Month: April 2021

RAMADAN BULAN PERJUANGAN

RAMADAN BULAN PERJUANGAN

Ramadan bulan perjuangan, mengajar erti pengorbanan, kesabaran dan kesungguhan. Bersinonimkan nama Ramadan itu sendiri yang berasal daripada kalimah “الرمض” memberi maksud panas terik. Isyarat kepada jalanan bulan Ramadan memerlukan segunung erti keazaman. Namun, cabaran di bulan Ramadan tidaklah menjadi seguni alasan agar tidak berjuang. Bahkan, ianya menjadi pencetus agar terus mara ke medan pertarungan.

Perjuangan Golongan Terdahulu:

Bumi telah menjadi saksi akan perjuangan mereka yang terdahulu bermandi darah melawan musuh di bawah mentari Ramadan. Perang Badar menjadi pembuka pentas perjuangan umat Islam dalam bulan Ramadan. Antara lainnya, Perang Tabuk, penaklukan Andalus oleh Tariq bin Ziyad dan Perang Ain Jalut melawan tentera Mongol. Di samping, tersungkurnya Israel di Garis Bar Lev dan semasa Perang Yom Kippur turut berlaku pada bulan yang mulia ini iaitu pada 10 Ramadan.

Sejarah perjuangan golongan terdahulu bukanlah sekadar nostalgia yang terpahat dalam lipatan sejarah. Ianya menjadi pedoman sebagai penerang buat umat mendatang. Allah SWT menjelaskan dalam surah Hud mengenai kepentingan sejarah itu sendiri:

 

وَكُلًّا نَّقُصُّ عَلَيْكَ مِنْ اَنْۢبَاۤءِ الرُّسُلِ مَا نُثَبِّتُ بِهٖ فُؤَادَكَ وَجَاۤءَكَ فِيْ هٰذِهِ الْحَقُّ وَمَوْعِظَةٌ وَّذِكْرٰى لِلْمُؤْمِنِيْنَ

Maksudnya: “Dan tiap-tiap berita daripada berita para rasul itu, kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.”

(Surah Hud: Ayat 120)

 

Perjuangan Umat Kini:

Landskap kehidupan yang pelbagai mempengaruhi suasana dan bentuk cabaran umat. Jika umat terdahulu sering melawan musuh yang tersingkap, umat kini sering melawan musuh yang tersirat. Realitinya, umat kini kian diuji dengan serangan nafsu yang menerjah tuannya. Islam mengajar umatnya untuk mendidik dan membimbing nafsu.

Ramadan menjadi medan perjuangan dalam mendepani hawa nafsu. Menahan diri daripada lapar dan dahaga dapat menundukkan nafsu. Yahya bin Muaz pernah berpesan: “Berjihadlah melawan nafsu dengan riadah (latihan rohani)”. Antara latihan khusus yang digariskan oleh Syeikh Fathi Yakan dalam buku Bahtera Penyelamat:

  1. Sedikit makan.
  2. Sedikit tidur.
  3. Bercakap sekadar perlu.
  4. Sabar menanggung gangguan orang lain.

Kehadiran bulan Ramadan secara langsung mendidik jiwa agar tidak terleka. Menjernihkan hati agar tidak mati. Perjuangan melawan nafsu merupakan perjuangan yang panjang. Bermula zaman terdahulu sehinggalah zaman kini. Ianya perlu dilingkari dengan benteng iman dan takwa agar natijahnya syurga yang dicita. Allah SWT berfirman:

وَأَمَّا مَنۡ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِۦ وَنَهَى ٱلنَّفۡسَ عَنِ ٱلۡهَوَىٰ ۝  فَإِنَّ ٱلۡجَنَّةَ هِیَ ٱلۡمَأۡوَىٰ

Maksudnya: “Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya daripada menurut hawa nafsu ۝ Maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya.”

(Surah al-Nazi’at: Ayat 40 & 41)

 

Kesimpulan:

Fikir itu pelita hati’, bak kata pepatah Melayu. Mereka yang mengkoreksi idea agar dapat memaksimakan ibadah di bulan Ramadan sebagaimana perjuangan mereka yang terdahulu itulah sebuah keberuntungan. Umat Islam digesa untuk menggembleng tenaga agar dapat mengecap kemanisan Ramadan. Telah bersyair golongan salaf dalam menggambarkan keberkatan dan keutamaan bulan Ramadan sebagaimana dinyatakan dalam kitab Lataif al-Ma’arif:

 

جَاءَ شَهرُ الصِّيَامِ بِالبَرَكَاتِ * فَأَكْرمْ بِهِ من زَائِرٍ هُوَ آتِ

Maksudnya:

Maka bulan puasa yang penuh berkat telah pun datang,

Alangkah mulianya tetamu ini yang bertandang.

 

Tuntasnya, kemuliaan bulan Ramadan yang sinonim dengan perjuangan mengajar kita agar tidak leka daripada intaian musuh nyata mahupun tersembunyi. Mendidik kita agar sentiasa siap-siaga. Membina diri dalam menempuh arus semasa.

 

Ku Abdul Muhaimin bin Ku Mat
Kuliah Usuluddin Tafsir,
Universiti al-Azhar al-Syarif, Kaherah.

Muat turun PDF  Risalah Fajar Jumaat Siri 473 – Ramadan Bulan Perjuangan