DISKRIMINASI KAUM DAN SOLUSI ISLAM

DISKRIMINASI KAUM DAN SOLUSI ISLAM

Kepelbagaian masyarakat merupakan satu lumrah bagi kebanyakan negara di dunia pada hari ni. Masyarakat yang terdiri daripada kelompok kaum, budaya dan agama yang berbeza menjadikan ia satu cabaran yang berpanjangan dalam mengurus kemajmukan sosial ini. Cabaran ini wujud terutamanya dalam aspek membentuk keharmonian, keamanan dan interaksi positif antara kaum yang berbeza. Ia memerlukan pendekatan yang berhemah dan penuh rasa hormat.

Di Malaysia, persefahaman antara kaum dilihat semakin baik terutamanya di kalangan kaum-kaum utama seperti Melayu, Cina dan India. Kerjasama yang erat antara rakyat Malaysia telah dibuktikan dengan kejayaan kita menghadapi wabak COVID-19 apabila semua anggota masyarakat menghulurkan bantuan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama. Ini juga membuktikan diskriminasi kaum dan rasisme di Malaysia berada pada tahap yang rendah dan masih mampu dikawal.

Namun, masih menjadi tanggungjawab kita untuk terus menjaga keharmonian ini dan berwaspada agar tiada kaum yang didiskriminasi. Jika dilihat dari sudut yang lain, sebenarnya masih wujud beberapa faktor yang mampu menjejaskan persefahaman antara kaum yang seterusnya boleh membawa kepada rasisme dan diskriminasi ke atas kaum-kaum tertentu.

Antaranya ialah kewujudan sekolah-sekolah vernakular yang dilihat telah membataskan interaksi dan mewujudkan jurang antara kaum di kalangan remaja. Selain itu, rasisme dalam sektor pekerjaan yang didominasi oleh kaum-kaum tertentu mengikut kawasan juga masih menjalar dalam kalangan masyarakat Malaysia. Perkara ini perlu ditilik kembali dan diberi solusi yang segera kerana Islam amat menekankan keadilan dan keamanan antara manusia.

Ini dibuktikan apabila tamadun Islam berjaya meruntuhkan perhambaan dan mengagungkan kaum tertentu sejak 1400 tahun yang lalu. Perbalahan di antara kaum Aus dan Khazraj selama puluhan tahun telah diselesaikan oleh Baginda Muhammad SAW dengan mempersaudarakan mereka sehingga menjadi pendokong utama dakwah Nabi SAW. Firman Allah SWT menegaskan bahawa adanya bangsa, kaum, bahasa dan pelbagai budaya serta warna itu sebahagian daripada ciptaannya dan ia menjadi tanda keagungan Allah SWT :

ومن آياته خلق السماوات والأرض واختلاف ألسنتكم وألوانكم إن في ذلك لأيات للعالمين (22)

“Dan diantara tanda–tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya adalah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan–keterangan bagi orang–orang yang berpengetahuan”. (Surah al-Rum: 22)

Islam merupakan cara hidup yang sempurna dan telah memberi solusi–solusi penting bagi permasalahan sistem kehidupan manusia. Sistem barat dilihat banyak memberi kacau bilau kerana bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah bahkan menimbulkan ketidak-puasan hati seluruh masyarakat dunia. Inilah akibat dari solusi yang cuba dicipta dengan akal tanpa berpandukan wahyu.

Antara solusi yang diketengahkan Islam bagi menghadapi kepelbagaian kaum dan mengelakkan diskriminasi atau rasis sesama kaum adalah dengan menghayati dan memahami tujuan diciptakan umat manusia yang pelbagai. Firman Allah SWT,

ياأيها الناس إنا خلقناكم من ذكر أو أنثى وجعلناكم شعوبا وقبائل لتعارفوا إن أكرمكم عند الله أتقاكم إن الله عليم خبير(13)

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak dan kaum, supaya kamu bertaaruf. Sesungguhnya semulai-mulia kamu di sisi Allah SWT ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya”. (Surah al-Hujuraat : 13)

Tujuannya adalah untuk kita saling berkenalan dan tolong-menolong serta saling melengkapi diantara satu sama lain. Tugas untuk mengurus bumi tidak dapat dipikul oleh sesetengah puak sahaja bahkan memerlukan kerjasama semua kerana setiap puak dan kaum memiliki kelebihan masing-masing. Kemahiran yang berbeza dalam kalangan mereka mengikut individu, keluarga, kaum dan bangsa serta hasil bumi yang pelbagai harus dikongsi sesama masyarakat bagi memajukan umat manusia seluruhnya tanpa ada yang ketinggalan.

Dalam masa yang sama, Islam tidak menghalang sesiapa sahaja untuk sayang dan kasihkan keluarga dalam kelompok yang kecil, sehinggalah berkeluarga besar, satu bangsa atau kaum bahkan wajib kita menyayangi dan bersilaturrahim. Tetapi jangan lupa bahawa seluruh manusia itu juga adalah keluarga besar di bawah kerajaan Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa ayat 1:

يا أيها الناس اتقوا ربكم الذي خاقكم من نفس واحدة …(1)

Berlaku kacau-bilau dan kelemahan dalam sistem manusia apabila kasihnya yang melampau dan menjadi fanatik sehingga memutuskan hubungan dalam kelompok mereka serta mewujudkan penyakit perkauman atau asabiyah yang juga lebih dikenali dengan rasisme dalam dunia barat. Penyakit ini telah menyebabkan manusia sanggup berlaku zalim sesama mereka dan saling bermusuhan sehingga berdekad lamanya.

Allah SWT meletakkan batas dalam kita menyayangi keluarga sendiri, janganlah sampai kita sanggup menzalimi kaum lain. Firman Allah SWT :

يا أيها الذين ءامنوا كونوا قوامين لله شهداء بالقسط ولا يجرمنكم شنئان قوم على ألا تعدلوا اعدلوا هو أقرب للتقوى واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون (8)

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah SWT, lagi menerangkan kebenaran. Dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil( kepada sesiapa pun) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Maaidah : 8)

Selain itu, Islam telah meletakkan beberapa prinsip dalam Fiqh al-Ta’ayush yang boleh kita aplikasikan bagi menjamin keharmonian sesama masyarakat . Antaranya ialah prinsip tolak ansur dan kemanusiaan dalam Islam serta pensyariatan berbuat baik kepada mereka yang tidak bermusuh. Dan semestinya Rasulullah SAW serta para sahabat telah menunjukkan contoh terbaik dalam mengaplikasikan kaedah dan prinsip fiqh al-Ta’ayush bersama masyarakat dalam banyak keadaan, zaman dan tempat.

Sebagai kesimpulannya, semua kaum atau bangsa perlu berlaku adil dalam setiap urusan agar tiada pihak yang berkecil hati, dipinggir serta dizalimi. Berkasih-sayang lah sesama kita dan jangan membenci disebabkan kekurangan yang dimiliki kaum lain. Semoga seluruh umat Islam dapat bersatu padu bagi membuktikan kepada dunia betapa indah dan hebatnya kesatuan yang ditunjukkan umat Islam serta menunjukkan kekuatan kita kepada dunia barat yang sering cuba melemahkan dan menghancurkan kita. Wallahua’lam.

 

Anis Nazirah binti Ismail
Kuliah Bahasa Arab, Universiti al-Azhar

 

Rujukan:

  1. Artikel “Diskriminasi Kaum : Bom Jangka Yang Bakal Meruntuhkan Tamadun Barat” oleh YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
  2. Mind Presiden “Antara Kaum dan Perkauman” oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
  3. Bayan Linnas siri ke-155 : Konsep Fiqh al-Ta’ayush ; Isu di Malaysia dan Penyelesaiannya.

Muat Turun PDF Risalah Penerangan Siri 4

DISKRIMINASI KAUM DAN SOLUSI ISLAM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *