MITOS DAN FAKTA: APA KATA DOKTOR?

MITOS DAN FAKTA: APA KATA DOKTOR?

Kesihatan badan merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai. Perlu diingatkan bahawa tubuh badan yang dipinjamkan Allah SWT ini bukanlah kepunyaan dan hak milik kita. Oleh itu, menjaga kesihatan tubuh badan dan menjalankan hak serta tanggungjawab ke atas tubuh badan adalah dituntut oleh Islam.

Kesakitan pula merupakan ujian yang diberikan Allah SWT, lalu tugas kita selaku hamba adalah dengan berusaha dan berikhtiar bagi mengekalkan kesihatan badan serta menyerahkan urusan menyembuhkannya kepada yang Maha memberikan kesembuhan, iaitu Allah SWT.

Pelbagai mitos mengenai kesihatan yang kita dengar sejak sekian lama. Mitos juga didefinisikan sebagai cerita mengenai seseorang atau perkara yang tidak benar, tidak sahih dan direka-reka. Mitos berkaitan kesihatan juga begitu banyak berlegar dalam kalangan masyarakat Malaysia hari ini.

Lantas, bertanyalah kepada mereka yang pakar dan ahlinya dalam bidang tersebut apabila mendapat sebarang info atau maklumat sebelum disebarluaskan kepada orang lain.

Maksud firman Allah:

“Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui “ (Surah An-Nahl: 43)

Jadi, mari kita lihat beberapa perkongsian mitos mengenai kesihatan dibawah:-

  1. Benarkah biji lada, biji sawi, biji terung dan sebagainya yang tidak dihadam akan menyebabkan radang apendiks?

Fakta:

  • Appendicitis atau radang appendiks merupakan satu keadaan di mana appendiks membengkak dan dipenuhi nanah.
  • Punca utama keradangan appendiks ialah ketulan najis yang keras menutup lubang appendiks tersebut kemudian dijangkiti kuman menyebabkan ia membengkak dan meradang.
  • Biji cili bukanlah punca utama, namun ia merupakan penyebab yang tersangat jarang berlaku.
  • Jika appendicitis tidak dirawat dengan segera, appendiks tersebut akan semakin membengkak, pecah dan jangkitan kuman akan merebak ke bahagian organ dan tubuh badan yang lain.

 

  1. Ubat antibiotik tidak lagi penting? Ubat ini berkesan kepada semua jenis bakteria, dan boleh berhenti pengambilan sekiranya sembuh, benarkah?

Fakta:

  • Tanpa antibiotik yang berkesan dan khusus yang dipreskripsikan oleh doktor, jangkitan biasa seperti pneumonia (jangkitan paru-paru) boleh membunuh 1 daripada 3 pesakit.
  • Antibiotik hanya berkesan terhadap bakteria tetapi tidak berkesan terhadap jangkitan virus, parasit dan kulat.
  • Antibiotik mesti diambil mengikut tempoh dan dos yang ditetapkan.
  • Jika pengambilan antibiotik tidak diambil mengikut jadual yang telah dipreskripsikan oleh doktor, bakteria yang masih hidup dapat membina imun badannya terhadap antibiotik tersebut (antibiotic resistant) dan menyebabkan komplikasi lain.

 

Sebagai seorang mahasiswa dan mahasiswi yang bijaksana, sentiasalah mengamalkan sifat tabayyun dan tidak malu untuk bertanya perkara yang tidak jelas. Gunakanlah media elektronik yang berada di hujung jari sebaiknya dengan info yang bermanfaat.

Maksud firman Allah:

“Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku.” (Surah as-Shua’raa’: 80)

 

Aimi Syuhada binti Mizam

Kuliah Perubatan tahun 3,

Universiti al-Azhar

 

Rujukan:

1) https://siakapkelinews.blogspot.com/2018/01/makan-pedas-dan-biji-cili-menyebabkan.html?m=1

2) https://beritagar.id/artikel/berita/mitos-dan-fakta-soal-vaksin99 Mitos dan Fakta

 

Muat turun PDF Risalah Kesihatan Siri 99 Mitos dan Fakta: Apa Kata Doktor?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *