RISALAH UPA S1 : TOKOH CERAMAH DAN TAZKIRAH (TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT)

TOKOH CERAMAH DAN TAZKIRAH
Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat

Biografi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat

Tuan Guru Nik Abdul Aziz merupakan seorang tokoh ulama yang aktif selama hampir 32 tahun dalam memperjuangkan dakwah Islam khususnya di Kelantan. Pendekatan yang dipilih oleh Tuan Guru adalah politik dan dakwah. Misi politiknya untuk memimpin ummah berdasarkan syariat dan misi dakwahnya dalam mendidik ummah ke arah penghayatan Islam sebagai ad-din.

Silsilah kekeluargaan Tuan Guru dapat ditelusuri dari jalur kerabat Raja Jembal yang pernah mewarisi takhta kesultanan Kelantan pada abad ke-18. Garis keturunan Tuan Guru dapat dilihat daripada Raja Sakti, kemudian diikuti dengan Raja Loyar, Raja Omar dan seterusnya. Raja Banjar merupakan datuknya Tuan Guru.

Tuan Guru dilahirkan di Kampung Pulau Melaka pada tahun 1931 dalam suasana kekeluargaan yang Islami. Beliau merupakan anak kedua dari lapan saudara hasil perkahwinan ayahnya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar dengan ibunya yang bernama Che Aminah bin Majid. Ibu Tuan Guru adalah isteri pertama ayahandanya.

Nama asal ayahandanya, Haji Nik Mat ialah Raja Mahmud. Beliau merupakan seorang yang berpendidikan agama dan alim serta terkenal pada zamannya. Dalam beberapa riwayat mengatakan Haji Nik Mat pernah menuntut ilmu di beberapa buah pondok, termasuklah Pondok Tok Khurasan di Kota Bharu dan Pondok Tok Kenali di Kubang Kerian. Oleh kerana kealimannya, ayahanda Haji Nik Mat lebih dikenali sebagai Tuan Guru Haji Nik Mat Alim.

Tuan Guru dikenal sebagai seorang yang cerdas dan berpengaruh dalam kalangan masyarakat Kelantan. Pada awalnya, beliau mula mendapat pendidikan dengan menuntut ilmu di pondok, yang sebelumnya juga telah mendapat pendidikan dasar tentang ilmu-ilmu Islam dari ayahandanya sendiri. Pada usia 6 tahun, beliau mulai menempuh pendidikan di Sekolah Dasar secara formal. Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat merupakan gedung ilmu pengetahuan yang pertama mengajarkannya erti persekolahan. Setelah tamat pada tahun 1941, beliau kemudian didaftarkan oleh ayahandanya untuk melanjutkan pendidikan di Pondok Tok Kenali yang terletak di Kubang Kerian.

Setelah mencapai usia remaja, Tuan Guru kemudian melanjutkan pendidikan di Pondok Tuan Guru Haji Abbas di Jertih, Terengganu. Pada tahun 1952, beliau melanjutkan pendidikan ke Universiti Deoband (Darul Ulum) India demi memperdalam ilmu pengetahuan agamanya. Di India, Tuan Guru berguru dengan seorang ulama hadis dan ilmu tarikat yang terkemuka, iaitu Maulana Muhamad Ahmad Al-Madani. Setelah menyelesaikan pengajiannya di Darul Ulum pada tahun 1957, beliau bermusafir pula ke Lahore, Pakistan. Tuan Guru kemudiannya mengambil kursus tafsir Al-Quran. Setelah 6 bulan belajar di Lahore, Tuan Guru kemudian meneruskan pengajian ilmunya di Universiti Al-Azhar, Mesir. Setelah mendapat Ijazah Sarjana Muda, beliau kemudian melanjutkan pendidikan di universiti yang sama dengan Jurusan Perundangan Islam dan lulus pada tahun 1962 dan mendapat Ijazah Sarjana.

Setelah lima tahun di India dan enam bulan di Pakistan, kemudian empat tahun di Universiti  Al-Azhar, akhirnya Tuan Guru kembali pada 1962 dari perantauan. Tuan Guru mendirikan rumah tangga setelah setahun kembalinya dari menuntut ilmu pendidikan. Beliau berkahwin dengan seorang gadis pilihan orang tuanya yang berusia 14 tahun. Isteri Tuan Guru ialah Tuan Sabariah binti Tuan Ishak yang berasal dari kampung Panchor yang bersebelahan dengan Pulau Melaka. Hasil pernikahan Tuan Guru dengan isterinya Tuan Sabariah telah dikurniakan 10 orang anak, lima putra dan lima putri.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah seorang pejuang Islam kontemporari. Keterlibatannya sebagai pendakwah dan politikus terbukti sejalan dengan syariat. Peranannya bukan saja aktif di negeri Kelantan, namun juga ke seluruh negara Malaysia. Sebelum dilantik sebagai Menteri Besar, beliau adalah Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ketua Ulama PAS Pusat dan sebagai ahli Parlimen serta Ahli Dewan Negeri Kelantan. Selain itu, Tuan Guru juga masih menyempatkan diri dalam menyampaikan kuliah dan ceramah agama. Demikian juga, kesungguhan Tuan Guru untuk mengabdi kepada masyarakat, khususnya di bidang pendidikan semakin terlihat ke permukaan tatkala menjadi guru di Maahad Muhammadi, Kota Bharu.

Sumbangan Tuan Guru di bidang pendidikan formal dapat disaksikan ketika beliau dipilih oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk duduk di parlimen Kelantan Hilir pada tahun 1967, sehingga kemudian perjuangan dakwahnya juga masuk melalui politik. Di dalam kaitan ini, sebagai seorang pemimpin dan dai’e, Tuan Guru menggunakan pendekatan dengan mengajar dari satu masjid ke masjid yang lain. Umpamanya di setiap hari Jumaat, masjid mana yang beliau singgah akan beliau sampaikan khutbah, tausiah atau ceramah. Selanjutnya menyampaikan pesan dakwah dan pentadbirannya kepada masyarakat.

Kesimpulannya

Konsep pembinaan ke-Islaman yang diterapkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada rakyat Negeri Kelantan telah memberi impak yang sangat besar bagi kehidupan rakyat Negeri Kelantan, baik pada bidang agama, sosial, ekonomi, pendidikan dan politik.

Di dalam pembinaan ke-Islaman rakyat Negeri Kelantan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dikenal sebagai ulama yang berperanan besar dalam mencetuskan aspirasi baru dalam menggerakkan perjuangan dalam mengembangkan kejayaan Islam. Selain pendakwah dan ulama, beliau juga dikenali sebagai tokoh politik dan pemimpin umat Islam. Pada bidang dakwah, beliau membina rakyat Negeri Kelantan dengan pendidikan agama.Di antara kontribusi dakwah Tuan Guru Nik Abdul Aziz di dalam pembinaan rakyat Negeri Kelantan adalah dengan menginfakkan diri sepenuhnya dalam Islam. Beliau berceramah tanpa mengharap imbalan, tidak memilih tempat untuk berceramah atau menyampaikan dakwah, bersungguh dalam menegakkan syariat tanpa mengerti erti lelah.

 

Disediakan oleh:
Ustaz ‘Adli bin Jusof
Kuliah Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar Kaherah

Rujukan:

AL-IDARAH: JURNAL MANAJEMEN DAN ADMINISTRASI ISLAM, Al-Idarah, Vol. 2, No. 1, Januari – Juni 2018 ‖ 119, KONSEP DAKWAH TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT , DALAM PEMBINAAN KEISLAMAN, RAKYAT NEGERI KELANTAN, Muhammad Izdihar Bin Abdullah, Prodi Manajemen Dakwah UIN Ar-Raniry, Banda Aceh

Muat turun PDF Tokoh Ceramah dan Tazkirah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *