi segala larangan. Itulah yang dimaksudkan bertaqwa kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam surah ali-Imran ayat 110 :

(كُنتُمۡ خَیۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ … إلخ)

Maksudnya; Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).

Ya, Memang diakui perbuatan yang ditegah oleh Allah SWT, mempunyai nikmat tersendiri. Orang yang melakukan maksiat seperti mencuri,mengumpat, melihat perkara haram akan berasa aman dengan maksiat yang dilakukan.

Begitu juga amal kebaikan. Orang yang sentiasa melazimi solat berjemaah, sedekah kepada orang memerlukan akan merasai satu nikmat. Setiap kali ingin melakukan amal tidak menjadi satu keberatan bagi dia. Oleh itu, adakah wajar orang yang ingin kepada reda Ilahi tetapi pada waktu yang sama melanggar perintah-Nya?

Sedarlah, bahawa dua nikmat itu tidak mungkin dapat disatukan. Pilih antara dua. Sama ada nikmat yang membawa kita kepada syurga ataupun nikmat yang mencampakkan kita ke dalam api neraka jahannam. Di sini kita dapat lihat bahawa perlunya kepada pengorbanan jasad dan juga rohani lebih-lebih lagi.

Dekatkan diri kita dengan Allah SWT dengan melakukan amal kebajikan. Cuba jauhkan diri kita daripada terjebak dengan perkara-perkara keji. Gunakan segala qudrat yang ada untuk mengatasinya. Usaha itulah yang akan dinilai oleh Allah SWT kelak.

Marilah sama-sama kita amati kisah Nabi Ibrahim AS. Baginda diuji oleh Allah SWT dengan ujian yang berat. Baginda meninggalkan isteri dan anaknya, Siti Hajar dan Nabi Ismail alaihissalam di suatu lembah yang tiada air mahupun tanam-tanaman. Perintah Allah SWT terus dijalankan oleh baginda. Tidak cukup dengan itu, Nabi Ibrahim AS bermimpi bahawa baginda menyembelih anak kesayangannya. Ia juga merupakan perintah daripada Allah SWT.

Kedua-dua perintah ini dapat kita telusuri dalam firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 37 dan surah as-Saffat ayat 102. Apa yang saya ingin kaitkan di sini ialah ketaatan Nabi Ibrahim AS menjalankan perintah Allah SWT walaupun terpaksa berkorban perasaan cinta dan rindu kepada isteri dan anaknya.

Sebagai konklusi, marilah sama-sama kita memburu reda Ilahi dengan melakukan amal kebajikan seikhlas mungkin. Dalam waktu yang sama mencegah diri kita daripada melakukan kemungkaran dan maksiat sekeliling.

Hindarkan daripada mengharap reda manusia, berpalinglah daripada mengharap perhatian mereka. Cukuplah sekadar niat dalam hati untuk mendapat reda-Nya kerana ia menjadi tiket untuk ke syurga.

Saya akhiri dengan satu ucapan daripada ustaz yang telah banyak mendidik saya.

Beliau berkata;

“Umat yang berjaya ialah umat yang mampu berkorban dari segenap sudut untuk Islam”.

Moga perkongsian yang sedikit ini dapat memberi manfaat bersama.

Sekian, terima kasih.

Muhammad Ziad Zulmajdi bin Mat Ali
Kuliah Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri ke 463

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *