Month: February 2021

Muktamar Sanawi KPKM Kali Ke-25: “Menyatukan Hati Mengukuhkan Kesatuan”

KAHERAH, 8 Februari 2020 – Telah berlangsung Muktamar Sanawi Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan  Mesir Kali Ke-25 bertempat di Wisma Sultan Muhammad Ke-V. Muktamar Sanawi pada kali ini bertemakan “Menyatukan Hati Mengukuhkan Kesatuan”. Muktamar Sanawi berlangsung selama sehari bermula jam 7.30 pagi pendaftaran sehingga 10.00  malam, dengan penjagaan SOP sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib.

Antara objektif yang telah digariskan adalah mengumpulkan ahli seluruh Mesir untuk berbincang bagi kebaikan KPKM pada masa akan datang. Kedua, melahirkan ahli yang proaktif dan kritis dalam menyuarakan pendapat dan komentar. Ketiga, menyedarkan pimpinan dan ahli akan tanggungjawab serta tugas yang terpundak di bahu masing-masing. Keempat, mendidik pimpinan dan ahli melalui kefahaman medan muktamar sebagai salah satu medan tarbiah. Kelima, mengeratkan ukhuwah dan menyatukan fikrah ahli dan pimpinan dalam menjayakan pembawaan yang bakal dibawa oleh pimpinan. Dan yang terakhir, memberi pengalaman berorganisasi kepada ahli dan pimpinan bagi melahirkan generasi kepimpinan yang berkredibiliti.

Muktamar Sanawi pada kali ini dirasmikan oleh Ustaz Khairul Anuar bin Ismail, Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah. Seterusnya, majlis disambung dengan sesi kedua iaitu pada jam 9.15 pagi sehingga 12.30 tengahari. Majlis dimulakan dengan sesi Pembentangan Ucapan Dasar Yang Dipertua Oleh Ustaz Saiyyidi Muizuddin bin Mohamad Sabri, Yang Dipertua KPKM 2019/2020. Setelah selesai pembentangan Ucapan Dasar YDP, majlis beralih kepada perlantikan Setiausaha Sidang MS kali ke-25 bagi kedua-dua belah pihak ikhwah dan akhawat. Seterusnya, agenda diteruskan lagi dengan slot Perbahasan Ucapan Yang Dipertua daripada muktamirin dan muktamirat yang mengemukakan hujah dan sokongan terhadap ucapan.

Sesi ketiga bermula pada jam 1.30 tengahari dan majlis diteruskan lagi dengan Pembentangan Laporan Aktiviti Tahunan yang dibentangkan oleh Ustaz Muhammad Nazhif bin Mohd Razif, Setiausaha Agung Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2019/2020 setelah Peringatan MS Kali Ke-24 diluluskan. Selepas itu, majlis diteruskan lagi dengan sesi soal jawab antara ahli dan pimpinan. Pembentangan dimulakan dengan Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Sukan dan berakhir dengan laporan Yang Dipertua.

Sesi keempat bermula pada jam 5.00 petang, dan majlis diteruskan lagi dengan Pembentangan Laporan Kewangan oleh Ustaz Muhammad Adam bin Mohd Rasul, Bendahari Agung KPKM 2019/2020. Pembentangan ini juga diteruskan dengan sesi soal jawab antara ahli dan pimpinan.

Sekitar jam 7.00 malam, majlis diteruskan dengan sesi Pembentangan Usul Yang Diterima, oleh Ustaz Muhammad Irham Hilmi bin Md Hashim dengan usul yang berbunyi “Menjadikan KPKM Sebagai Medan Dalam Melaksanakan Gerak Kerja Islam Secara Keseluruhan Serta Rujukan Bagi Mahasiswa Kelantan Di Mesir”. Seterusnya, pengerusi tetap memberi ruang kepada muktamirin dan muktamirat untuk membahaskan usul ini supaya para ahli yang hadir dapat memahami item yang ingin dibawa bersama pada sesi hadapan.

Kemudian, majlis disambung  dengan pemilihan Pengerusi Tetap MS Kali Ke-26 dan Juru Audit KPKM sesi 2020/2021. Setelah dicadang dan disokong. Maka, terlantiklah dua orang pengerusi tetap dan dua orang juru audit serta seorang juru audit simpanan KPKM 2020/2021. Selepas itu, majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah. Anugerah Musyrif terbaik dan Anugerah Emas KPKM  turut disediakan cenderahati sebagai tanda penghargaan daripada KPKM kepada saf kepimpinan KPKM sesi 2019/2020. Seterusnya, ucapan terakhir daripada Ketua Hewi Ustazah Amirah binti Zulkifli mewakili AJKH bagi sesi 2019/2020 dan diakhiri dengan ucapan Ustaz Sayyidi Muizuddin bin Mohd Sabri, Yang Dipertua KPKM 2019/2020.

Akhirnya, majlis diserahkan kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir bagi mengumumkan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir 2020/2021 dan sesi taaruf. Setelah selesai taaruf Ahli Jawatankuasa Tertinggi, majlis diakhiri dengan ucapan penangguhan Yang Dipertua KPKM 2020/2021 dan bacaan doa.

 

Disediakan oleh:

Fathienah binti Mohd Suhaimi
Setiausaha III, Muktamar Sanawi KPKM Kali Ke-25,
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2019/2020