Month: March 2020

KEPENTINGAN MEMPELAJARI SEJARAH

KEPENTINGAN MEMPELAJARI SEJARAH

Sejarah berasal dari perkataan arab, شجرة yang bermaksud pokok. Pokok-pokok kehidupan umat terdahulu yang dirakamkan Allah di dalam al-Quran telah memberi gambaran jelas betapa pentingnya sejarah, sehingga menjadi topik perbahasan utama dalam kitab suci umat Islam dan semestinya menjadi satu perkara yang tidak boleh dipisahkan dari kehidupan muslim .

Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf, ayat 176 yang bermaksud:

“Maka ceritakanlah kisah-kisah yang berlaku agar kamu berfikir dengannya”.

Ini menunjukkan kepada kita bahawa mempelajari sejarah bukan sekadar menceritakan apa yang berlaku, tetapi memerlukan kita untuk berfikir dan mengkaji supaya sejarah boleh menjadi cermin kepada kita untuk tidak mengulangi kesilapan umat Islam terdahulu dalam menegakkan kalimah tauhid.

Sejarah Islam bukan sekadar menceritakan tentang peristiwa, tarikh, tempat dan tokohnya sahaja bahkan yang lebih utama dari sejarah Islam itu ialah hikmah dan pengajaran yang tidak pernah berkurangan serta sentiasa relevan sepanjang zaman.

Kenapa sejarah Islam penuh dengan hikmah?

Sejarah Islam dipenuhi dengan tokoh-tokoh yang baik dan patut diteladani oleh umat sekarang. Generasi Rasulullah SAW dan para sahabat merupakan kelompok utama yang perlu diikuti. Aspek akidah dan pengorbanan para sahabat dalam membawa risalah Islam sehingga tersebar ke segenap dunia merupakan satu pengajaran terbesar kepada kita agar lebih menghargai cahaya keimanan ini. Perjuangan mereka seterusnya disambung oleh para tabi’ dan tabi’ tabi’in yang bermati-matian memperjuangkan Islam agar cahayanya kekal dan menyinar sehingga turut dirasai oleh generasi kita sekarang.

Selain itu, sejarah Islam juga dihiasi dengan contoh-contoh yang tidak baik oleh umat terdahulu agar kita mengambil pengajaran dan tidak mengulanginya lagi. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Seorang mukmin tidak akan terjerumus ke dalam lubang yang sama untuk kali yang kedua”.

Dengan mempelajari sejarah Islam juga, kita akan memahami sunnatullah dalam sejarah terdahulu. Allah SWT berfirman dalam surah al-Fathir pada ayat 43 dan 44 yang bermaksud: “Apakah mereka memerhatikan ketentuan-ketentuan Allah terhadap orang-orang terdahulu. Tidaklah ada perubahan dalam ketentuan Allah dan tidaklah ada penyimpangan dalam ketentuan-ketentuan Allah. Tidakkah mereka berjalan di muka bumi dan memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka”.

Fungsi sejarah dalam al-Quran

Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Hud pada ayat 120, kita dapati terdapat 4 fungsi utama sejarah kepada umat manusia, iaitu :

  1. Sejarah sebagai peneguh hati.Dalam al-Quran terdapat ayat-ayat yang menegaskan akan janji Allah kepada orang mukmin dan orang soleh bahawasanya Allah SWT akan menolong serta mengukuhkan kedudukan orang-orang yang memperjuangkan agama Islam.
  2. Sejarah sebagai pengajaran.Kisah para nabi dalam menyampaikan seruan dakwah mengajarkan kepada kita tentang banyak perkara terutamanya mengenai fiqh dakwah. Contohnya, uslub dakwah yang dipamerkan oleh Nabi Sulaiman kepada Ratu Balqis yang telah berjaya menarik hatinya untuk memeluk agama Allah SWT.
  3. Sejarah sebagai peringatan.Kisah kaum ‘Aad yang ditimpa azab akibat perbuatan homoseksual memberi peringatan kepada umat masa kini agar tidak mengulangi dosa-dosa kaum terdahulu yang ingkar serta berpaling dari dakwah para nabi.
  4. Sejarah sebagai sumber kebenaran.Ayat-ayat berkaitan dengan penciptaan manusia yang disebut di dalam al-Quran telah menjadi bukti kepada para saintis tentang kebenaran al-Quran dan kekuasaan Allah sebagai pencipta alam ini. Al-Quran juga menjadi rujukan dalam pelbagai bidang ilmu dan banyak menjadi dalil kepada kebenaran kisah umat terdahulu.

Faedah mendalami sejarah

Antara faedah mempelajari sejarah terutamanya sejarah umat Islam adalah dapat melahirkan generasi yang matang dan berfikiran jauh ke hadapan serta membentuk peribadi yang baik. Manakan tidak, banyak panduan tentang kehidupan di dunia ini telah dirakamkan Allah di dalam kitab agung umat Islam iaitu al-Quran dan hanya perlu ditadabbur dan dipraktikkan dalam kehidupan.

Umat Islam juga akan lebih menghargai jasa dan pengorbanan generasi terdahulu dalam mempertahankan agama Islam serta menyebarkannya sehingga mampu menguasai hampir 2/3 dunia. Seterusnya, ia dapat memotivasikan diri kita bagi meneruskan kegemilangan Islam yang dicetuskan oleh generasi terdahulu.

Kesimpulan

Sebagai penutupnya, marilah sama-sama kita memupuk rasa kecintaan kepada sejarah agar sejarah kegemilangan umat Islam terus terpelihara dan tidak diseleweng oleh para orientalis Barat yang giat mengkaji dan berusaha untuk mengubah sejarah tamadun kita.

Banyakkan mengkaji karya-karya ulama Islam tentang sejarah dan dalam masa yang sama  menyebarkannya kepada masyarakat agar lebih ramai lagi di luar sana yang tidak duduk bersahaja dengan nikmat Islam dan keamanan yang kita kecapi sekarang bahkan bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan.

Marilah sama-sama kita menjadi mahasiswa dan mahasiswi yang matang dan intelektual dalam segenap bidang demi menegakkan kalimah tauhid di muka bumi ini. Perjuangan belum selesai, teruskan melangkah!

 

Anis Nazirah binti Ismail
Kuliah Bahasa Arab, Universiti al-Azhar, Mesir.

Rujukan:
1) Al-Quran.
2) Kitab al-Mausu’ah al-Tarikhiah, Syeikh Roghib al-Sirjani.

Muat turun PDF Risalah Penerangan siri ke 3

KAITAN ANTARA DAIE DAN MEDIA

KAITAN ANTARA DAIE DAN MEDIA

1. Mencungkil sejarah media zaman Rasulullah SAW

Sebelum mengetahui mengapa media menjadi wasilah dakwah, lebih baik kita mengetahui apa itu media. Media adalah suatu alat untuk menyampaikan informasi ke seluruh pelusuk dunia. Media juga telah digunakan semenjak zaman Rasulullah SAW iaitu dalam metode lisan dan tulisan. Kini media telah berkembang luas daripada lisan dan tulisan kepada metode yang semakin canggih dan pelbagai seperti video, audio, animasi dan grafik.

Media zaman Rasulullah SAW hanya terhad kepada orang tertentu sahaja dan kemungkinan ada yang tidak sampai dakwah Rasulullah SAW kepadanya kerana keterbatasan masa dan tempat. Metode lisan yang digunakan pada zaman Rasulullah SAW juga terhad kerana dakwah tersebut hanya sampai kepada orang sekeliling sahaja, manakala orang yang tidak ada pada waktu tersebut tidak sampai dakwah kepadanya. Metode lisan ini hanya diaplikasikan apabila manusia berkumpul di pasar, di masjid atau di rumah para sahabat. Manakala, metode tulisan pula hanya sampai kepada orang tertentu sahaja iaitu melalui surat yang dikirim oleh Rasulullah SAW.

Namun, dunia Islam hari ini telah pun berubah dan berkembang maju. Media yang digunakan untuk menyebarkan dakwah telah pun berubah menjadi lebih canggih. Media telah pun disambungkan ke seluruh pelusuk bumi tanpa sambungan wayar yang menghubungkan di antara manusia iaitu internet. Kini, pelbagai metode digunakan untuk menyebarkan dakwah dengan cara yang lebih cepat,  maju dan berkesan iaitu melalui media massa seperti Blog, Facebook, Twitter, Skype, Youtube dan banyak lagi.

2. Kenali metode dakwah untuk mad’u

Sebelum kita menyampaikan dakwah kepada mad’u, terlebih dahulu kita perlu mengetahui setiap metode yang akan digunakan dan sejauh mana keberkesanannya ke atas mad’u. Antara cara-cara untuk menguji metode yang berkesan adalah dengan mengenali mad’u melalui perkara yang diminati dan kecenderungannya dalam sesuatu perkara. Contohnya,  jika mad’u ialah seorang yang gemar membaca, maka kaedahnya adalah melalui penulisan. Manakala jika mad’u gemar menonton filem, rancangan-rancangan televisyen dan lebih tertarik dengan gambar-gambar, maka sampaikanlah dakwah melalui video grafik atau animasi.

Oleh itu, cara dakwah melalui media yang berkesan dapat diringkaskan kepada dua:

  1. Mengenali minat dan kecenderungan mad’u
  2. Menyampaikan dakwah menggunakan metode yang bersesuaian.

3. Syarat-syarat kepada para daie yang menggunakan media

Terma dan syarat bukan sahaja untuk sesebuah pekerjaan, tetapi media juga tertakluk dengan terma dan syaratnya tersendiri. Syarat ini dijadikan sebagai garis panduan kepada daie agar dakwah yang disampaikan tidak terpesong daripada matlamat yang sebenar. Antara syarat-syarat kepada para daie dalam menggunakan media untuk berdakwah adalah:

  1. Seorang daie hendaklah memperbetulkan niatnya dalam menyampaikan dakwah adalah semata-mata kerana Allah.  Sebagaimana tercatat dalam hadis arbain, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya:

    “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat.”

    Ini menunjukkan bahawa niat itu penting dalam setiap amalan yang dilakukan. Apatah lagi dalam membawa agama Allah yang mulia ini. Benarnya niat menatijahkan yang baik,  jika sebaliknya ia akan menatijahkan sebaliknya juga.

  2. Perkara yang diterbitkan mestilah tidak menyalahi syarak kerana menyebarkan dakwah melalui media adalah sebagai taklifan fardu kifayah. Maka setiap perkara yang diterbitkan di media mestilah sesuatu yang mendatangkan manfaat kepada orang lain dan tidak bersalahan dengan syariat Islam. Seterusnya, dakwah melalui media itu mestilah tidak mencetuskan pergaduhan,  perdebatan dan sebagainya. Malah menimbulkan wadah kesatuan umat melalui media dapat membuktikan bahawasanya agama Islam tidak jumud, malah semakin maju dengan teknologi-teknologi moden.
  3. Menguasai media dengan baik. Penguasaan media yang baik oleh daie dalam menyampaikan dakwah dapat membantu Islam untuk terus berkembang luas. Hal ini kerana manusia zaman kini lebih banyak menghabiskan masa dengan media seperti internet, televisyen dan lain-lain. Oleh itu, para daie perlu menguasai media sepenuhnya untuk menyampaikan dakwah kepada semua orang dalam pelbagai metode yang berkesan. Jika bukan umat Islam yang menguasai, maka orang bukan Islam lah yang akan menguasai dan menyebarkan dakyah-dakyah mereka yang menyebabkan umat Islam akan lebih jauh daripada ajaran Islam yang sebenar.

Akhir kalam, kita sebagai pelajar yang berpendidikan dan seorang daie yang bijak haruslah menguasai media agar mampu melakukan kebaikan dan mampu mencegah kemungkaran di alam maya. Jika bukan kita siapa lagi yang akan menguasai media ini? Ayuh kita sama-sama menjadi insan yang dapat memanfaatkan diri untuk agama dan ummah.

 

Disediakan oleh:
Azdah Khairatussyifa binti Mohd Nordin
Kuliah Usuluddin (Akidah dan Falsafah), Universiti Al-Azhar, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Multimedia siri ke 35

POWER BANK: TIP PEMBELIAN DAN PENJAGAAN

POWER BANK: TIP PEMBELIAN DAN PENJAGAAN

Telefon pintar pada hari ini boleh dianggap sebagai teman rapat manusia. Hampir setiap aktiviti harian manusia tidak terlepas daripada menggunakan telefon pintar sebagai alat untuk berkomunikasi, mencari maklumat, menjalankan urusan pembelian atas talian dan lain-lain. Dunia pada era revolusi perindustrian 4.0 masa kini segalanya diakses menggunakan hujung jari.

Mengikut satu kajian, rata-rata pengguna menghabiskan masa lebih daripada tiga jam sehari dengan telefon pintar mereka. Ini menyebabkan kadar bateri telefon pintar menjadi berkurang, maka setiap pengguna semestinya mahukan peranti mereka dicas semula untuk mengembalikan kuasanya. Bagi mereka yang kerap tinggal di rumah, perkara ini mungkin tidak menjadi masalah kerana hanya perlu menyambungkan peranti dengan pengecas soket. Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang kerap berada di luar rumah? Semestinya mereka memerlukan power bank bagi memastikan peranti sentiasa dalam hayat. Ciri-cirinya yang mudah dibawa kemana-mana dan mampu menyimpan kapasiti kuasa yang besar menjadikannya pilihan ramai.

TULEN VS TIRUAN

Aspek yang terpenting dalam pemilihan untuk membeli sebuah power bank adalah memastikan ketulenan pembuatannya. Namun, melihat kepada lambakan jualan power bank di pasaran menimbulkan sedikit kekeliruan bagi membezakan produk tersebut tulen atau tiruan. Langkah pertama sebelum membeli power bank adalah merujuk kepada laman sesawang pengeluar power bank yang terkemuka; antaranya jenama Pineng, Xiaomi, Aukey, Anker, Pisen dan Tronsmart.

Kod power bank – Pastikan kod yang terdapat pada model atau jenis power bank yang ingin dibeli menepati kod yang terdapat di laman sesawang pengeluar power bank tersebut bagi memastikan ketulenannya.

Harga Kesemua jenama yang disebutkan di atas menawarkan harga yang agak kompetitif mengikut kapasiti bateri. Sebagai contoh, bagi power bank yang berkapasiti 20 ribu mAH, yang tulen biasanya dijual dalam lingkungan RM50 ke atas (berbeza mengikut jenama dan jenis pengecasan) dan bagi produk tiruan pula dalam lingkungan harga RM20.

Bahan pembuatan – Produk tulen biasanya diperbuat daripada bahan plastik yang berkualiti manakala produk tiruan pula hanya berkerangkakan plastik yang murah dan nipis menyebabkannya tidak selesa digenggam dan panas ketika dicas.

Berat power bank – Setelah melihat pada luaran, isi dalamannya juga penting. Cara untuk mengetahuinya adalah dengan merasakan berat power bank. Produk tiruan terasa ringan bila dipegang berbanding produk tulen kerana isi dalamannya hanyalah litar mudah dan beberapa plat besi atau kampit kecil pasir berperanan sebagai pemberat.

Bungkusan – Power bank yang tulen dibungkus dengan rapi di dalam kotak yang premium manakala yang tiruan hanya dibungkus ala kadar di dalam kotak yang murah dengan warna yang pudar dan tidak menarik. Sesetengah pengeluar meletakkan pelekat pengesahan jenis hologram atau lapisan perak pada kotak pembungkusan mereka. Pembeli perlu menggores lapisan tersebut dan memasukkan nombor siri di laman sesawang yang disediakan oleh pengeluar. Jika nombor siri disahkan wujud dalam pangkalan data, ia adalah tulen manakala sebaliknya, ia adalah tiruan.

Tempoh jaminan – Peniaga atau pengedar power bank yang tulen memberikan tempoh jaminan selama setahun atau lebih kepada pengguna. Berbeza pula bagi produk tiruan, peniaga hanya memberi tempoh jaminan 1-3 bulan sahaja.

Kenapa perlu membeli produk yang tulen?

Saranan untuk mendapatkan power bank yang tulen adalah kerana keselamatan. Produk yang tulen dilengkapi dengan sistem perlindungan litar yang lengkap supaya jangka hayat power bank lebih lama di samping mengelakkan kemalangan litar pintas berlaku. Antara sistem perlindungan tersebut ialah perlindungan cas berlebihan (overcharge), voltan berlebihan, discas berlebihan dan perlindungan terhadap suhu dan haba.

Power bank tiruan pula tidak mempunyai sistem sedemikian. Antara impak negatif padanya ialah:

  1. Power bank mengambil masa yang terlalu lama untuk dicas; contohnya memakan masa sehingga 24 jam.
  2. Kehilangan banyak kuasa walaupun tidak digunakan.
  3. Power bank yang rosak tidak dapat digantikan dengan yang baru kerana tidak terdapat jaminan yang sah atau terlalu singkat.
  4. Paling tragis, ianya boleh meletup dan terbakar seterusnya menjejaskan keselamatan pengguna.

PENJAGAAN

Bagi memastikan power bank tahan lama, tidak cukup dengan membeli produk yang tulen, bahkan cara penjagaan yang betul juga amat signifikan. Tip berikut boleh diamalkan:

  1. Jangan biarkan power bank tidak digunakan dalam tempoh yang lama.
    Sebab: Menyebabkan berlaku discas (cas mengalir keluar) dan memendekkan jangka hayat power bank.
  1. Jangan cas power bank terlalu lama atau sekejap.
    Sebab: Mengelakkan cas berlebihan (overcharge) atau gangguan litar.
  1. Tidak meletakkan power bank di dalam ruangan yang terlalu kedap seperti di dalam kereta atau di bawah cahaya matahari.
    Sebab: Mengelakkan power bank memerangkap haba yang boleh mengakibatkan letupan.
  1. Menggunakan kabel pengecasan yang tulen atau yang bersesuaian dengan power bank.
    Sebab: Mengelakkan peranti mengalami voltan berlebihan dan kerosakan seperti ‘ghost touch’ (skrin bergerak sendiri tanpa disentuh).

 

Disediakan oleh:
Wan Muhammad Afiq bin Wan Azli
Kuliah Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Multimedia siri ke 34

“BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI KITA ROBOH”

“BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI KITA ROBOH”

Satu peribahasa melayu yang seringkali kita mendengarnya tetapi jarang diamati oleh kita. Sedangkan perkataan ‘Bersatu’ diletakkan di hadapan berbanding perkataan ‘Bercerai’ diletakkan di belakang menunjukkan betapa masyarakat melayu mendahulukan kesatuan dalam apa jua perkara. Begitu juga dengan Islam kerana Melayu dan Islam ibarat isi dan kuku.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:-

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu). Lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.”  {Surah Ali-Imran ayat 103}

Islam menyeru agar umatnya bersatu kerana kekuatan umat terletak pada kesatuan umat Islam itu sendiri. Bangsa selain daripada keturunan arab mampu bersatu antara satu sama lain kerana mereka bersatu atas dasar Islam. Islam tersebar bukan sekadar di Tanah Arab bahkan ke seluruh pelusuk muka bumi, ini menunjukkan bahawa Islam itu sifatnya menyatukan bukan memecah belahkan masyarakat.

Jika kita singkapi sirah Nabi Muhammad SAW di mana kesatuan umat Islam bermula di kediaman Al-Arqam bin Abi Al-Arqam sebagai pusat berkumpul umat Islam sewaktu berada di Mekah pada awal dakwah Baginda. Kemudian, Nabi Muhammad SAW telah mempersaudarakan antara kaum Muhajirin dan Ansar sewaktu Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah. Inilah contoh terbaik yang harus kita contohi.

Sesungguhnya Islam tidak mengira warna kulit atau darjat seseorang. Islam bukan milik bangsa arab, Islam juga bukan milik orang kaya. Akan tetapi Islam untuk semua kaum dan bangsa. Islam terdiri daripada semua lapisan masyarakat, hanya taqwa kepada Allah SWT sahaja yang membezakan kita semua.

Kita sekarang berada pada akhir zaman. Zaman di mana tercetusnya fitnah-fitnah yang membuatkan kita curiga terhadap Islam. Kita berada pada zaman yang amat memerlukan untuk kita sama-sama bersatu. Tiada masa lagi untuk kita bertelagah sesama sendiri. Sedangkan musuh Islam mampu bersatu untuk memecah belahkan kesatuan umat Islam. Persoalannya, adakah kita sekadar menjadi penonton? Penonton kepada umat Islam yang kian berpecah belah. Penonton kepada musuh Islam yang kini giat menjana perancangan untuk menghancurkan kesatuan Islam.

Ayuh umat Islam semua! Persiapkan diri kalian dengan sebaik-baik persiapan. Rapatkan saf sesama kita agar tidak mudah ditembusi oleh musuh-musuh Islam di luar sana. Terus mara ke hadapan kerana umat Islam yang cemerlang pantang mundur ke belakang. Umat Islam harus lebih baik dari semalam. Lihat sejarah yang lampau bagaimana Sultan Muhammad Al-Fateh berjaya menggoncang tembok Kota Konstantinopel dengan kesatuan umat Islam pada waktu tersebut pada tahap yang maksima. Tanpa kesatuan umat Islam yang utuh, kota tersebut tidak mungkin akan dibuka sehingga sekarang.

Lantaran itu, umat Islam harus membina kekuatan dari sekarang. Kekuatan dari segi rohani dan jasmani.  Sesungguhnya musuh Islam akan berasa gerun dengan kesatuan Islam. Di situ lah terletaknya kekuatan Islam yang saling melengkapi antara satu sama lain.

Sehubungan itu, terdapat satu pantun melayu yang berbunyi:-

“Buah salak di dalam kantung;
Kulitnya keras isinya kelat;
Bulat air kerana pembetung;
Bulat manusia kerana muafakat”

Akhir sekali, marilah sama-sama kita menyahut slogan yang dibawa oleh Yang Dipertua Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir (KPKM) pada sesi kali ini iaitu “Bersatu Hati Membina Ummah”. Semoga bahtera ini terus berlayar bagi menyatupadukan anak-anak Kelantan yang berada di perlembahan nil.

 

Disediakan oleh:
Muhammad Amirul bin Azhar
Kuliah Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri ke 467

POLITIK DALAM ISLAM

POLITIK DALAM ISLAM

Mutakhir ini kita melihat umat Islam semakin mengambil berat berkenaan isu-isu politik. Hal ini kerana keperluan dalam mengetahui serta memahami politik semasa adalah satu tanggungjawab bagi mereka yang mengaku kasih akan negara. Oleh itu, kita memerlukan sebuah kefahaman bersumberkan rujukan daripada al-Quran dan al-Sunnah.

Badiuzzaman Said Nursi pernah berkata: “Aku berlindung daripada syaitan dan siasah”. Hal ini kerana hasil daripada mereka yang menggunakan atau berpolitik secara kotor. Walaupun begitu, Syeikh al-Islam yang terakhir pada zaman Khalifah Uthmaniyah, Syeikh Mustafa Sabri menganggap politik adalah perkara wajib bagi umat Islam yang berkelayakan dan mempunyai sifat-sifat kepimpinan. Ini kerana ia termasuk dalam urusan menegakkan syariat dan Daulah Islamiyah sebagaimana Baginda SAW mengasaskan Negara Islam Madinah.

Agar lebih memahami maksud politik, didatangkan beberapa definisi. Pertama, politik merupakan ilmu pengetahuan berkenaan pemerintahan. Definisi kedua, ia merupakan sesuatu berkenaan dengan pemerintahan sesebuah negara atau hubungannya dengan negara lain. Definisi ketiga pula membawa maksud kelicikan, muslihat dan tipu muslihat yang bersumberkan daripada kamus dewan.

Selain itu, berdasarkan disiplin ilmu-ilmu Islam, perbahasan politik dibincangkan di bawah bidang fiqh dan bukannya di bawah bidang aqidah. Justeru, politik Islam sering dikenali dengan nama al-Siasah al-Syar’iyyah, Fiqh al-Siasah al-Syar’iyyah, al-Ahkam al-Sultaniyyah dan lain-lain lagi.

Para ulamak juga telah bersepakat mengenai perkara tentang kewajipan melantik imam. Melantik imam atau pemimpin adalah perkara wajib kerana tidak mahu adanya unsur-unsur perpecahan. Berikut merupakan dalil daripada Imam Mawardi yang menyebut:

الإمامة موضوعة لخلافة النبوة في حراسة الدين وسياسة الدنيا به

Maksudnya: “Imamah atau pemimpin utama adalah pengganti kenabian dalam mengawal agama dan mengurus dunia dengan agama”.

Juga terdapat tokoh Islam yang menafikan sistem politik Islam dengan pelbagai hujah yang amat lemah dan telah disanggah oleh ramai ulamak serta cendekiawan Islam. Ini kerana Islam bukan sahaja agama yang bersifat spiritual (ibadah antara manusia dan Tuhan) sahaja, tetapi ianya bersifat syumul. Antara mereka yang tidak bersetuju dengan politik ialah Ali Abdul Raziq dan Khalid Muhammad Khalid.

Selama berdekad sehigga hari ini, barat amat kuat menentang hingga mampu mencambahkan fahaman politik yang songsang, contohnya mengatakan bahawa politik ini kotor manakala Islam ialah agama yang suci dan tidak boleh bercampur dengan dunia politik. Fahaman ini salah kerana politik adalah suatu perkara yang perlu bagi menegakkan agama sebagai satu cara hidup yang sempurna.

Syarat dan ciri bagi pemimpin utama ialah Islam, matang, adil dan bijaksana serta berkefahaman menyeluruh. Syeikh Fathi Yakan telah menukilkan di dalam bukunya Apa Erti Saya Menganut Islam, berkata: “Beramal untuk Islam adalah wajib dari sudut hukum. Menegakkan masyarakat Islam dan melaksanakan hukum-hukum yang diturunkan Allah hukumnya adalah wajib”.

Sahifah Madinah sebagai asas perlembagaan. Di dalamnya terkandung perlembagaan Madinah. Bagi mereka yang berkecimpung dalam bidang politik dan kepimpinan, perlu untuk memahaminya. Hal ini kerana undang-undang tertinggi bagi Negara Islam Madinah adalah undang-undang Islam. Kepentingan Perlembagaan Madinah ini juga sudah cukup menjadi bukti bahawa Islam adalah agama dan politik. Selain itu, perlembagaan ini juga telah berjaya menyatukan Madinah yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum.

Perkara yang perlu dijauhi oleh pemimpin ialah zalim, khianat dan tamak. Tambahan lagi, menjadi pemimpin perlu untuk menjaga dan memahami asas kepentingan rakyat. Antaranya, apabila sesuatu perkara berlaku kepada rakyat, beliau hendaklah menganggap dirinya sebagai rakyat dan pemerintah adalah orang lain. Kedua, jangan menganggap penantian seseorang yang memerlukan pertolongan adalah hina. Ketiga, jangan menghabiskan waktu dengan kepuasan syahwat. Keempat, berusaha sekadar tenaga dan kemampuannya untuk memperolehi kepercayaan rakyat. Kelima, jangan berusaha mendapat restu rakyat sehingga melanggar keredaan Allah SWT. Keenam, sekiranya rakyat memerlukan hukuman, hukumlah mereka dengan sifat kasih sayang dan jangan membuta tuli. Ketujuh, berusaha berdamping dengan ulamak yang muttaqin serta yang soleh. Kelapan, bersungguh dalam meninggalkan sifat bermegah, bongkak dan garang. Yang terakhir, memastikan bukan sahaja dirinya tidak melakukan kezaliman tetapi keseluruhan mereka yang berada di bawah pentadbirannya.

Sebagai khulasah, Mufti Wilayah Persekutuan telah membuat kenyataan bahawa politik baru memerlukan pembaharuan yang munasabah, bertanggungjawab, amanah dan mengutamakan tuntutan Allah SWT. Sudah sampai masanya kita meninggalkan politik balas dendam, seperti anjuran Baginda SAW. Pemimpin yang berjiwa besar mempunyai hati tanpa dendam kesumat. Selain itu juga, sudah sampai masanya pemilihan calon yang akan menerajui kepimpinan adalah daripada kalangan yang benar-benar menepati syarat yang telah ditetapkan oleh Islam iaitu kuat, berilmu dan beramanah.

 

Ain Farhana binti Adnan Rosdi
Kuliah Syariah Islamiah, Universiti al-Azhar, Mesir

Rujukan: Bayan Linnas siri ke-209: Politik Dalam Islam

Muat turun PDF Risalah Penerangan siri ke 2

KENYATAAN RASMI KELUARGA PELAJAR-PELAJAR KELANTAN MESIR (KPKM) BERHUBUNG ISU COVID-19

KENYATAAN RASMI
KELUARGA PELAJAR-PELAJAR KELANTAN MESIR (KPKM) BERHUBUNG ISU COVID-19

Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir telah membincangkan beberapa situasi terkini berkaitan dengan wabak COVID-19 yang semakin menular di bumi Mesir. Bagi memastikan para mahasiswa dan mahasiswi terus cakna dengan situasi terkini, pihak KPKM ingin menasihatkan kepada semua ahli untuk mematuhi beberapa garis panduan keselamatan bagi kebaikan semua pihak. Antaranya adalah seperti berikut:

  1. Memastikan kebersihan diri dan tahap penjagaan kesihatan yang tinggi sepanjang masa seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan ‘hand sanitizer‘.
  2. Mendapatkan rawatan perubatan dengan segera sekiranya mengalami gejala batuk, selesema, kesukaran bernafas dan sakit tekak.
  3. Elakkan daripada berada di khalayak ramai dan keluar rumah tanpa keperluan.
  4. Sekiranya anda mengalami gejala batuk atau selsema, pastikan anda menggunakan penutup hidung dan mulut bagi memastikan penyakit anda tidak berjangkit.
  5. Mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia berkaitan isu penularan wabak COVID-19.
  6. Melakukan persiapan bagi menghadapi penyebaran wabak COVID-19 dan menyediakan bekalan makanan asasi yang mencukupi.
  7. Sentiasa mealzimi bacaan qunut nazilah pada setiap kali solat.
  8. Bersedia dengan sebarang kemungkinan dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini melalui media rasmi KPKM.

Berikutan penularan wabak COVID-19 ini, KPKM akan menangguhkan semua program sepanjang Mac, termasuk kelas Madrasah Tok Kenali, Akademi Tok Guru dan kuliah subuh mingguan.

Semoga semua ahli dapat memanfaatkan masa cuti dengan perkara berfaedah dan tidak keluar ke tempat perkumpulan orang ramai. Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

“Bersatu Hati Membina Ummah”

Sayyidi Muizzuddin bin Mohamad Sabri
Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2019/2020

21 Rejab 1441H bersamaan 16 Mac 2020