MAHASISWA DAN MASA LAPANG

MAHASISWA DAN MASA LAPANG

“Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.” (Surah Al-‘Asr, ayat 1 hingga 3)

Masa adalah sesuatu yang tidak mampu ditukar ganti, tidak pula diperolehi masa dengan berjual beli. Sehebat mana pun kita, masa yang berlalu tidak mampu kita dapatkan kembali. Ramai yang hanya membiarkan masa berlalu tanpa berfikir apakah masa itu bernilai di sisi Allah SWT. Orang yang tidak menghargai masa, jelas rugi bukan sahaja di dunia, tetapi di akhirat.

 Mahasiswa Dan Masa

Apabila Allah SWT menciptakan sehari mempunyai 24 jam, saya percaya 24 jam itu mencukupi untuk manusia. Terpulang kepada manusia sendiri bagi menguruskan masa dan kerjanya, supaya cukup dengan kuota masa yang Allah SWT berikan.

Bagi saya seorang mahasiswa, ramai rakan-rakan yang banyak menghabiskan masa mereka berbaring di atas katil sambil maraton drama, menonton puluhan filem, bermain game berjam-jam dan melepak di kedai dengan lama.

Ini menyebabkan apabila tamat belajar, mereka tidak lebih seperti tin kosong. Bunyinya bising, tetapi tiada isi. Mereka hanya bergantung pada ijazah yang mungkin cukup-cukup makan kelulusannya. Sebahagian besar pengajiannya, entah ingat entah lupa, demi menempuh dunia yang pelbagai cabaran.

Adakah kita sekiranya yang membaca ini adalah seorang mahasiswa, mahasiswi, pemuda, dan pemudi yang masih mempunyai banyak masa, memilih untuk membazirkannya?

Rancang Kehidupan Kita Sendiri!

Pembaziran masa berlaku kerana kita tidak bijak meletakkan keutamaan. Saya sering mengulang kisah seorang syeikh dalam kelasnya. Analogi yang saya kira terbaik dalam bab pengurusan masa.

Syeikh itu mengisi batu-batu besar ke dalam sebuah balang, kemudian bertanya kepada para pelajar di dalam kelasnya, “Adakah balang ini sudah penuh?” Seisi kelas menjawab, “sudah”. Syeikh itu menjawab semula, ”belum”.

Kemudian, dia mengisi balang tadi dengan batu-batu yang sederhana besar. Batu-batu itu masuk ke celah-celah batu besar. Kemudian dia bertanya lagi soalan yang sama, seisi kelasnya pun menjawab, “sudah”. Namun, syeikh itu masih menjawab dengan jawapan yang sama, “belum”.

Dia kemudian mengisi pula balang itu dengan pasir yang sangat halus. Pasir itu masuk menerobos ke dalam ruang-ruang paling kecil di celah-celah batu yang sedia ada, memenuhi balang itu sehingga pasirnya tertumpah keluar. Belum sempat syeikh bertanya, para pelajarnya berkata, “Kali ini pasti sudah penuh!”.Syeikh menggeleng, “Belum” Kemudian, dia mengisi air hingga pasir tadi mendap dan air mula bertakung memenuhi balang hingga melimpah. “Sekarang, barulah balang ini penuh”

Apa yang boleh kita pelajari daripada cerita ini adalah keutamaan kita terhadap sesuatu perkara.

(Batu besar): Perkara yang penting dan segera. (Batu sederhana): Perkara yang segera, tetapi tidak penting. (Pasir halus): Perkara yang penting, tetapi tidak segera. (Air): Perkara yang tidak segera dan tidak penting.

Bagi memastikan kehidupan kita dipenuhi dengan perkara bermanfaat, kita perlu menguasai teknik penyusunan priority ini dan mula menjadi manusia yang berjadual. Masalah orang ramai adalah mereka terus memenuhkan balang kehidupan mereka dengan air. Awal-awal sudah diisikan dengan air sehingga balang itu penuh. Awal-awal sudah kita sibukkan diri dengan perkara yang tidak bermanfaat langsung untuk masa hadapan kita. Pastinya sudah tidak ada lagi ruang untuk batu besar, batu sederhana dan pasir. Jadi, kita perlu bertanya, apakah sebenarnya perkara yang penting dan segera yang perlu berlumba dengan masa dalam kehidupan kita?

Jangan Berasa Diri Mempunyai Masa

Hakikat kehidupan mahasiswa adalah kehidupan itu syurga ilmu. Kehidupan seorang mahasiswa sebenarnya rapat dengan pelbagai ilmu dan pengalaman. Namun, ramai yang menjalani kehidupan mahasiswa ini dengan sambil lewa. Masa banyak dihabiskan ke tempat yang tidak sepatutnya.

Kita sebenarnya tidak mempunyai banyak masa. Banyak kerja perlu dilakukan. Banyak perkara perlu kita persiapkan. Hakikat, masa yang disediakan oleh Allah SWT sudah cukup untuk kita mempersiapkan diri. Namun, kita yang sebenarnya suka mensia-siakannya.

Marilah kita mencontohi Abdullah Ibnu Umar, yang semasa mudanya berusaha duduk dalam majlis Nabi Muhammad SAW. Kita lihat Mu’adz dan Mu’awwidz semasa usia muda mereka sudah sibuk mempersiapkan diri dan menyertai peperangan. Lihat Usamah bin Zaid, semasa berusia 19 tahun sudah mengepalai tentera bagi menggegarkan Rom.

Kadang kita sibuk menyalahkan musuh yang memijak , tetapi kita yang sebenarnya tidak memperkasakan diri, hingga mereka mampu memijak kita.

 

Abdul Azim Bin Abd Rahman
Kuliah Syariah Islamiah, Universiti Al Azhar Kaherah

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri ke 465

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *