RISALAH UBS S4 : MEDIA ELEKTRONIK – DUA SISI BERBEZA, APAKAH PILIHAN KITA?

MEDIA ELEKTRONIK: DUA SISI BERBEZA, APAKAH PILIHAN KITA?

Media elektronik merujuk kepada alat sebaran yang menggunakan teknologi elektronik untuk dicapai penggunaanya seperti internet, televisyen, radio, komputer dan sebagainya. Kajian yang telah dijalankan menunjukkan pengguna internet di seluruh dunia sudah mencapai 4.57 bilion pengguna yang menyamai 59% penduduk bumi. Nombor ini dipercayai akan bertambah sejajar dengan kemajuan jaringan selular kepada generasi ke-5 (5G).

Kini, kehidupan tanpa internet adalah amat mustahil kerana hampir seluruh dunia menggunakannya untuk perhubungan, mencari informasi, aktiviti perniagaan dan lain-lain. Antara kelebihan media elektronik yang paling ketara adalah transformasi dunia komunikasi. Sebagai contoh, jika 50 tahun dahulu seorang perantau sukar untuk menghubungi keluarganya yang berada di tanah air, generasi kini bahkan boleh menghubungi dan menatap wajah mereka melalui panggilan video.

Bagaimana pula media memainkan peranannya dalam membantu negara menangani kes COVID-19 yang menyerang dunia? Dalam hal ini, siaran langsung yang ditayangkan di kaca televisyen oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pertahanan Malaysia, kempen #dudukrumah yang giat dijalankan di pelbagai medium laman sosial, video-video pemberian bantuan dan lain-lain meyakinkan rakyat bahawa negara kita akan dapat menangani masalah ini bersama.

Oleh itu, seiring dengan pembawaan Unit Biah Solehah yang ke-3, terdapat banyak cara untuk kita memanfaatkan media elektronik. Antaranya:

1- Menambah ilmu dan pengetahuan

Kita amat beruntung kerana dapat mempelajari banyak perkara baru melalui satu klik sahaja. Bagi anak muda, terdapat banyak hobi dan kemahiran baru yang mereka boleh terokai melalui Internet. Siapa tahu, mungkin perkara ini boleh memberikan peluang pekerjaan kepada mereka pada masa hadapan.

2- Mewujudkan permainan ‘challenge’ berserta tanda pagar yang bermanfaat. Ciptalah cabaran yang bermanfaat seperti #cabarankongsiilmu, #quranhour, #cabaranzikr, #bedahbuku dan sebagainya. Hal ini juga digalakkan oleh Rasulullah s.a.w apabila baginda bersabda di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Abi Mas’ud al-Ansori:

 مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ

Maksudnya : “Barang sesiapa yang menunjukkan kebaikan, maka baginya (pahala) seperti pahala orang yang melakukannya.”

(HR MUSLIM 5007)

3- Menjana pendapatan tambahan.

Dunia perniagaan kini berkembang dengan amat pesat apabila Internet membolehkan penjual dan pembelinya berhubung antara satu sama lain walaupun terpisah antara dua benua. Pelbagai platform perniagaan terkenal seperti Amazon, eBay, Alibaba.com yang menyediakan tempat untuk peniaga-peniaga memasarkan produk mereka dan dapat diiklankan kepada pembeli di serata dunia. Bukan itu sahaja, kita juga boleh mempelajari selok-belok perniagaan dengan khidmat perunding dan kelas-kelas pemasaran yang tumbuh bak cendawan selepas hujan sekarang ini.

Namun begitu, media elektronik juga mempunyai sisi negatif jika diguna dengan cara yang salah. Tentu anda semua masih mengingati kejadian serangan pengganas yang berlaku di Masjid al-Noor, Christchurch, New Zealand. Pada 9 Mac 2019, penembak itu bertindak mempamerkan aksi kejamnya secara langsung di laman Facebook dan rakaman itu tersebar dengan pantas. Walaupun dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa pembebasan bersyarat, kesan perbuatannya akan dapat dilihat sampai selama-lamanya.

Lebih malang lagi, pihak yang tidak bertanggungjawab juga boleh menyebarkan pelbagai berita palsu dan menyebarkannya untuk menimbulkan kekacauan kepada warganet. Orang ramai juga tanpa sedar suka mendedahkan tentang kehidupan mereka tanpa menyedari bahaya yang mendatang. Di sinilah kita perlu menjadi ‘ejen kebaikan’ untuk menghalang kemungkaran dari terus tersebar.

Akhir sekali, media elektronik boleh dikatakan sebagai senjata baru alaf ini apabila terbukti boleh memberikan impak yang besar dalam kehidupan manusia. Kita semua mempunyai pilihan sama ada ingin menggunakannya untuk membawa manfaat kepada diri dan masyarakat atau menyebarkan mudarat. Semoga Allah S.W.T melindungi kita dari sikap ini. Jelaslah dari penerangan di atas bahawa media mempunyai dua sisi berbeza, jadi pilihan berada ditangan anda?

“Biah Solehah Dijaga, Ummah Terbina”

 

Disediakan oleh :
Nik Nur Humaira’ Nik Yusri,
Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar, Mesir.

Muat turun PDF Risalah UBS S04 (Media Elektronik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *