PENJAGAAN KESIHATAN MATA

PENJAGAAN KESIHATAN MATA

(وَهُوَ ٱلَّذِیۤ أَنشَأَ لَكُمُ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡأَبۡصَـٰرَ وَٱلۡأَفۡـِٔدَةَۚ قَلِیلࣰا مَّا تَشۡكُرُونَ)
Maksudnya: “Dan Dia lah jua yang mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”.

(Surah al- Mukminun: ayat 78)

Mata merupakan salah satu anugerah kurniaan Allah ﷻ yang paling berharga yang perlu kita hargai dan syukuri. Justeru itu, penjagaan kesihatan mata merupakan salah satu aspek penting yang perlu dititikberatkan demi memastikan kita dapat menikmati mata dalam keadaan baik dan berpanjangan.

Antara tips-tips penjagaan mata adalah seperti berikut:

  • Menjaga Jarak Membaca

Kita disarankan untuk menjaga jarak mata daripada buku. Jarak yang disarankan ialah 30cm sehingga ke 40cm. Jarak yang terlalu dekat akan menyebabkan otot-otot mata menegang untuk memfokus. Hal ini boleh mengakibatkan sakit kepala.

  • Makanan Untuk Mata

Pemakanan yang betul memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan mata dan dapat mencegah daripada penyakit mata. Pastikan makanan seharian yang anda ambil sedikit sebanyak dapat memberi nutrisi penting bagi mengekalkan kesihatan mata. Amalkan makan makanan yang kaya dengan vitamin A & C – susu, sayur (terutama lobak dan brokoli) dan buah-buahan (terutama aprikot dan anggur) dan sebagainya.

  • Pengguna Komputer Atau Gadget

Penggunaan komputer dengan cara betul dapat menjamin kesihatan mata yang baik. Beberapa panduan disediakan bagi pengguna komputer iaitu:

  • Kedudukan skrin komputer

Pastikan kedudukan komputer sama paras dengan mata dalam keadaan horizontal dan 30 cm dari mata.

  • Pencahayaan yang bersesuaian

Keletihan pada mata akibat penggunaan gajet atau komputer berlaku apabila terdapat cahaya yang berlebihan dari sumber luar (matahari) dan lampu di dalam rumah atau pejabat. Pastikan pencahayaan di sekeliling komputer separuh lebih malap daripada cahaya lampu yang digunakan di rumah dan pejabat. Gunakan lampu pejabat atau bilik yang mempunyai intensiti yang bersesuaian.

  • Kurangkan silau

Keletihan mata akibat silau dari sumber cahaya boleh terjadi akibat pembalikan cahaya dari permukaan dinding, skrin gajet atau komputer dan sebagainya.

Elakkan penggunaan dinding bilik yang berwarna terang, seperti putih dan gunakan skrin komputer yang mempunyai penapis cahaya.

Bagi pemakai cermin mata, pastikan kanta anda mempunyai Anti-Reflection Coating (Multicoating) untuk meminimakan kesan silau pada mata sekaligus mengurangkan stres pada mata.

  • Kelipkan mata dengan kerap

Kekurangan kelipan mata akan menyebabkan air mata menyejat dan mengakibatkan mata tidak mempunyai lapisan perlindungan. Fenomena ini disebut mata kering (Dry Eye).

Jika perlu, gunakan artificial tears untuk membasahkan mata apabila terasa kering dan berpasir. Keadaan mata kering ini boleh menjadi semakin teruk apabila berada dalam bilik atau pejabat yang berhawa dingin.

  • Rehatkan pandangan

Setelah otot-otot penglihatan memfokus terlalu lama pada skrin komputer atau gajet, rehatkan otot-otot terbabit dengan cuba memandang objek jauh seketika setiap 20 minit. Ini dapat mengurangkan kesan stres pada bebola mata anda.

  • Pemeriksaan Mata Berkala

Dapatkan pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali setahun bagi memastikan tahap penglihatan dan kesihatan mata anda sentiasa berada dalam keadaan baik.

Dapatkan nasihat doktor dengan segera jika anda mempunyai masalah berikut:

  • Mata merah.
  • Kesakitan yang teruk pada mata.
  • Penglihatan kabur.
  • Benda asing di dalam mata.
  • Kecederaan pada mata.

Sebagai konklusi, mata merupakan salah satu amanah Allah ﷻ yang perlu kita jaga sebaiknya. Moga usaha kecil kita dalam menjaga amanah Allah ﷻ ini dikurniakan ganjaran pahala di akhirat kelak.

 

Disediakan oleh:
Ahmad Zaki Assyatiri bin Muhamad Shukri,
Kuliah Perubatan, Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Muat turun PDF Risalah Kesihatan siri ke-102

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *