Month: December 2019

MITOS DAN FAKTA: APA KATA DOKTOR?

MITOS DAN FAKTA: APA KATA DOKTOR?

Kesihatan badan merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai. Perlu diingatkan bahawa tubuh badan yang dipinjamkan Allah SWT ini bukanlah kepunyaan dan hak milik kita. Oleh itu, menjaga kesihatan tubuh badan dan menjalankan hak serta tanggungjawab ke atas tubuh badan adalah dituntut oleh Islam.

Kesakitan pula merupakan ujian yang diberikan Allah SWT, lalu tugas kita selaku hamba adalah dengan berusaha dan berikhtiar bagi mengekalkan kesihatan badan serta menyerahkan urusan menyembuhkannya kepada yang Maha memberikan kesembuhan, iaitu Allah SWT.

Pelbagai mitos mengenai kesihatan yang kita dengar sejak sekian lama. Mitos juga didefinisikan sebagai cerita mengenai seseorang atau perkara yang tidak benar, tidak sahih dan direka-reka. Mitos berkaitan kesihatan juga begitu banyak berlegar dalam kalangan masyarakat Malaysia hari ini.

Lantas, bertanyalah kepada mereka yang pakar dan ahlinya dalam bidang tersebut apabila mendapat sebarang info atau maklumat sebelum disebarluaskan kepada orang lain.

Maksud firman Allah:

“Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui “ (Surah An-Nahl: 43)

Jadi, mari kita lihat beberapa perkongsian mitos mengenai kesihatan dibawah:-

  1. Benarkah biji lada, biji sawi, biji terung dan sebagainya yang tidak dihadam akan menyebabkan radang apendiks?

Fakta:

  • Appendicitis atau radang appendiks merupakan satu keadaan di mana appendiks membengkak dan dipenuhi nanah.
  • Punca utama keradangan appendiks ialah ketulan najis yang keras menutup lubang appendiks tersebut kemudian dijangkiti kuman menyebabkan ia membengkak dan meradang.
  • Biji cili bukanlah punca utama, namun ia merupakan penyebab yang tersangat jarang berlaku.
  • Jika appendicitis tidak dirawat dengan segera, appendiks tersebut akan semakin membengkak, pecah dan jangkitan kuman akan merebak ke bahagian organ dan tubuh badan yang lain.

 

  1. Ubat antibiotik tidak lagi penting? Ubat ini berkesan kepada semua jenis bakteria, dan boleh berhenti pengambilan sekiranya sembuh, benarkah?

Fakta:

  • Tanpa antibiotik yang berkesan dan khusus yang dipreskripsikan oleh doktor, jangkitan biasa seperti pneumonia (jangkitan paru-paru) boleh membunuh 1 daripada 3 pesakit.
  • Antibiotik hanya berkesan terhadap bakteria tetapi tidak berkesan terhadap jangkitan virus, parasit dan kulat.
  • Antibiotik mesti diambil mengikut tempoh dan dos yang ditetapkan.
  • Jika pengambilan antibiotik tidak diambil mengikut jadual yang telah dipreskripsikan oleh doktor, bakteria yang masih hidup dapat membina imun badannya terhadap antibiotik tersebut (antibiotic resistant) dan menyebabkan komplikasi lain.

 

Sebagai seorang mahasiswa dan mahasiswi yang bijaksana, sentiasalah mengamalkan sifat tabayyun dan tidak malu untuk bertanya perkara yang tidak jelas. Gunakanlah media elektronik yang berada di hujung jari sebaiknya dengan info yang bermanfaat.

Maksud firman Allah:

“Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku.” (Surah as-Shua’raa’: 80)

 

Aimi Syuhada binti Mizam

Kuliah Perubatan tahun 3,

Universiti al-Azhar

 

Rujukan:

1) https://siakapkelinews.blogspot.com/2018/01/makan-pedas-dan-biji-cili-menyebabkan.html?m=1

2) https://beritagar.id/artikel/berita/mitos-dan-fakta-soal-vaksin99 Mitos dan Fakta

 

Muat turun PDF Risalah Kesihatan Siri 99 Mitos dan Fakta: Apa Kata Doktor?

PEMUDA, JANGAN BERTANGGUH!

PEMUDA, JANGAN BERTANGGUH!

Bertangguh adalah sikap suka menangguh sesuatu tugasan yang telah diberikan. Sikap ini sering didapati pada diri anak-anak muda yang semakin hari semakin menjadi-jadi.  Jika dibiarkan pasti akan memberi impak yang buruk pada diri dan masyarakat.

Sehubungan dengan itu, Islam  tidak menggalakkan umatnya untuk bertangguh-tangguh.  Sebagaimana  firman Allah  SWT di dalam al-Quran, yang bermaksud:

‘’Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya tentang hari penyesalan iaitu hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian serta mereka pula yang tidak beriman.’’  (Surah Maryam ayat 39)

Mahasiswa dan mahasiswi pengajian Islam akan menjadi contoh ikutan dan tempat rujukan buat masyarakat di luar sana. Akan tetapi bukan bermakna pengajian selain pengajian Islam tidak penting, secara umumnya semua orang berperanan menghilangkan kejahilan dalam masyarakat, bukan tertumpu kepada pelajar pengajian Islam sahaja.

Namun, jika pelajar pengajian Islam sendiri mengabaikan tanggungjawab mereka dengan menunjukkan akhlak yang buruk, tidak beramal dengan ilmu yang dipelajari, menangguh-nangguh tugasan mereka, lalu siapakah lagi yang akan menjadi contoh dan ikutan jika orang yang belajar agama sendiri bersikap sedemikian rupa? Amat memalukan dan mendukacitakan! Oleh itu, pemuda harus menyedari akan tugas mereka untuk memperjuangkan Islam,  membetulkan akidah umat yang kian terpesong serta mengeluarkan mereka daripada belenggu kejahilan.

Mutakhir ini, banyak kecelaruan dan tiada kesefahaman antara kaum yang berlaku. Ditambah lagi dengan isu agama yang ditindas dan pelbagai lagi. Adakah kita memilih untuk menjadi penonton, atau menjadi pendengar atau sekadar memerhati? Masih belum sedar lagikah kita? Tugasan dakwah terus ditunda-tunda dan akhirnya bisu tanpa suara.

’’Nantilah, tengoklah bagaimana, tunggulah dahulu, kita selesaikan sekejap lagi, masih banyak lagi masa’’.

Perkataan inilah yang sering meniti di bibir dan berlegar di minda anak muda. Hakikat sebenar kehidupan kita ini mesti ada tujuan, matlamat dan visi. Tujuan bermaksud, mengapakah kita lakukan apa yang patut kita lakukan? Matlamat bermaksud, apakah yang hendak kita capai? Visi pula bermaksud, bagaimana cara untuk kita melakukan sesuatu yang kita mahukan? Bagi mencapai ketiga-tiga perkara itu, kita mesti pandai bertindak untuk membezakan sesuatu perkara itu positif atau negatif.

Oleh itu, antara salah satu cara untuk mengelakkan diri daripada bertangguh adalah dengan menghargai masa. Wahai pemuda, mujahadahkanlah diri untuk menghargai masa. Kita tidak akan berjaya untuk memanfaatkan masa  dengan sebaiknya, tanpa bermujahadah pada dua perkara ini iaitu syaitan dan hawa nafsu. Dalam bermujahadah, kita mestilah melatih dan memaksa diri untuk:

1) Membuang sikap malas, leka dan lalai.

2) Memberi perhatian kepada perkara-perkara aulawiyat (utama/penting).

3) Membuang sikap suka bertangguh.

Jika di lihat dari sudut pandang yang lain, sikap bertangguh ini dianggap satu perkara yang remeh atau biasa-biasa sahaja. Namun impaknya sangat besar sehingga boleh mengakibatkan seseorang individu itu mengalami tekanan dari segi mental ataupun fizikal.

Sebagai contoh, seseorang diberikan satu tugasan untuk diselesaikan dalam tempoh seminggu, akan tetapi dia menangguh tugasan itu dari hari ini kepada keesokan harinya sehinggalah tinggal sehari sahaja lagi tempoh masa yang berbaki. Disebabkan itu, fikiran mulai kusut, akal kalut memikirkan alasan apa yang sesuai untuk diberikan, tugasan yang lain turut tertangguh dan jiwa mulai rasa tidak tenteram. Lantas diri mula menyalahkan individu lain. Persoalan di sini, salah siapa?

Adakah contoh ini yang kita harapkan dari pemuda kita? Masa yang sepatutnya diisi dengan perkara bermanfaat  dibaziri dengan perkara yang sia-sia.  Tanpa sedar, kita telah pun menjadi seorang pencuri iaitu ’’pencuri masa’’.

Holistiknya, kehidupan manusia adalah bergantung kepada penggunaan masanya. Oleh itu, Islam sangat mengambil berat tentang masa. Kita sepatutnya menyedari bahawa setiap detik dalam hidup kita sangat berharga. Allah SWT sendiri bersumpah dengan masa dalam firman-Nya, yang bermaksud:

‘’Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.’’ (Surah Al-Asr ayat 1-3)

Persoalannya, adakah kita mampu untuk membuang sifat bertangguh ini? Ya, kita mampu untuk mengubah dan melawannya kerana jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Bagaimana cara untuk mengubah sikap ini? Pertama sekali, kita mesti melatih diri untuk menyiapkan tugasan dengan mengikut tempoh yang telah ditetapkan. Seterusnya, jangan mencampur adukkan tugasan itu dengan perkara lain selagi tugasan itu tidak selesai .

Kesimpulannya, kita mestilah bangkit dan melawan sikap ini dengan keazaman yang tinggi. Jangan mencipta beribu alasan jika benar-benar mahu berubah kerana hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

Noor Arisha Karimah bt Mohd Hashim,
Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar

Rujukan: Islam Solusi, Mindtools.com,Procrastinating-HOW CAN I STOP? Kata-kata Prof Dr Muhaya.
Muat turun PDF
Risalah Fajar Jumaat464-PEMUDA,JANGAN BERTANGGUH

MAKLUMAN PENANGGUHAN PROGRAM

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat, ahli keluarga serta rakan-rakan seperjuangan dan pengikut baginda sekalian.

Setelah hampir tiga bulan para mahasiswa dan mahasiswi bertungkus-lumus dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang penuntut ilmu di bumi Mesir ini, maka pada awal Januari 2020, akan bermulalah peperiksaan fasa satu bagi semua bidang pengajian Islam.

Demi memastikan kecemerlangan khususnya dalam bidang akademik, Unit Perancang di bawah Jabatan Timbalan Yang Dipertua, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2019/2020 telah menetapkan tarikh penangguhan program mega yang melibatkan semua ahli KPKM.

Hal ini bertujuan memberi peluang dan ruang seluas-luasnya kepada semua ahli untuk mengulangkaji pelajaran dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada akademik seterusnya membuat persediaan yang rapi bagi menghadapi peperiksaan yang akan tiba tidak lama lagi.

Penangguhan program akan bermula pada 1 Disember 2019 yang melibatkan seluruh mahasiswa dan mahasiswi KPKM bidang pengajian Islam al-Azhar.

Diharapkan semoga dengan penangguhan ini, semua mahasiswa dan mahasiswi dapat menggunakan peluang dan memanfaatkan masa dengan sebaiknya seperti menghidupkan suasana study group bersama rakan-rakan, menghadiri kuliah yang berbaki dan kelas-kelas tutorial yang dianjurkan.

Semoga penetapan ini akan memberi kesan dan impak yang besar dalam memastikan kecemerlangan dan pencapaian akademik ahli terus meningkat pada sesi ini.

Sekian, wassalam.

Ustaz Muhammad Talhah bin Sharif,
Timbalan Yang Dipertua,
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2019/2020

“Belajar dan Beramal”
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”
#BersamaBersatu
#BersatuHatiMembinaUmmah