IHYA TARBAWI RAMADAN 2021 (IHTIRAM ’21)

KAHERAH – IHYA TARBAWI RAMADAN 2021 (IHTIRAM ’21) anjuran Lajnah Dakwah dan Tarbiah, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2020/2021 bertemakan “Memburu al-Rayyan, Mengecapi Ketakwaan” yang diadakan di Wisma Sultan Muhammad V, Wisma Tengku Mahkota Kelantan dan kediaman ahli masing-masing.

Program IHTIRAM ’21 pada kali ini bermula pada 1 Ramadan sehingga 30 Ramadan 1442 Hijrah bersamaan 13 April sehingga 12 Mei 2021 Masihi. Walau bagaimanapun, IHTIRAM ’21 pada kali ini dijalankan agak sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan ujian wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia membataskan pelaksanaan aktiviti berbentuk perkumpulan.

Objektif utama program IHTIRAM ’21 dianjurkan adalah bagi menghidupkan bulan Ramadan dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat, 
memberi kefahaman sebenar berkaitan konsep ibadah, melahirkan modal insan yang kuat dari segenap sudut dan mengukuhkan ukhuwah
islamiah dalam kalangan ahli serta menjayakan usul dan pembawaan KPKM dalam setiap aktiviti dan program.

Alhamdulillah dengan izin Allah SWT, IHTIRAM ’21 pada kali ini telah berjaya merancang, menyusun dan melaksanakan pelbagai aktiviti-aktiviti yang sesuai bagi semua mahasiswa dan mahasiswi di bulan Ramadan mengikut norma baharu.

Tirai program Ihya Tarbawi Ramadan 2021 (IHTIRAM ’21) dibuka dengan majlis perasmian program yang disempurnakan oleh al-Fadhil Ustaz Muhammad Talhah bin Sharif, Pengerusi Anggota Lembaga Penasihat KPKM 2020/2021 pada 11 April 2021 Masihi bersamaan 29 Syaaban 1442 Hijrah yang diadakan secara langsung di laman rasmi Facebook Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir.

Antara aktiviti-aktiviti harian IHTIRAM ’21 yang dapat dilaksanakan pada kali ini ialah solat sunat tarawih berjemaah dengan penjarakan
sosial, tazkirah tarawih mengikut jadual yang ditetapkan, tazkirah subuh, bacaan hadis Ramadan, tadarus al-Quran yang bertempat di
kedua-dua wisma dan kediaman ahli masing-masing serta penyebaran ilmiah Maw’izah Ramadan melalui whatsApp.

Selain itu, IHTIRAM ’21 juga telah berjaya melaksanakan beberapa aktiviti mingguan seperti kuiz Ramadan, tukaran juadah berbuka,
juadah moreh ahli selepas tadarus al-Quran bagi penghuni wisma dan Iftar Ziarah (IFRAH) yang mempunyai kelainan berbanding
Ramadan sebelumnya iaitu penghuni wisma saling menziarahi sesama ahli wisma sahaja begitu juga dengan penghuni rumah sewa.

Di samping itu, pihak program juga mengambil kesempatan untuk menjemput imam dari Shoubra bagi mengimami solat sunat tarawih pada setiap hari Khamis dengan bacaan qiraat serta dimeriahkan lagi dengan aktiviti qiamullail secara berjemaah bagi kedua-dua wisma pada setiap
pagi Jumaat dan sepanjang 10 malam terakhir Ramadan.

Pihak program mengambil manfaat melalui media massa dengan mengadakan pengisian-pengisian berbentuk wallpaper dan menyarankan kepada semua ahli untuk menonton siaran langsung ceramah Nuzul Quran yang disampaikan sewaktu kuliah subuh pada hari Jumaat dan juga ceramah Badar Kubra yang disampaikan oleh aktivitis-aktivis Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) di laman sosial Facebook bagi menggantikan pengisian yang tidak dapat dijalankan.

Seterusnya, IHTIRAM ’21 juga sempat melaksanakan aktiviti bulanan seperti menyediakan jamuan sahur kepada ahli-ahli yang tinggal di wisma
dan diagihkan kepada syaqah kediaman masing-masing. Turut diadakan juga majlis khatam al-Quran sebagai aktiviti terakhir IHTIRAM ’21  yang
berlangsung pada 11 Mei 2021 bermula jam 9.15 malam di surau wisma dan kediaman masing-masing bersama ahli KPKM. Majlis dimeriahkan lagi dengan pembahagian hadiah kepada pemenang pentadarus terbaik dan juga pemenang Quizizz bagi setiap siri.

Pada kali ini, Ihya Tarbawi Ramadan (IHTIRAM ’21) melabuhkan tirai pada 12 Mei bersamaan dengan 30 Ramadan 1442 Hijrah tanpa mengadakan majlis penutup secara rasmi. Namun, diganti dengan penyiaran video penutup khas IHTIRAM ‘21.

Mudah-mudahan objektif utama program yang dianjurkan iaitu untuk menghidupkan bulan Ramadan serta memberi kefahaman yang sebenar
berkaitan konsep ibadat dapat dicapai melalui aktiviti-aktiviti yang disusun. Semoga melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti IHTIRAM ’21 pada kali inidapat mengukuhkan lagi ukhuwah antara ahli KPKM dan merealisasikan pembawaan dan usul KPKM.

Disediakan oleh:
Ainun Adlin binti Mohd Roslan,
Timbalan Setiausaha Ihya Tarbawi Ramadan 2021 (IHTIRAM ’21),
Lajnah Dakwah dan Tarbiah,
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2020/2021.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *