21 dan 22 FEBRUARI 2020, KAHERAH – Lajnah Dakwah dan Tarbiah, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir telah menganjurkan sebuah program iaitu Muzakarah Berkelompok Gabungan Mahasiswa Kelantan (SANTAI ’20) yang mengambil tempat di Wisma Sultan Muhammad V dan El-Wafaa El-Amal. Program yang berlangsung selama dua hari ini bermula pada petang hari Jumaat dan berakhir pada tengahari hari sabtu, 22 Februari.

Bertemakan “Ukhuwah Terbina, Kenangan Tercipta”, antara objektif utama penganjuran program ini adalah membentuk dan membina ahli agar menghayati dan mencintai kesatuan serta mengukuhkan lagi ukhuwah islamiah dalam kalangan ahli. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk menjayakan usul dan pembawaan KPKM dalam setiap aktiviti dan pengisian yang dilaksanakan sepanjang program.

Tirai program SANTAI ’20 dibuka dengan majlis perasmian program yang disempurnakan oleh Ustaz Khairul Anuar bin Ismail, Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah. Di dalam ucapan perasmian beliau, Ustaz Khairul Anuar sangat menekankan, perlunya menjaga kesatuan keluarga ini yang telah lama utuh, dibina oleh generasi terdahulu dan seyerusnya dapat dirasai oleh generasi masa hadapan. Majlis diteruskan lagi dengan pembentangan slot pertama oleh Ustaz Sayyidi Muizzuddin bin Mohamad Sabri, Yang Dipertua KPKM 2019/2020 dengan pembentangan yang bertajuk “Bersatu Hati, Membina Ummah”. Antara perkara penting yang disampaikan oleh beliau adalah setiap ahli perlu memainkan peranan dan bekerjasama dalam menjayakan usul dan pembawaan KPKM sesi ini.

Kehangatan program SANTAI ’20 semakin dirasai dengan bermulanya slot persembahan malam kebudayaan islam. Setiap ahli telah dibahagikan kepada lima belas kumpulan yang bertemakan warna, dan setiap kumpulan perlu menyajikan satu persembahan. Antara persembahan menarik yang dipamerkan oleh ahli, adalah dikir barat, lakonan, nasyid dan banyak lagi. Gelak ketawa dan senyuman hadirin menghiasi ruangan surau Wisma Sultan Muhammad V yang terhibur dek gelagat dan aksi mencuit hati yang dipamerkan oleh setiap kumpulan. Program diteruskan lagi dengan jamuan BBQ dan katibah semua ahli yang bermalam di kedua-dua wisma anak Kelantan.

Hari kedua program dimulakan dengan forum yang bertajuk “Semangat Orang Baru, Pengalaman Orang Lama”. Usai sahaja forum ini, semua peserta bertolak ke El-Wafaa El-Amal bagi meneruskan lagi program dengan aktiviti sukaneka. Setiap kumpulan diamanahkan untuk menyempurnakan tugasan di lapan checkpoint untuk mendapatkan mata dan merebut gelaran kumpulan terbaik. Setiap checkpoint mempunyai tujuan dan ibrah penting yang perlu difahami dan diambil pelajaran oleh setiap ahli. Para ahli juga disoal berkenaan pengetahuan umum tentang KPKM dan PMRAM.

Program SANTAI ’20 melabuhkan tirai dengan ucapan perasmian penutup yang disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua KPKM 19/20, Ustaz Muhammad Talhah bin Syarif. Harapan beliau agar setiap peserta yang hadir dapat mengambil manfaat sepenuhnya segala pengisian dan aktiviti yang disajikan, seterusnys menyampaikan faedah yang diperolehi kepada masyarakat di luar sana. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar dan penyampaian hadiah saguhati kepada setiap kumpulan dan kumpulan terbaik dinobatkan kepada kumpulan unggu.

Moga dengan penganjuran program seperti ini dapat menguatkan lagi kesatuan dan tautan ahli KPKM dalam menjayakan usul dan pembawaan KPKM sesi ini. Besarlah harapan supaya program seperti ini dapat diadakan lagi di masa hadapan. Jutaaan terima kasih dan penghargaan diucapkan kepada semua penggerak dan peserta yang menjayakan setiap aktiviti dan pengisian program SANTAI ’20, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

 

Disediakan oleh:
Muhamad Amirul Asyraf bin Azman
Setiausaha Muzakarah Berkelompok Gabungan Mahasiswa Kelantan (SANTAI ’20),
Lajnah Dakwah dan Tarbiah, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2019/2020

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up