Month: January 2020

IDEOLOGI KOMUNISME

IDEOLOGI KOMUNISME

Helaian Makalah Seputar Ideologi Komunisme

Serapan ideologi asing telah lama memasuki ruang-ruang pemikiran masyarakat Islam dan penularannya telah berlaku secara halus menjarum tanpa disedari masyarakat Islam. Dalam sedar mahupun tidak, masyarakat Islam semakin memalingkan diri kearah menerima ideologi asing seperti ideologi komunisme. Jika ideologi ini tidak dibanteras dan disekat penyebarannya, ianya mampu menjejaskan dan merosakkan akidah umat Islam.

Sejarah Ringkas Komunisme

Komunisme adalah fahaman yang berkaitan dengan ekonomi, politik dan kemasyarakatan. Ia berdasarkan kebendaan semata-mata dan terbentuk hasil daripada tindak balas fahaman Kapitalisme.

Ideologi ini dicetus dari seorang Yahudi Jerman, Karl Marks melalui Manifesto Komunisme dinamakan Manifest der Kommunistischen yang ditulisnya dan Friedrich Engels, sebuah manifesto politik yang pertama diterbitkan pada 21 Februari 1848 dan tulisannya melalui bukunya yang bernama Das Kapital pada tahun 1867. Karl Marks dibantu pembantunya bernama Inakal. Kemudian legasi fahaman ini diteruskan Lenin dalam memimpin revolusi komunis di Rusia yang mana menubuhkan sebuah kerajaan yang menjadikan fahaman ini sebagai batu asas pemerintahan selepas menjatuhkan kerajaan Romarov Czar Nicholas dalam pemberontakan Bolshevik 17 Oktober 1911.

Seterusnya, fahaman ini diteruskan oleh seorang pemerintah diktator Joseph Stalin yang menjadi pemimpin selepas Lenin. Puluhan ribu rakyat Soviet Union yang membantah komunisme mati dan ada juga dihantar ke kem tahanan di Siberia, dikerah bekerja sebagai buruh industri perlombongan dan pembinaan.  Antara pemimpinnya ialah Terutaski seorang Yahudi Rusia yang mana berpecah daripada Stalin kerana berselisih pendapat. Adapun di negara China, fahaman komunis ini dipimpin oleh Mau Zi Thong.

Dasar-Dasar dan Pegangan Komunisme

Antara dasar-dasar yang menjadi pegangan dan kepercayaan komunisme adalah:

  1. Tidak mempercayai kewujudan Tuhan dan perkara-perkara ghaib seperti malaikat, jin, dosa dan pahala, syurga dan neraka, dan sebagainya. Mereka menjadikan logik akal dan kebenaran semata-mata sebagai pegangan kepercayaan. Walaupun pengikut fahaman ini mempunyai kefahaman mengikut keadaan setempat, konsep ini tetap menjadi asas fahaman. Oleh itu, Komunisme menentang keras semua fahaman agama.
  2. Menentang pemilikan harta secara pemilikan perseorangan dalam sistem ekonomi. Berbanding Kapitalisme iaitu suatu sistem ekonomi, dimana setiap individu bebas mempunyai hak pemilikan perseorangan dan faktor-faktor produksi seperti modal, aset dan lain-lain. Melalui pemilikan peribadi tersebut menjadikan individu bebas untuk memiliki dan menghasilkan keuntungan dengan semahu mungkin. Namun dalam rangka komunis, seorang pemilik tidak dibenarkan memiliki harta yang melebihi daripada harta orang lain. Sebagai contoh, tiada mana-mana syarikat besar dimiliki seorang individu. Apabila harta seseorang itu banyak, harta itu langsung menjadi harta kerajaan dan harta awam.
  3. Menghapuskan perbezaan taraf dalam masyarakat. Contohnya, hilangnya taraf antara majikan dan pekerja. Fahaman ini mampu meluas melalui kuasa politik walaupun  dengan menggunakan  method radikal iaitu menggunakan senjata supaya pemerintahan negara dikuasai oleh masyarakat buruh.
  4. Mencorak pemikiran marhaen (rakyat) supaya mengabdikan diri kepada negara mereka semata-mata. Mereka ini jauh dari cara hidup beragama dengan beribadah kepada Tuhan kerana negara dan kebendaan, ini kerana negara dan materi (kebendaan) dianggap tuhan yang disanjung dan dipuja.
  5. Berpegang dengan tidak wujudnya hari kebangkitan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan keagamaan dan perkara-perkara ghaib. Fahaman ini menyekat penganutnya untuk menganut mana-mana agama kerana melaksanakan perintah agama adalah gambaran kepada manusia yang ketagihan dan kecanduan dadah, dan juga mampu menyekat manusia dari mencapai tujuan materi (kebendaan) yang sempurna.

Islam Menjawab Komunisme:

  1. Komunisme adalah sebuah fahaman rekaan yang bercanggah dengan akidah Islam kerana mengingkari kewujudan Allah, perkara-perkara ghaib dan hari k

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. Tidaklah berselisih orang-orang yang telah diberi al-Kitab, kecuali setelah mereka memperoleh ilmu, karena kedengkian di antara mereka. Barangsiapa yang ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah sangat cepat perhitungan-Nya.” (Surah Ali ‘Imran: 19)

  1. Bercanggah dengan fitrah manusiawi yang memerlukan kepada keselesaan dalam memenuhi keinginan diri dan hidup bermasyarakat dengan cara yang tepat. Semua ini perlu ditimbang dengan adil mengikut kemampuan diri dan keadilan.
  2. Sebuah fahaman yang tidak berperikemanusiaan. Mereka yang berada di tampuk pemerintahan menjadikan rakyat sebagai kilang seterusnya merampas hak rakyat tanpa sedar dengan berselindung dibalik semangat kenegaraan dan semangat patriotik rakyat.
  3. Mempunyai banyak kelemahan yang terbuka. Ia dicipta oleh manusia yang lemah dan mempunyai sifat dendam kepada manusia yang berterusan tanpa henti, lalu menindas dengan cara yang zalim.

Firman Allah Taala, maksudnya: “Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” (Surah Ali Imran: 85; Tafsir Ibnu Katsir: 97)

 

Muhammad ‘Ammar bin Zamzuri
Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar Kaherah

Rujukan:

  1. Ideologi Fahaman Umat Islam oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
  2. Komunisme musuh sepanjang sejarah oleh Abdul Qadir Djaelani.

Muat turun PDF Risalah Penerangan siri ke 1

MAHASISWA DAN MASA LAPANG

MAHASISWA DAN MASA LAPANG

“Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.” (Surah Al-‘Asr, ayat 1 hingga 3)

Masa adalah sesuatu yang tidak mampu ditukar ganti, tidak pula diperolehi masa dengan berjual beli. Sehebat mana pun kita, masa yang berlalu tidak mampu kita dapatkan kembali. Ramai yang hanya membiarkan masa berlalu tanpa berfikir apakah masa itu bernilai di sisi Allah SWT. Orang yang tidak menghargai masa, jelas rugi bukan sahaja di dunia, tetapi di akhirat.

 Mahasiswa Dan Masa

Apabila Allah SWT menciptakan sehari mempunyai 24 jam, saya percaya 24 jam itu mencukupi untuk manusia. Terpulang kepada manusia sendiri bagi menguruskan masa dan kerjanya, supaya cukup dengan kuota masa yang Allah SWT berikan.

Bagi saya seorang mahasiswa, ramai rakan-rakan yang banyak menghabiskan masa mereka berbaring di atas katil sambil maraton drama, menonton puluhan filem, bermain game berjam-jam dan melepak di kedai dengan lama.

Ini menyebabkan apabila tamat belajar, mereka tidak lebih seperti tin kosong. Bunyinya bising, tetapi tiada isi. Mereka hanya bergantung pada ijazah yang mungkin cukup-cukup makan kelulusannya. Sebahagian besar pengajiannya, entah ingat entah lupa, demi menempuh dunia yang pelbagai cabaran.

Adakah kita sekiranya yang membaca ini adalah seorang mahasiswa, mahasiswi, pemuda, dan pemudi yang masih mempunyai banyak masa, memilih untuk membazirkannya?

Rancang Kehidupan Kita Sendiri!

Pembaziran masa berlaku kerana kita tidak bijak meletakkan keutamaan. Saya sering mengulang kisah seorang syeikh dalam kelasnya. Analogi yang saya kira terbaik dalam bab pengurusan masa.

Syeikh itu mengisi batu-batu besar ke dalam sebuah balang, kemudian bertanya kepada para pelajar di dalam kelasnya, “Adakah balang ini sudah penuh?” Seisi kelas menjawab, “sudah”. Syeikh itu menjawab semula, ”belum”.

Kemudian, dia mengisi balang tadi dengan batu-batu yang sederhana besar. Batu-batu itu masuk ke celah-celah batu besar. Kemudian dia bertanya lagi soalan yang sama, seisi kelasnya pun menjawab, “sudah”. Namun, syeikh itu masih menjawab dengan jawapan yang sama, “belum”.

Dia kemudian mengisi pula balang itu dengan pasir yang sangat halus. Pasir itu masuk menerobos ke dalam ruang-ruang paling kecil di celah-celah batu yang sedia ada, memenuhi balang itu sehingga pasirnya tertumpah keluar. Belum sempat syeikh bertanya, para pelajarnya berkata, “Kali ini pasti sudah penuh!”.Syeikh menggeleng, “Belum” Kemudian, dia mengisi air hingga pasir tadi mendap dan air mula bertakung memenuhi balang hingga melimpah. “Sekarang, barulah balang ini penuh”

Apa yang boleh kita pelajari daripada cerita ini adalah keutamaan kita terhadap sesuatu perkara.

(Batu besar): Perkara yang penting dan segera. (Batu sederhana): Perkara yang segera, tetapi tidak penting. (Pasir halus): Perkara yang penting, tetapi tidak segera. (Air): Perkara yang tidak segera dan tidak penting.

Bagi memastikan kehidupan kita dipenuhi dengan perkara bermanfaat, kita perlu menguasai teknik penyusunan priority ini dan mula menjadi manusia yang berjadual. Masalah orang ramai adalah mereka terus memenuhkan balang kehidupan mereka dengan air. Awal-awal sudah diisikan dengan air sehingga balang itu penuh. Awal-awal sudah kita sibukkan diri dengan perkara yang tidak bermanfaat langsung untuk masa hadapan kita. Pastinya sudah tidak ada lagi ruang untuk batu besar, batu sederhana dan pasir. Jadi, kita perlu bertanya, apakah sebenarnya perkara yang penting dan segera yang perlu berlumba dengan masa dalam kehidupan kita?

Jangan Berasa Diri Mempunyai Masa

Hakikat kehidupan mahasiswa adalah kehidupan itu syurga ilmu. Kehidupan seorang mahasiswa sebenarnya rapat dengan pelbagai ilmu dan pengalaman. Namun, ramai yang menjalani kehidupan mahasiswa ini dengan sambil lewa. Masa banyak dihabiskan ke tempat yang tidak sepatutnya.

Kita sebenarnya tidak mempunyai banyak masa. Banyak kerja perlu dilakukan. Banyak perkara perlu kita persiapkan. Hakikat, masa yang disediakan oleh Allah SWT sudah cukup untuk kita mempersiapkan diri. Namun, kita yang sebenarnya suka mensia-siakannya.

Marilah kita mencontohi Abdullah Ibnu Umar, yang semasa mudanya berusaha duduk dalam majlis Nabi Muhammad SAW. Kita lihat Mu’adz dan Mu’awwidz semasa usia muda mereka sudah sibuk mempersiapkan diri dan menyertai peperangan. Lihat Usamah bin Zaid, semasa berusia 19 tahun sudah mengepalai tentera bagi menggegarkan Rom.

Kadang kita sibuk menyalahkan musuh yang memijak , tetapi kita yang sebenarnya tidak memperkasakan diri, hingga mereka mampu memijak kita.

 

Abdul Azim Bin Abd Rahman
Kuliah Syariah Islamiah, Universiti Al Azhar Kaherah

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri ke 465