PENJARA RAMADAN

PENJARA RAMADAN

Apabila mendengar perkataan penjara secara automatik perkara pertama yang terlintas di dalam benak fikiran anda adalah tempat di mana orang-orang dikurung dan dibatasi berbagai macam kebebasan. Tetapi tidak semua orang beranggapan sedemikian kerana ada juga yang menganggap ianya sebuah medan tarbiah atau madrasah rohani untuk mendidik nafsu yang sudah lama diberi hadam dengan dosa dan nista.

Istilah penjara juga boleh dianggap tempat untuk mencari ilham bagi sesetengah orang untuk mengarang sebuah penulisan agung. Dari situlah kita mengetahui bahawa penjara hanya memenjara jasad tapi tidak bagi akal untuk berfikir di luar bilik tahanan. Yang demikian merupakan sedikit penerangan mengenai penjara secara umumnya.

Justeru, tajuk ‘Penjara Ramadan’ bukan lah satu ungkapan yang sering disebut oleh ramai pihak kerana bulan Ramadan dianggap sekadar untuk menahan diri daripada makan dan minum.  Malah apabila disebut bulan Ramadan, lazim padanya ada ‘pesta juadah’ seperti di bazar Ramadan yang hanya boleh didapati pada bulan ini sahaja dan  tidak pada bulan lain. Tetapi malangnya roh untuk menyambut Ramadan masih belum lagi mekar di dalam jiwa kerana mereka lebih teruja dengan kepelbagaian juadah yang ada di bazar-bazar Ramadan. Adakah ini yang dimaksudkan dengan bulan Ramadan? Adakah tujuan pensyariatan Ramadan semata-mata untuk menahan lapar dan dahaga sahaja? Atau adakah kita terlalu yakin bahawa kita bakal berhadapan dengan Ramadan lagi pada tahun yang akan datang?

Jika begitu, maka benarlah  pepatah yang mengatakan bahawa “Seseorang tidak akan benar-benar menghargai sesuatau perkara sehinggalah dia benar-benar menyedari kehilangan nilai sesuatu benda”. Sedangkan umat pada zaman Rasulullah SAW dahulu, mereka ternanti-nanti untuk menyambut bulan Ramadan kerana terdapat kelebihan yang besar pada bulan tersebut  antaranya semua pintu neraka ditutup dan dibuka semua pintu syurga seluas-luasnya untuk mereka yang inginkan syurga Allah SWT.

Di samping itu, pada bulan Ramadan juga turunnya al-Quran yang sempurna secara beransur-ansur selama 23 tahun. Dan tidak lupa juga antara kelebihan yang ada pada bulan Ramadan terdapat satu malam lebih baik daripada seribu bulan iaitu Lailatul Qadar yang telah dirakamkan di dalam surah al-Qadr. Justeru, terlalu banyak untuk disebutkan mengenai keistimewaan yang ada pada bulan ini, lantas adakah kita akan membiarkan ia berlalu begitu sahaja tanpa melakukan sebarang tindakan untuk memperolehi ganjaran yang lumayan yang tidak ada pada bulan lain?

Disini ingin saya gariskan beberapa panduan yang boleh dilakukan untuk memastikan sistem ‘Penjara Ramadan’ boleh dipraktikkan untuk mendidik diri supaya dapat lebih menikmati erti sebenar Ramadan serta  dapat terus beramal dengannya sehingga ke bulan-bulan yang lain. Tambahan pula, panduan ‘Penjara Ramadan’ ini tidak hanya dikhususkan untuk bulan Ramadan sahaja untuk mengamalkan dan mengaplikasikannya. Mudah-mudahan kita diberi taufiq dan hidayah untuk meneruskan amalan-amalan tersebut sehingga ke bulan lain.

Antara perkara yang perlu ada pada diri anda untuk menghadapi Ramadan ialah:

  • Ilmu

Hal ini kerana ilmu merupakan sebuah tunjang utama bagi semua urusan, terutamanya dalam ibadah dan agama. Sepertimana yang diketahui pensyariatan yang dibawa datang oleh Nabi Muhammad SAW merupakan sesuatu yang perlu dipelajari dan difahami agar dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna serta dapat menjaga diri daripada melakukan perkara yang boleh menjejaskan pahala puasa. Oleh itu, seseorang yang tidak berilmu dia akan melakukan ibadat puasa secara sambil lewa dan tidak ada pada dirinya sikap berjaga-jaga daripada melakukan perkara yang boleh merosakkan puasanya.

  • Membiasakan atau melatih diri untuk melakukan perkara-perkara sunat

Bermula dari sekecil-kecil perkara sehingga ke sebesar-besar perkara. Antara perkara sunat adalah seperti bersedekah, berpuasa sunat Isnin dan Khamis atau menghidupkan malam dengan berqiamullail pada satu pertiga malam kerana apabila kita terbiasa menghidupkan sunnah-sunnah ini sebelum bulan Ramadan maka tidak akan menjadi sesuatu yang berat untuk anda lakukan ketika berada dalam fasa Penjara Ramadan’. Hal ini kerana, manusia ini perlu dilatih untuk melakukan sesuatu yang baik, sesuai dengan fitrah kejadiannya. Dalam kata lain, anda juga perlu meninggalkan tabiat buruk pada bulan Ramadan seperti tidur yang terlalu banyak, melihat perkara yang mungkar dan apa jua perbuatan yang mensia-siakan. Justeru, bertepatan dengan tajuk ‘Penjara Ramadan’ yang mana menatijahkan kita untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik dan taat kepada-Nya.

Tuntasnya, sebagai insan yang sering melakukan kesilapan, rebutlah pahala yang ada pada bulan Ramadan dengan menjaga diri daripada perkara yang membatalkan puasa, serta melakukan amalan-amalan sunat yang lain agar diri kita terbiasa dengannya agar dapat meneruskan amalan sunat di bulan lain. Semoga kita tidak menjadi hamba Ramadan seterusnya dapat menjadikan kita hamba yang disukai dan disayangi oleh Allah SWT dan Rasul-Nya sebagaimana mafhum daripada hadis Rasulullah SAW:

Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan hal keadaan dia beriman dan mengharapkan pahala (ikhlas) pasti akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu”.
(HR. Bukhari & Muslim)

 

Disediakan oleh:
Naseem Farihin bin Zainal Adlyn
Universiti Al-Azhar, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri ke 469

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *