ADAB DAN BATAS PERGAULAN DALAM ISLAM

ADAB DAN BATAS PERGAULAN DALAM ISLAM

 {یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرࣲ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبا وَقَبَاۤئلَ لِتَعَارَفُوۤا۟ۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَُاكمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِیمٌ خَبِیر}

Berdasarkan ayat 13 Surah al-Hujurat, Allah S.W.T telah menciptakan manusia lelaki dan perempuan, berbangsa-bangsa untuk saling berkenalan dan bermuamalah diantara mereka. Namun, Allah S.W.T juga telah menciptakan syariat untuk mereka. Melihat kepada hukum syariat yang ditetapkan, sudah tentu disana ada sesetengah hukum dan peraturan yang berbeza antara lelaki dan perempuan. Ada juga yang sama. Maka, dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing, kadangkala berlaku percampuran atau pergaulan di antara lelaki dan perempuan.

Melihat kepada realiti masyarakat pada hari ini yang tentunya banyak memerlukan kepada pergaulan antara lelaki dan perempuan, maka penulisan ini cuba untuk membincangkan sejauh mana batas-batas pergaulan yang dilarang dan dibolehkan dalam syariat Islam.

PENGERTIAN PERGAULAN

Secara ringkas, pergaulan dalam bahasa arab disebutkan “ikhtilat” berasal daripada kalimah “ikhtilatha-yakhtalithu-ikhtilthan”, yang bererti bercampur.

Maksud pergaulan (ikhtilat) dalam perbincangan ini ialah bergaul dan bercampur diantara lelaki dan perempuan ajnabi (yang sah kahwin) di satu tempat yang berlaku interaksi, pandang-memandang dan perbualan antara satu sama lain. Ianya mungkin berlaku antara tiga orang atau lebih, berbeza dengan khalwat yang mana hanya berlaku antara dua orang sahaja (lelaki dan perempuan).

HUKUM ASAL PERGAULAN DIANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN

Hukum asal pergaulan diantara lelaki dan perempuan ajnabi adalah haram. Pengharamannya diasaskan kepada hukum lain yang pada asalnya dikhususkan kepada golongan wanita, dimana di dalam hukum tersebut terdapat unsur-unsur pergaulan antara perempuan dan lelaki ajnabi. Antara hukum yang dimaksudkan disini ialah, larangan berkhalwat dan musafir tanpa mahram, larangan solat berjemaah di masjid bagi seorang wanita, hukum jihad bagi wanita dan hukum solat jumaat bagi wanita. Maka, hukum-hukum ini diistinbatkan jelas melalui hadis Nabi SAW yang menjadi asas kepada pengharaman kepada pergaulan antara lelaki dan wanita.

BATAS-BATAS PERGAULAN ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN.

Perbincangan diatas telah menjelaskan kepada kita bahawa hukum asal pergaulan di antara lelaki dan perempuan adalah haram. Namun, disana ada keadaan dan situasi tertentu yang boleh mengubah hukum tersebut kepada harus. Keadaan tersebut ialah darurat, hajat (keperluan) dan maslahat syarie.

  1. Pergaulan Antara Lelaki Dan Perempuan Kerana Darurat.

Dalam syarah Sahih Muslim, aI-Imam al-Nawawi menyatakan tidak ada perbezaan hukum berkhalwat antara perempuan dan lelaki ajnabi di dalam dan luar solat, kecuali dalam keadaan darurat. Sebagai contoh, situasi dimana seorang perempuan bersendirian dalam satu perjalanan yang mungkin mendedahkannya kepada bahaya. Keadaan ini membolehkan seorang lelaki ajnabi bersama dengannya sekadar untuk membantu dan melindunginya daripada bahaya. Penjelasan al-Nawawi menyakinkan bahawa pergaulan perempuan dan lelaki ajnabi yang dikategorikan sebagai darurat atau tujuan memberikan perlindungan atau menyelamatkan perempuan terbabit daripada bahaya adalah diharuskan dengan syarat tidak ada tujuan-tujuan lain. Hukum ini adalah satu pengecualian dari hukumnya yang asal, iaitu haram.

  1. Pergaulan Antara Lelaki Dan Perempuan Kerana Keperluan.

Pergaulan antara perempuan dan lelaki ajnabi kerana hajat (keperluan) syar’ie adalah dibolehkan.

Antara keperluan-keperluan syar’ie ialah:

  1. Pergaulan antara lelaki dan perempuan untuk mengurus muamalah ­­maliyah (urusan harta) seperti jual beli dan aktiviti transaksi lain.

Pergaulan di antara lelaki perempuan untuk tujuan-tujuan seperti jual beli dan aktiviti transaksi lain dibolehkan kerana tabiat urusan jenis ini memerlukan berlaku interaksi di antara dua pihak sebelum berlaku akad. Pergaulan semasa muamalah maliyah dibolehkan dengan syarat menjaga batas-batas syarak seperti pakaian yang menutup aurat, menundukkan pandangan dan percakapan biasa.

  1. Pergaulan di antara lelaki perempuan semasa bekerja.

Semasa melaksanakan kerja, pada kebiasaannya berlaku pergaulan di antara lelaki perempuan. Pergaulan ini dibolehkan dengan syarat kedua-dua pihak menjaga batas-batas syarak seperti berpakaian menutup aurat, menundukkan pandangan, percakapan biasa yang tidak mengandungi unsur-unsur fitnah dan tidak berkhalwat. Semasa pemerintahan Khalifah ‘Umar al-Khattab, beliau pernah melantik al-Syafi, seorang perempuan sebagai pegawai penguatkuasa dipasar untuk memerhati supaya tidak berlaku penyelewengan. Tabiat penguatkuasaan di pasar menuntut pegawai terbabit bergaul dengan peniaga dan pembeli di pasar, samada lelaki atau perempuan. Perlantikan perempuan bekerja sebagai penguatkuasa menunjukkan pergaulan semasa kerja dibolehkan. Kalau pergaulan ini tidak dibolehkan pasti khalifah Umar tidak melantik perempuan bekerja sebagai penguatkuasa kerana tabiat kerja tersebut menuntut berlakunya pergaulan.

KESIMPULAN

Tegasnya, pergaulan di antara lelaki dan perempuan adalah dilarang. Namun dalam keadaan dan batas-batas tertentu seperti darurah, kemaslahatan dan keperluan dibolehkan dengan syarat yang terbabit mestilah menjaga batas-batas syarak, iaitu berpakaian menutup aurat, merendahkan pandangan dan bercakap dalam keadaan biasa dan normal yang tidak mempunyai unsur fitnah.

Muhammad Irham Hilmi Bin Md Hashim.
Syariah Islamiah,
Universiti al-Azhar, Kaherah.

Muat turun PDF Risalah Multimedia Siri-475 – Adab dan Batas dalam Pergaulan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *