KAHERAH – IHYA TARBAWI RAMADAN 2020 (IHTIRAM ’20) anjuran Lajnah Dakwah dan Tarbiah KPKM 2019/2020 bertemakan “Semarak Ramadan, Meraih Ketakwaan” yang diadakan di Wisma Sultan Muhammad V, Wisma Tengku Mahkota Kelantan dan kediaman ahli masing-masing. Program IHTIRAM ’20 pada kali ini bermula pada 1 Ramadan sehingga 30 Ramadan 1441 Hijri bersamaan 24 April sehingga 23 Mei 2020. Walaubagaimanapun, IHTIRAM ’20 pada kali ini dijalankan agak sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan ujian wabak pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia membataskan pelaksanaan aktiviti berbentuk perkumpulan.

Objektif utama program IHTIRAM ’20 dianjurkan adalah bagi menghidupkan bulan Ramadan dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat, memberi kefahaman yang sebenar berkaitan konsep ibadah, melahirkan modal insan yang kuat dari segenap sudut dan mengukuhkan ukhuwah islamiah dalam kalangan ahli serta menjayakan usul dan pembawaan KPKM dalam setiap aktiviti dan program.

Alhamdulillah dengan bantuan Allah SWT, penggerak IHTIRAM ’20 pada kali ini telah berjaya merancang dan menyusun pelbagai aktiviti yang sesuai bagi semua mahasiswa dan mahasiswi di bulan Ramadan mengikut suasana wabak yang melanda. Antara aktiviti harian yang dapat diteruskan pada IHTIRAM ’20 kali ini adalah solat Tarawih berjemaah dengan penjarakan sosial, Tazkirah Tarawih di kedua-dua wisma mengikut jadual yang ditetapkan, Tazkirah Subuh dan Bacaan Hadis Ramadan serta Tadarus al-Quran yang bertempat di kediaman ahli masing-masing.

Seterusnya, penggerak IHTIRAM ’20 juga melaksanakan dua aktiviti mingguan iaitu Qiamullail dan Tukaran Juadah Berbuka mengikut jadual yang telah ditetapkan dengan saling bertukar juadah berbuka sesama penghuni wisma sahaja.

Antara perbezaan IHTIRAM ’20 pada kali ini ialah tidak menjemput imam solat tarawih dari Shoubra yang menjadi kebiasaan pada setiap tahun. Begitu juga pentazkirah tarawih hanyalah diambil daripada kalangan penghuni kedua-dua wisma sahaja. Tambahan pula, antara aktiviti yang tidak dapat dijalankan ialah Sahur Jamaie, Iftar Ziarah (IFRAH), solat Tarawih di masjid-masjid terpilih dan juadah moreh ahli.

Tirai program IHTIRAM ’20 dibuka dengan majlis perasmian program yang disempurnakan oleh Ustaz Khairul Anuar bin Ismail, Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah pada 22 April bersamaan dengan 29 Syaaban 1441 Hijri yang diadakan secara siaran langsung di laman rasmi Facebook Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir.

Pihak program mengambil manfaat melalui media massa dengan mengadakan pengisian-pengisian berbentuk wallpaper dan menyarankan kepada semua ahli untuk menonton siaran langsung ceramah Nuzul Quran dan Badar Kubra yang disampaikan oleh aktivis-aktivis Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) di laman sosial facebook bagi menggantikan pengisian yang tidak dapat dijalankan.

IHTIRAM ’20 melabuhkan tirai pada 23 Mei bersamaan dengan 30 Ramadan 1441 Hijri dengan mengadakan majlis khatam al-Quran di kediaman masing-masing bersama ahli KPKM.  Pada kali ini IHTIRAM ’20 tidak mengadakan majlis penutup secara rasmi. Ianya ditutup  secara tidak langsung iaitu dengan berlansungnya Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri (FITRAH ’20).

Mudah-mudahan objektif utama program yang dianjurkan iaitu untuk menghidupkan bulan Ramadan serta memberi kefahaman yang sebenar berkaitan konsep ibadat dapat dicapai melalui aktiviti-aktiviti yang  disusun. Semoga melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti IHTIRAM ’20 pada kali ini juga dapat mengukuhkan lagi ukhuwah antara ahli KPKM dan merealisasikan pembawaan dan usul KPKM.

Disediakan oleh:
Sana’a binti Mustafa,
Timbalan Setiausaha Ihya Tarbawi Ramadan 2020 (IHTIRAM ’20),
Lajnah Dakwah dan Tarbiah, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2019/2020.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up