MENGENAL ERTI KETAKWAAN

MENGENAL ERTI KETAKWAAN

 Takwa secara mudahnya ialah melakukan apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Bahkan, ketakwaan merupakan ‘tiket utama’ untuk manusia masuk ke dalam syurga dengan izin dan rahmat Allah SWT.

Takwa merupakan perkataan yang diambil daripada bahasa Arab iaitu ’تقوى’ yang bermaksud memelihara, menjaga atau melindungi. Dari segi istilah pula takwa membawa maksud seseorang muslim itu memelihara dirinya daripada kemarahan dan kemurkaan Allah SWT dengan cara mengikuti segala perintah-Nya, mentaati Allah serta menjauhi dari segala larangan-Nya.

Syeikh Abdul Azizi bin Baz berkata: “Maksud bertakwa kepada Allah SWT ialah beribadah selari dengan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya kerana takut kepada-Nya.”

Adapun definisi takwa di dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, ia membawa maksud ketaatan kepada perintah dan larangan Allah (kerana takut, kasih dan hormat kepada Allah SWT). Di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW banyak menyebut mengenai takwa. Terdapat 242 ayat di dalam al-Quran yang menyebut mengenai takwa. Antaranya:

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 13:

قال الله تعالى: إن أكرمكم عند الله أتقىكم

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu.”

Selain itu, dalam kitab hadis Riyadhus Solihin, ada disebut:

Daripada Abu Umamah iaitu Shuday bin ‘Ajlan al-Bahili RA katanya: “Saya mendengar Rasulullah SAW berkhutbah dalam haji wada’ iaitu haji terakhir baginda SAW, kemudian Baginda Nabi SAW bersabda:

“Bertaqwalah kepada Allah SWT, kerjakanlah solat lima waktumu, lakukanlah puasa dalam bulanmu (Ramadan), tunaikanlah zakat harta-hartamu dan taatilah pemegang-pemegang pemerintahanmu, maka engkau semua akan dapat memasuki syurga Tuhanmu.”
(Hadis Riwayat Imam Tirmizi)

     Takwa ialah wasiat Allah SWT kepada seluruh umat manusia sama ada orang-orang terdahulu, waktu kini dan juga generasi akan datang. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan kepunyaan Allah-lah apa yang di langit dan yang di bumi dan sungguh Kami telah memerintahkan kepada orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan (juga) kepada kamu; bertakwalah kepada Allah..”
(Surah An-Nisa’: Ayat 131)

     Hikmah iman yang disaluti dengan ketakwaan akan menjadi benteng penghalang kepada kita daripada azab seksa Allah SWT dan balasan api neraka. Orang yang bertakwa akan merasakan bahawa Allah sentiasa memandang segala tindak-tanduknya dalam melakukan sebarang pekerjaan. Ketakwaan juga akan mewujudkan keikhlasan dalam setiap amalan atas dorongan rasa takut dan kasih kepada Allah SWT.

Ketakwaan bukan sahaja bekal yang menjamin keamanan dan kebahagiaan di akhirat kelak, malahan ketakwaan juga menjadi modal utama kepada kebaikan hidup di dunia. Allah SWT telah menjanjikan kepada orang-orang yang bertakwa dengan sebaik-baik rahmat dan pengurniaan dalam menjalani kehidupan di dunia.

Ayat-ayat al-Quran telah merakamkan janji-janji Allah kepada hamba-Nya yang bertakwa di dunia dan di akhirat. Antara ganjaran di dunia kepada orang-orang yang bertakwa ialah:

  1. Sentiasa mendapat solusi dan penyelesaian terbaik dalam menghadapi masalah atau persoalan yang menguji kehidupan.

“Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyulitkannya).”
[Surah at-Talaq: ayat 2]

  1. Orang yang bertakwa kepada Allah akan menikmati kelapangan rezeki. Bahkan, Dia mengurniakan rezeki dari jalan-jalan yang tidak terduga oleh hamba-Nya, inilah buah yang terhasil dari akar ketakwaan yang terpasak dalam hati orang beriman.

“..Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).”
[Surah at-Talaq: ayat 3]

  1. Allah SWT juga memberi jaminan akan diterima amalan mereka yang bertakwa. Dalam Surah al-Maidah ayat 27 merekodkan peristiwa binatang yang dikorbankan oleh Habil dan Qabil yang dinilai oleh Allah SWT berdasarkan ketakwaan mereka.

Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.”

  1. Akhir sekali, orang bertakwa selalu diberi petunjuk oleh Allah SWT dan akan dihapuskan serta diampuni dosa-dosa mereka.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah SWT, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapus kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah SWT (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.”
[Surah al-Anfal: Ayat 29]

Allah menjamin pelbagai kebaikan kepada orang-orang bertakwa sama ada ketika di dunia mahupun di akhirat. Allah tidak akan mengingkari janji-janji-Nya. Semoga kita semua terus berusaha menempatkan diri kita dalam kalangan orang yang bertakwa dan berdoalah kepada-Nya agar kita mendapat petunjuk serta pertolongan daripada Allah SWT dalam menuju jalan-jalan ketakwaan. Wallahu’alam.

Ainun Hanisah binti Remli
Kuliah Syariah Islamiah, Universiti al-Azhar, Kaherah.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat Siri 476 – Mengenal Erti Ketakwaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *