Month: September 2020

MULTIMEDIA SEBAGAI WASILAH DAKWAH ISLAM   

MULTIMEDIA SEBAGAI WASILAH DAKWAH ISLAM

Multimedia merupakan gabungan antara dua perkataan iaitu Multi dan media. Multi bermaksud banyak manakala media pula bermaksud tempat, sarana atau alat yang digunakan untuk menyampaikan informasi. Di sini dapat kita fahami maksud ‘multimedia’ secara umumnya adalah merupakan satu wadah atau penyatuan beberapa media yang kemudian didefinisikan sebagai elemen-elemen pembentukan multimedia. Elemen-elemen pembentukan multimedia tersebut adalah  seperti teks, gambar, suara, animasi dan video. Multimedia merupakan suatu konsep atau teknologi baru bagi bidang teknologi informasi, yang mana informasi dalam bentuk teks, gambar, suara, animasi dan video dapat disatukan dalam satu komputer untuk disimpan, diproses dan dipersembahkan.

Peranan Multimedia

Globalisasi kini, multimedia dilihat menjadi suatu keperluan kepada manusia dalam mendapatkan informasi dan maklumat. Tambahan pula kehidupan manusia kini yang tidak terlepas dengan teknologi sama ada dari sudut pendidikan, kesihatan, perindustrian dan sebagainya secara tidak langsung telah  meningkatkan  perkembangan multimedia kepada kehidupan manusia,  Malahan ianya juga dimanfaatkan di setiap sektor untuk pelbagai keperluan. Antaranya ialah:-

1. Sektor Pendidikan

Proses pembelajaran yang lebih menarik, interaktif, jumlah waktu belajar dapat dikurangkan, kualiti belajar dapat ditingkatkan dan proses belajar dan mengajar dapat dilakukan di mana-mana dan bila-bila masa sahaja, serta sistem pembelajaran dapat ditingkatkan.

Selain itu, manfaat yang dapat diperoleh dari sebuah multimedia untuk pendidikan adalah:-

  1. Memperbesarkan benda yang sangat kecil dan dapat dilihat dengan mata kasar seperti kuman, bakteria, virus dan sebagainya.
  2. Memperkecilkan benda yang sangat besar yang tidak dapat dibawa ke tempat pembelajaran seperti gajah, rumah, gunung dan sebagainya.
  3. Mempersembahkan benda atau peristiwa yang kompleks, rumit dan pergerakan cepat atau lambat sesuatu benda seperti sistem tubuh manusia, pergerakan suatu mesin, peredaran planet, berkembangnya bunga dan sebagainya
  4. Mempersembahkan benda atau peristiwa yang jauh dari pandangan mata seperti bulan, bintang dan sebagainya
  5. Mempersembahkan benda atau peristiwa yang berbahaya seperti letusan gunung berapi, harimau, racun dan sebagainya.
  6. Meningkatkan minat sekaligus menarik perhatian pelajar untuk belajar 

 2. Sektor Kesihatan

Dewasa ini, dunia dikejutkan dengan kehadiran suatu wabak yang membadai  ke seluruh dunia iaitu wabak Corona Virus (Covid-19). Disini kita dapat melihat peranan yang cukup besar yang akan dimainkan oleh multimedia untuk tujuan pengkajian. Pengkajian dengan menggunakan multimedia bagi memeriksa tubuh manusia yang terkena wabak Corona Virus, dan kemudiannya mengembangkan teknik dan cara yang paling tepat  bagi membasmi penularan wabak ini.

3. Sektor Perindustrian

Disektor industri, multimedia digunakan sebagai cara untuk memberikan informasi bagi membantu pemegang saham, rakan kerja dan usahawan. Multimedia ini juga bermanfaat untuk memberikan latihan karyawan, pengiklanan dan penjualan produk di seluruh dunia tanpa batasan melalui web.

Sumbangan Multimedia Terhadap Islam

Menyampaikan dakwah Islam tidak hanya terhad di masjid atau surau bahkan ianya dapat dimanfaatkan dengan adanya multimedia bagi meluaskan lagi penyampaian ke seluruh dunia. Justeru, setiap masyarakat Islam perlu memainkan peranan penting dalam menguasai teknologi multimedia, bukan sekadar menjadi pengguna biasa sahaja bahkan boleh membangunkan sistem maklumat atau perisian sendiri berasaskan acuan Islam dan yang pentingnya dapat menggarap segala bentuk teknologi mengikut tasawwur Islam. Sebagai kesimpulan, multimedia ini sememangnya menjadi satu rahmat kepada umat Islam sesuai dengan risalah Islam sebagai agama yang mendukung penggunaan dan penyebaran maklumat serta pengetahuan.

 

Sumber:
1. https://salamadian.com/pengertian-multimedia/
2. https://didikwirasamodra.wordpress.com/2008/09/05/multimedia%C2%A0pembelajaran%C2%A0interaktif/
3. http://an-nuur98.blogspot.com/2018/03/multimedia-dari-perspektif-al-quran.html?m=1

 

Disediakan oleh:
Nik Ilham Darwish bin Mohd Yuazhar
Kuliah Bahasa Arab, Universiti al-Azhar

Muat turun PDF Risalah Multimedia siri ke-36

MAHARAT ‘20

8 & 9 MARCH 2020, KAHERAH  –  Program Maharat ’20 anjuran  Lajnah Perumahan KPKM 2019/2020 bertemakan “Generasi Berilmu Mahasiswa Berkemahiran” telah diadakan di Wisma Sultan Muhammad Ke – V. Program ini bermula pada hari Ahad jam 12:00 tengahari dan berakhir pada hari Isnin jam 10:15 malam.

Program Maharat ’20 telah dianjurkan untuk menambah pengetahuan dan meningkatkan kemahiran ahli bagi meneruskan kelangsungan KPKM sebagai organisasi yang berkebajikan terhadap ahlinya bukan hanya dari sudut ilmu pengetahuannya sahaja,bahkan ditekankan juga dengan ilmu kemahiran yang menjadi salah satu keperluan pada masa kini. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk melahirkan ahli yang berpengetahuan dalam pelbagai bidang serta dapat  melatih ahli KPKM dengan ilmu kemahiran dan profesional dalam mengendalikan alatan.

Maharat ’20 dibuka dengan ucapan alu-aluan oleh pengarah program Maharat ’20,Ustaz  Nik Mohd Asyraaf bin Nik Fauzi. Majlis diteruskan dengan pembentangan kertas kerja oleh Ketua Lajnah Perumahan KPKM 2019/2020, Ustaz Mohd Nazhan Syahmi bin Nawawi. Hari pertama, Maharat ’20 menyediakan bengkel vokasional seperti perpaipan, elektrik, sakhonah, dan kipas serta disediakan juga slot praktikal bersama ahli.

Maharat ’20 bukan hanya menyediakan bengkel vokasional sahaja. Pada hari terakhir Maharat ’20  disediakan juga tiga slot untuk bengkel fotografi audio dan video. Serta diselitkan juga slot praktikal untuk bengkel fotografi audio dan video ini. Kedua-dua praktikal ini dilakukan secara berkumpulan bersama mentor-mentor yang berpengalaman serta diasingkan antara peserta lelaki dan perempuan.

Majlis penutup program  Maharat ’20 telah ditutup dengan ucapan penutup oleh Timbalan Setiausaha Agung KPKM 2019/2020, Ustaz Muhammad Nur Hakim bin Osman. Majlis diakhiri dengan bergambar antara peserta dan penggerak Maharat ’20 sebagai tanda kenang-kenangan sepanjang program berlangsung.

Mudah-mudahan objektif utama program ini dianjurkan dapat dicapai, iaitu untuk menambah pengetahuan dan meningkatkan kemahiran ahli bagi melahirkan pelapis yang mantap dalam gerak kerja serta memupuk minat ahli dalam bidang soft skill. Semoga melalui pelaksanaan program ini juga ukhuwah sesama ahli KPKM dapat dikukuhkan lagi bagi merealisasikan usul dan pembawaaan KPKM  pada tahun ini.

 

Disediakan oleh:
Tuan Nur Mariyah binti Tuan Mohd Hanafi,
Timbalan Setiausaha Maharat ’20,
Lajnah Perumahan, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2019/2020

DISKRIMINASI KAUM DAN SOLUSI ISLAM

DISKRIMINASI KAUM DAN SOLUSI ISLAM

Kepelbagaian masyarakat merupakan satu lumrah bagi kebanyakan negara di dunia pada hari ni. Masyarakat yang terdiri daripada kelompok kaum, budaya dan agama yang berbeza menjadikan ia satu cabaran yang berpanjangan dalam mengurus kemajmukan sosial ini. Cabaran ini wujud terutamanya dalam aspek membentuk keharmonian, keamanan dan interaksi positif antara kaum yang berbeza. Ia memerlukan pendekatan yang berhemah dan penuh rasa hormat.

Di Malaysia, persefahaman antara kaum dilihat semakin baik terutamanya di kalangan kaum-kaum utama seperti Melayu, Cina dan India. Kerjasama yang erat antara rakyat Malaysia telah dibuktikan dengan kejayaan kita menghadapi wabak COVID-19 apabila semua anggota masyarakat menghulurkan bantuan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama. Ini juga membuktikan diskriminasi kaum dan rasisme di Malaysia berada pada tahap yang rendah dan masih mampu dikawal.

Namun, masih menjadi tanggungjawab kita untuk terus menjaga keharmonian ini dan berwaspada agar tiada kaum yang didiskriminasi. Jika dilihat dari sudut yang lain, sebenarnya masih wujud beberapa faktor yang mampu menjejaskan persefahaman antara kaum yang seterusnya boleh membawa kepada rasisme dan diskriminasi ke atas kaum-kaum tertentu.

Antaranya ialah kewujudan sekolah-sekolah vernakular yang dilihat telah membataskan interaksi dan mewujudkan jurang antara kaum di kalangan remaja. Selain itu, rasisme dalam sektor pekerjaan yang didominasi oleh kaum-kaum tertentu mengikut kawasan juga masih menjalar dalam kalangan masyarakat Malaysia. Perkara ini perlu ditilik kembali dan diberi solusi yang segera kerana Islam amat menekankan keadilan dan keamanan antara manusia.

Ini dibuktikan apabila tamadun Islam berjaya meruntuhkan perhambaan dan mengagungkan kaum tertentu sejak 1400 tahun yang lalu. Perbalahan di antara kaum Aus dan Khazraj selama puluhan tahun telah diselesaikan oleh Baginda Muhammad SAW dengan mempersaudarakan mereka sehingga menjadi pendokong utama dakwah Nabi SAW. Firman Allah SWT menegaskan bahawa adanya bangsa, kaum, bahasa dan pelbagai budaya serta warna itu sebahagian daripada ciptaannya dan ia menjadi tanda keagungan Allah SWT :

ومن آياته خلق السماوات والأرض واختلاف ألسنتكم وألوانكم إن في ذلك لأيات للعالمين (22)

“Dan diantara tanda–tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya adalah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan–keterangan bagi orang–orang yang berpengetahuan”. (Surah al-Rum: 22)

Islam merupakan cara hidup yang sempurna dan telah memberi solusi–solusi penting bagi permasalahan sistem kehidupan manusia. Sistem barat dilihat banyak memberi kacau bilau kerana bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah bahkan menimbulkan ketidak-puasan hati seluruh masyarakat dunia. Inilah akibat dari solusi yang cuba dicipta dengan akal tanpa berpandukan wahyu.

Antara solusi yang diketengahkan Islam bagi menghadapi kepelbagaian kaum dan mengelakkan diskriminasi atau rasis sesama kaum adalah dengan menghayati dan memahami tujuan diciptakan umat manusia yang pelbagai. Firman Allah SWT,

ياأيها الناس إنا خلقناكم من ذكر أو أنثى وجعلناكم شعوبا وقبائل لتعارفوا إن أكرمكم عند الله أتقاكم إن الله عليم خبير(13)

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak dan kaum, supaya kamu bertaaruf. Sesungguhnya semulai-mulia kamu di sisi Allah SWT ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya”. (Surah al-Hujuraat : 13)

Tujuannya adalah untuk kita saling berkenalan dan tolong-menolong serta saling melengkapi diantara satu sama lain. Tugas untuk mengurus bumi tidak dapat dipikul oleh sesetengah puak sahaja bahkan memerlukan kerjasama semua kerana setiap puak dan kaum memiliki kelebihan masing-masing. Kemahiran yang berbeza dalam kalangan mereka mengikut individu, keluarga, kaum dan bangsa serta hasil bumi yang pelbagai harus dikongsi sesama masyarakat bagi memajukan umat manusia seluruhnya tanpa ada yang ketinggalan.

Dalam masa yang sama, Islam tidak menghalang sesiapa sahaja untuk sayang dan kasihkan keluarga dalam kelompok yang kecil, sehinggalah berkeluarga besar, satu bangsa atau kaum bahkan wajib kita menyayangi dan bersilaturrahim. Tetapi jangan lupa bahawa seluruh manusia itu juga adalah keluarga besar di bawah kerajaan Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa ayat 1:

يا أيها الناس اتقوا ربكم الذي خاقكم من نفس واحدة …(1)

Berlaku kacau-bilau dan kelemahan dalam sistem manusia apabila kasihnya yang melampau dan menjadi fanatik sehingga memutuskan hubungan dalam kelompok mereka serta mewujudkan penyakit perkauman atau asabiyah yang juga lebih dikenali dengan rasisme dalam dunia barat. Penyakit ini telah menyebabkan manusia sanggup berlaku zalim sesama mereka dan saling bermusuhan sehingga berdekad lamanya.

Allah SWT meletakkan batas dalam kita menyayangi keluarga sendiri, janganlah sampai kita sanggup menzalimi kaum lain. Firman Allah SWT :

يا أيها الذين ءامنوا كونوا قوامين لله شهداء بالقسط ولا يجرمنكم شنئان قوم على ألا تعدلوا اعدلوا هو أقرب للتقوى واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون (8)

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah SWT, lagi menerangkan kebenaran. Dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil( kepada sesiapa pun) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Maaidah : 8)

Selain itu, Islam telah meletakkan beberapa prinsip dalam Fiqh al-Ta’ayush yang boleh kita aplikasikan bagi menjamin keharmonian sesama masyarakat . Antaranya ialah prinsip tolak ansur dan kemanusiaan dalam Islam serta pensyariatan berbuat baik kepada mereka yang tidak bermusuh. Dan semestinya Rasulullah SAW serta para sahabat telah menunjukkan contoh terbaik dalam mengaplikasikan kaedah dan prinsip fiqh al-Ta’ayush bersama masyarakat dalam banyak keadaan, zaman dan tempat.

Sebagai kesimpulannya, semua kaum atau bangsa perlu berlaku adil dalam setiap urusan agar tiada pihak yang berkecil hati, dipinggir serta dizalimi. Berkasih-sayang lah sesama kita dan jangan membenci disebabkan kekurangan yang dimiliki kaum lain. Semoga seluruh umat Islam dapat bersatu padu bagi membuktikan kepada dunia betapa indah dan hebatnya kesatuan yang ditunjukkan umat Islam serta menunjukkan kekuatan kita kepada dunia barat yang sering cuba melemahkan dan menghancurkan kita. Wallahua’lam.

 

Anis Nazirah binti Ismail
Kuliah Bahasa Arab, Universiti al-Azhar

 

Rujukan:

  1. Artikel “Diskriminasi Kaum : Bom Jangka Yang Bakal Meruntuhkan Tamadun Barat” oleh YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
  2. Mind Presiden “Antara Kaum dan Perkauman” oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
  3. Bayan Linnas siri ke-155 : Konsep Fiqh al-Ta’ayush ; Isu di Malaysia dan Penyelesaiannya.

Muat Turun PDF Risalah Penerangan Siri 4

DISKRIMINASI KAUM DAN SOLUSI ISLAM