TARBIAH MENCORAK KEPERIBADIAN

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 151, mafhumnya:

Kami telah mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu nabi Muhammad SAW) yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), juga mengajarkan kamu kandungan kitab (al-Quran) dan hikmah kebijaksanaan serta mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.”

Definisi Tarbiah

Tarbiah adalah satu aturan kehidupan, boleh merubah peribadi manusia daripada seketul jiwa yang kotor ke arah kecemerlangan sahsiah dan akhlak. Pentarbiahan juga suatu uslub terbaik yang mampu berinteraksi bersama fitrah manusia, dikemukakan sama ada dalam bentuk arahan secara langsung (perkataan) atau tidak langsung (qudwah).

Tarbiah Islamiah dibentuk dalam suasana atau kondisi yang baik dengan acuan berpandukan manhaj Islam yang sebenar bermula di peringkat keluarga, dibentuk dan diajar oleh ibu bapa, seterusnya pada peringkat masyarakat.

Proses pentarbiahan tidak terhad pada umur dan masa tetapi berterusan hingga ke akhir nafas. Hal ini bertujuan menjadikan manusia berkeperibadian indah dan sentiasa merasa keberadaan Allah SWT. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa apabila manusia menginjak ke alam kedewasaan, mereka akan berkelana mencari diri dan kerana itulah pentingnya mencari sisi positif yang boleh membimbing kita mengenal Tuhan yang Maha Esa.

Fitrah Manusia Memerlukan Tarbiah

Al-Quran kalamullah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW untuk menyempurnakan akhlak. Akhlak merupakan dalaman manusia, naluri yang boleh menyumbang kepada reda Allah SWT. Hal ini kerana, matlamat sebenar manusia adalah untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Allah SWT mengutuskan junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai qudwah, mengajar manusia teladan akhlak iaitu mengenali Tuhan dan mentauhidkan Allah SWT, seterusnya Baginda mengajarkan manusia berkenaan ibadah. Di sini kita dapat meneliti bahawa ilmu dan akhlak mesti seiring dijalankan dengan membawa konsep amal dalam kehidupan seharian.

Konsep Takamul

Tarbiah Islamiah mesti dilaksanakan dengan konsep takamul iaitu saling melengkapi antara iman dan ilmu. Iman mengajak manusia untuk mencari ilmu yang benar, manakala ilmu pula memandu manusia kearah keimanan yang sempurna. Oleh itu, ilmu tanpa amal adalah akhlak yang diibaratkan seperti pohon yang tidak berbuah.

Ini memberi makna bahawa sesuatu ilmu tidak akan bermanfaat bagi seseorang dan juga bagi masyarakat sekeliling tanpa akhlak yang sempurna.

Pepatah bicara orang terdahulu ada mengatakan:

” الأدب فوق العلم ”
“Adab itu mengatasi ilmu“

Jika seseorang itu berilmu tetapi tidak mempunyai nilai akhlak, ia belum menjamin kemuliannya. Jika seseorang itu mempunyai nilai akhlak yang cemerlang sudah semesti dirinya mempunyai ilmu. Hal ini dapat dilihat pada sahsiah ulama’ dan juga masyaikh bilamana perkara pertama yang dilihat pada mereka di awal pertemuan adalah akhlak, seterusnya barulah diikuti dengan mendengar pengucapan ilmiah yang dilontarkan.

Konsep Dakwah

Konsep dakwah juga memerlukan kepada pentarbiahan, menyeru manusia mengenali Tuhan Yang Maha Esa, memperbaiki ibadah serta memperhiasi akhlak. Manusia diciptakan untuk saling melengkapi, saling memperingati dengan saling memberi pentarbiahan antara satu sama lain dan ini adalah hasil daripada wujudnya dakwah berpandukan manhaj Islam yang sebenar.

Dakwah Islamiah memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang beriman serta mempunyai akhlak yang cemerlang seterusnya menjauhi daripada kecelaruan tarbiah yang sebenar. Oleh itu, matlamat umum tarbiah Islamiah dalam merealisasikan peribadi muslim untuk mencapai tujuan sebenar kewujudan manusia iaitu reda Allah SWT dapat dibahagikan kepada empat bahagian:-

  1. Mengabdikan diri kepada Allah yang Maha Esa.
  2. Mempelopori kerja-kerja amar makruf dan nahi mungkar.
  3. Menyampaikan risalah Islam kepada alam seluruhnya.
  4. Menghapuskan kuasa kuffar di atas muka bumi ini.

 

Disediakan oleh:
Norfarahim binti Rosli

Kuliah Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar, Kaherah

Sumber:
-Harakah Siswa
-Konsep Tarbiah dalam Gerakan Islam, Oleh Abdul Muizz Muhammad
-Ringkasan Tarbiah Islamiah, Konsep dan Amalan, Oleh Almarhum Dato’ Ustaz Harun Taib

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri ke 466

1 Comment

  • Great content! Super high-quality! Keep it up! 🙂

    Reply
  • Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *