RISALAH UBS S1 : KELEBIHAN SOLAT BERJEMAAH

KELEBIHAN SOLAT BERJEMAAH

Dalam kehidupan seharian manusia, telah difardukan oleh Allah Taala kewajipan solat lima waktu. Di dalam kewajipan solat lima waktu ini juga Allah SWT telah gariskan kepada manusia yang beriman untuk menunaikan solat lima waktu secara berjemaah. Solat berjemaah adalah solat yang dilakukan secara beramai-ramai yang didalamnya terdiri daripada imam dan makmum.

Telah diriwayatkan dalam sebuah hadis mengenai kelebihan solat berjemaah yang sering dipandang ringan oleh segelintir manusia. Sabda Nabi Muhammad SAW:

“Solat berjemaah itu lebih afdal dibandingkan dengan solat bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat.” (HR. Bukhari)

Allah SWT juga telah berfirman dalam al-Quran:
“Hanyalah yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, serta tetap mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapa pun) selain kepada Allah.” (Surah at-Taubah: Ayat18).

Bagi orang yang celik akal, maka dapatlah kita lihat di sini mengenai kelebihan yang teramat besar diberikan kepada orang yang menunaikan solat secara berjemaah berbanding solat secara bersendirian.

Sebenarnya, solat berjemaah mampu melatih kita dalam pelbagai aspek terutama aspek kepimpinan. Ini berlaku apabila seorang makmum perlu mengikut arahan imam di dalam solat agar tidak membatalkan solatnya. Solat berjemaah juga menurut Imam Nawawi adalah fardu kifayah. Setiap langkah untuk melaksanakan tuntutan solat berjemaah akan diampunkan dosa dan diberikan pahala serta diangkat darjatnya di sisi Allah SWT. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW:

“Barangsiapa berangkat ke masjid untuk solat berjemaah, maka satu langkah kakinya akan menghapus dosa dan satu langkah kaki lainnya akan dituliskan pahala untuknya, baik ketika berangkat mahupun pulang.” (HR. Ahmad).

Sudah semestinya sebagai seorang mukmin, kita mestilah melakukan yang terbaik dalam hal yang berkaitan dengan agama, tidak kira dari sudut hubungan kita dengan Allah Taala mahupun hubungan kita sesama manusia. Kesimpulannya, marilah kita menjadi “kaki surau” yang sentiasa mengimarahkan surau dengan menunaikan solat fardu secara berjemaah.

“Biah Solehah Dijaga, Ummah Terbina”

Disediakan oleh:
Nurul Afifah binti Mad Alwi,
Kuliah Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar Syarif.

Muat turun PDF Risalah UBS S01 (Solat Berjemaah)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *