Month: August 2021

PATRIOTISME DALAM ISLAM

PATRIOTISME DALAM ISLAM

CINTA TERHADAP TANAH AIR MENGIKUT GARIS PANDUAN ISLAM

Islam amat menggalakkan umatnya untuk menzahirkan cinta terhadap tanah air. Bahkan al-Quran juga ada menyebut beberapa ayat yang berkaitan dengan kenegaraan seperti kewajipan patuh kepada pimpinan, syura dan hukuman terhadap pesalah.

Namun begitu, perlu kita perhalusi cinta ini agar tidak disalah faham dan bertentangan dengan syariat. Cinta yang sebetulnya akan menjadikan kita sayang terhadap negara dan rela berkorban demi menegakkan Islam dalam negara. Namun, apabila kita terlalu sayangkan negara kita sehingga memandang rendah kepada negara lain dan menganggap negara  kita sahaja yang perlu diangkat, ini adalah fahaman nasionalisme.

APAKAH KEPENTINGAN CINTA TERHADAP TANAH AIR?

Agama Islam tidak terlepas dari mengajak umatnya untuk menanamkan rasa cinta kepada negara. Ini juga menjadi bukti bahawa agama ini merupakan agama yang sempurna kerana merangkumi semua aspek kehidupan manusia dari sekecil-kecil perkara seperti membaca doa makan sehingga perintah menjaga kedaulatan negara. Buktinya juga, kita boleh melihat adanya pembahagian khusus dalam ilmu fiqh kontemporari yang membicarakan tentang negara seperti fiqh siyasi (politik) dengan pelbagai perbahasan di dalamnya yang diajarkan oleh Islam.

Penting juga untuk mempunyai cinta terhadap tanah air kerana perkara tersebut akan melahirkan rakyat yang berjiwa besar. Suka untuk saya menukilkan kisah daripada al-Quran dalam surah al-Taubah ayat 92.

Ketika itu Rasulullah SAW meminta pasukan untuk menyertai perang bersama Baginda. Datanglah sekelompok sahabat yang ingin turut serta namun kerana ada keuzuran, mereka tidak dapat turut serta dalam peperangan tersebut. Al-Quran menyebutkan bahawa mereka berpaling pergi dengan air mata yang jatuh bercucuran di pipi kerana tidak dapat bersama mempertahankan agama dan tanah airnya. Lihatlah, cinta terhadap tanah air mampu menjatuhkan air mata seorang yang berjiwa patriotik.

BAGAIMANA CARA MEMUPUK PATRIOTISME?

Terdapat banyak cara untuk memupuk rasa patriotisme dalam diri kita. Sebagai seorang Islam, wajarlah kita menjadikan Rasulullah SAW sebagai qudwah. Umum mengetahui bahawa Rasulullah SAW menerima perintah hijrah dari tanah airnya Mekah, ke Madinah untuk kepentingan agama yang lebih besar. Hal ini kerana keadaan semasa tanah airnya menghalang Islam disebarkan dengan luas kerana mereka menghadapi tentangan yang amat dahsyat.

Namun dengan takdir Allah SWT, Rasulullah SAW telah berjaya membuka semula Mekah dalam peristiwa bersejarah Fathu Mekah dan berusaha membersihkan tanah kelahirannya itu daripada semua kotoran syirik dan kufur. Perkara yang perlu digariskan di sini ialah kita perlu berusaha menghilangkan kejahilan di tempat kita dalam usaha memupuk patriotisme.

Kita juga boleh membaca dan mengkaji sejarah tanah air berkenaan peristiwa-peristiwa yang berlaku dan para tokoh yang terlibat. Kisah Tok Janggut yang dihukum bunuh oleh British dan diarak mengelilingi Kota Bharu perlu diinsafi dan boleh menimbulkan rasa syukur dalam diri kita kerana kita tidak perlu melalui zaman-zaman getir sebelum merdeka.

KESAN HILANGNYA PATRIOTISME DALAM KALANGAN MASYARAKAT

Kini, sudah hampir tujuh dekad negara kita melakar takdir sendiri. Setiap kali menjelang 31 Ogos, pasti sejarah tanah air kita diulang-tayang di televisyen dan melalui penceritaan nenek kepada cucunya demi menyemaikan rasa cinta generasi baharu kepada negara Malaysia.

Namun, kita perlu mengakui bahawa semakin jauh generasi ini dengan tarikh kemerdekaan, semakin pudar kesedaran mereka untuk menyayangi tanah air.

Seseorang yang tidak mempunyai sikap patriotik dalam dirinya akan menjadi seorang yang egois. Golongan ini hanya mementingkan kepentingan dan keselesaan diri sendiri daripada kepentingan negara. Contohnya, orang begini akan bermudah-mudah dalam membuang sampah merata-rata dan melanggar undang-undang yang ditetapkan kerajaan asalkan hajatnya tercapai. Walhal, sikap yang dilihat kecil ini akan memberikan kesan buruk kepada masyarakat dan seterusnya kepada kemakmuran negara.

Selain itu, kurangnya rasa patriotik dalam diri akan menyebabkan seseorang lebih berbangga dengan budaya asing dan tidak ingin mengangkat martabat negaranya. Apabila negara asing yang lebih maju dilihat hebat, maka mereka akan berusaha mengikut semua budaya, adat dan bahasa negara tersebut untuk kelihatan gah juga. Perkara ini juga menyebabkan kelemahan penggunaan bahasa ibunda dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri.

Sebagai penutup, Islam sangat berkait rapat dengan sikap patriotik. Islam yang benar bersikap wasatiy iaitu pertengahan. Kita sebagai umat Islam khususnya, perlulah membezakan cinta yang benar kepada negara mengikut garis yang ditetapkan oleh agama agar tidak berlaku zalim kepada manusia lain. Bukankah kita semua digalakkan hidup dengan aman damai walaupun berbeza warna kulit dan I’tikad?

(یَـأَیُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرࣲ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوباً وَقَبَاۤىِٕلَ لِتَعَارَفُوۤا۟ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِیمٌ خَبِیرٌ)

[Surah al-Hujurat: 13]

Maksudnya: “Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti.”

Nik Nur Humaira’ binti Nik Yusri
Kuliah Usuluddin
Universiti al-Azhar, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Penerangan Siri-5: Patriotisme Dalam Islam

فوائد القراءة في حياتنا

فوائد القراءة في حياتنا

نحن نعلم أنّ أول ما أوحى به الله لسيدنا محمد صلى الله عليه وسلم في الآية الكريمة (اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ* خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ* اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ) (العلق، آية:1-3)، هو القراءة. قد كشفت الدراسات العلمية المختلفة أن القراءة تؤثر على صحة الدماغ، ومن شأنها أن تقلّل من خطر الإصابة بالزهايمر والخرف مع التقدم بالعمر.

حيث تساعد القراءة في تنشيط الدماغ والحفاظ على عمله وانخراطه في الكثير من العمليات، مما يمنع فقدانه للطاقة وإصابته بالكسل. فالدماغ يعمل كأي عضلة في جسم الإنسان، أي أنه يحتاج للتمرين للحفاظ على صحته وسلامته، بالتالي من المهم تنشيطه لتجنب الإصابة بالأمراض المختلفة مثل الزهايمر.

ومن خلال حياتنا اليومية، يتعرض الإنسان إلى الكثير من التوتر، سواء بسبب العمل أو العلاقات أو الكثير من الأسباب الأخرى، وهذا الأمر يؤثر بدوره على صحة الإنسان، وعلى الرغم من ذلك، كثير من الإنسان لم يعلموا أن القراءة فيها أثر عظيم في تخفيف التوتر وتخليصك منه.

  كلما قرأت كثيرًا، تعلمت مصطلحات وكلمات جديدة تضيفها إلى موسوعتك. هذا الأمر يساعد في إثراء اللغة لديك. وإضافة إلى ذلك، يعمل هذا الأمر على تسهيل تعمل اللغات الأخرى المختلفة وزيادة حصتك من المصطلحات اللغوية .هذا الأمر ينطبق بشكل أساسي على قصص الألغاز، فهي تساعدك في التفكير من أجل حل اللغز ومتابعة الأحداث.القيام بمثل هذا الأمر من شأنه أن يساعدك في تعزيز مهارات التفكير لديك، ويفتح أفاقك بشكل أكبر.

  وخلاصة القول ، ينبغي علينا  الاستفادة المثلى من وقتنا مثل القراءة والمداولات والدراسة. من خلال القراءة ، سنحصل على مدخلات من مختلف فروع المعرفة ، ثم نتمكن من تطبيقها.

،وحدة البحث وتطبيق اللّغة
،لجنة الثقافة
اتحاد الطلبة الكلنتانيين بمصر ٢٠٢١/٢٠٢٠

محمد وفيق عمران بن روسزينل
كلية الشريعة الإسلامية
جامعة الأزهر الشريف

Muat turun PDF Risalah Nadi Ukkaz Siri-6 : فوائد القراءة في حياتنا

INIKAH ERTI KEMERDEKAAN

INIKAH ERTI KEMERDEKAAN

446 tahun. Satu tempoh yang begitu lama tanah air kita dijajah. Semestinya kemerdekaan yang dikecapi memberikan nafas yang lega dan semangat baharu kepada penduduk tanah melayu seluruhnya. Tanggal 1957, kita sudah mendapat kemenangan yang amat besar dan bersejarah iaitu kemerdekaan daripada penjajah.

Merdeka. Ia membawa erti kebebasan dan pemerintahan sendiri tanpa campur tangan atau diambil alih oleh kuasa asing. Seperti kita sedia maklum, banyak kuasa dunia yang cuba meluaskan kuasa mereka. Antaranya dengan cara menakluki tanah melayu demi kepentingan mereka. Namun, perajurit dan pemimpin kita sanggup berkorban demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat. Merdeka, kebebasan daripada kuasa asing sudah kita kecapi.

Siapalah yang tidak mengenali Tungku Abdul Rahman Putra al-Hajj, bapa kemerdekaan tanah air dan Perdana Menteri pertama Tanah Melayu. Gelarannya yang disandang sudah kita fahami dan hayati. Usahanya mendapatkan kemerdekaan daripada ratu Elizabeth di London amat besar dan agung. Sehingga kini kita hidup berdikari atas tanah air kita sendiri. Marcapada, Malaysia tanah air kita diberi nama.

Namun, timbul satu persoalan daripada insan bergelar rakyat. Apatah lagi jika mereka daripada golongan sejarawan atau yang mengetahui dan mempelajari sejarah negara. Persoalan yang diajukan kepada semua rakyat negara berkaitan erti kemerdekaan sebenar. Secara zahirnya, pada tahun 1957, kita sudah menurunkan bendera kuasa luar dan mengangkat bendera kita serta sudah mengiktiraf kemerdekaan.

Kendatipun begitu, negara kita masih lagi mengamalkan ideologi sekularisme, satu pemikiran penjajah seperti keadaan sebelum merdeka. Adakah ini dikatakan satu kemerdekaan? Hebatnya Malaysia yang pernah dijajah mendapat kemerdekaan. Namun hakikatnya kita masih dijajah dengan jajahan pemikiran.

Zaman ini, zaman generasi baharu. Ini bukanlah era untuk mengangkat senjata dan menyimpan tawanan perang. Dek kerana itulah jajahan pemikiran menjadi satu strategi berkesan menggantikan perang fizikal. Negara kita berjaya mendapatkan semula kuasa di tanah air namun masih lagi berfikiran dengan gaya pemikiran penjajah. Sekularisme merupakan ideologi pemikiran yang mengasingkan antara kuasa pemerintahan daripada agama. Inilah yang diterapkan oleh penjajah suatu ketika dahulu dan merupakan satu faktor terbesar penjajahan.

Kemerdekaan bukan semata-mata kebebasan. Walau bebas, tetapi kita masih terikat dengan undang-undang agama. Misalnya, seorang banduan yang keluar daripada penjara, bukan bermakna dia bebas melakukan apa sahaja seperti mencuri dan merompak. Akan tetapi, bebasnya itu seperti orang ramai iaitu bebas berjalan ke mana sahaja, makan tanpa mengira waktu, boleh berjumpa dengan sesiapa sahaja serta aktiviti lain-lain yang sedemikian orang awam biasa. Sekularisme secara mudah didefinisikan sebagai konsep atau ideologi bahawa harus ada pemisahan antara agama dengan institusi atau badan negara. Semestinya itu bukan tindakan yang wajar.

Dalam agama Islam, sudah diajarkan cara berpolitik, cara hukuman penjenayah, perkahwinan, ibadat, urus niaga kewangan, cara bergaul sesama manusia dan sebagainya. Oleh itu, ideologi sekularisme tidak patut diberi peluang untuk bertampuk di negara Malaysia yang kita sayangi ini. Bukan sahaja pemimpin, rakyat juga perlu mendokong dan mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi sama ada kemerdekaan secara fizikal daripada musuh mahupun berbentuk ideologi dan pemikiran negatif seperti sekularisme.

Tuntasnya, kemerdekaan yang kita kecapi ini hasil daripada perjuangan orang-orang terdahulu. Jadi kita perlu berganding bahu dan mempertahankan serta melindungi nikmat yang kita sudah kecapi.

Rujukan:
Wikipedia: Sejarah kemerdekaan Tanah Melayu
Youtube: Ceramah kemerdekaan

Muhammad Ammar Fikri bin Sayuti.
Kuliah Syariah Islamiah.
Universiti al-Azhar, Kaherah.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat Siri 477 – Inikah Erti Kemerdekaan

SIHATKAH SAYA?

SIHATKAH SAYA?

   “Zara (bukan nama sebenar), aku sedih. Entah kenapa sejak kebelakangan ni rasa tak selesa nak berinteraksi dengan orang ramai. Mudah rasa lemah badan dan tertekan.” Luahannya itu kubaca dan cuba fahami. Bukan sekali dia menghadapi situasi sebegitu rupa. Mungkin ini masanya untuk meyakinkan sahabat kesayanganku ini supaya berikhtiar menjalani rawatan kesihatan mental sekiranya benar sangkaanku padanya ini.

Pernahkah anda berhadapan dengan situasi berikut? Atau mungkin episod dan kisahnya berbeza.

*****

Apakah maksud kesihatan mental?

Kesihatan mental merupakan kebolehan seseorang individu menyedari potensinya, boleh berdaya tindak terhadap tekanan kehidupan, bekerja dengan proaktif dan boleh menyumbang kepada masyarakat. Keadaan kesihatan mental individu boleh berubah melalui rangsangan faktor luaran dan dalaman. Antara faktor masalah kesihatan mental ialah:

  • Genetik.
  • Bahan kimia dalam otak dalam keadaan abnormal atau tidak stabil.
  • Salah guna dadah.
  • Keadaan penyakit yang memiliki simptom yang sama atau meningkatkan masalah kesihatan mental.
  • Keadaan stress yang berpanjangan juga boleh menyebabkan masalah mental.
  • Faktor luaran dan dalaman. Akronim STRES:
Faktor Luaran (Ekstrinsik) Faktor Dalaman (Personal)
Suasana persekitaran: Perubahan COVID-19 dan stigma masyarakat sekeliling. Support system yang hilang, tidak mampu Serasi/adaptasi dengan suasana baharu.
Trauma: Penderaan fizikal, keganasan rumah tangga dan pembulian. Temperament/personality: ‘Perfectionist’ terhadap gerak tindakan dan pengurusan masa.
Relationship: Konflik dalam perhubungan kekeluargaan mahupun persahabatan. Rehat yang tidak mencukupi serta aktiviti fizikal yang terbatas.
Ekonomi yang terjejas: Hilang pekerjaan dan sumber pendapatan. Ekspektasi (dalaman dan luaran)
Sistem pendidikan: Sosial media. Self control dan self esteem yang rendah dan kurang keyakinan diri.

 

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 154-156, yang bermaksud:

“Sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

Antara tip-tip penjagaan kesihatan mental ialah SMILE:

  1. Self-control, Skills, Self-talk.
  • Bijaksana menganalisa masalah, tenang, mempunyai kawalan diri serta emosi yang stabil dalam menangani stress atau tekanan.
  • Persediaan kemahiran komunikasi, pengurusan tekanan emosi, masa dan latih diri untuk bercakap atau melakukan perkara yang positif, serta tidak lupa untuk menghargai diri sendiri.
  1. Muslim First, Mindful Gym, Me Time
  • Tingkatkan kecerdasan spiritual dan sangkaan baik terhadap Allah SWT.
  • Banyakkan zikrullah, relaksi, manfaatkan masa dengan hobi kegemaran.
  1. Ilmu, Idea
  • Ilmu merupakan perisai diri dan membantu pengurusan hidup harian di samping bijak menjaga hubungan baik sesama manusia.
  1. Look, Listen, Link
  • Kenali sahabat, bahasa kasih sayang dalam hubungan dan kenali tanda-tanda
  • Jadi pendengar yang baik, beri kepercayaan dan dapatkan bantuan nasihat daripada kaunselor/doktor sekiranya gejala semakin serius dan menganggu fungsi harian.
  1. Kawalan Emosi, Empati, Ekspresi
  • Selami perasaan atau empati dengan keadaan orang lain, luahkan perasaan dan dapatkan bantuan nasihat.
  • Cari ‘positive circle’ dan ‘support system’ serta belajar merasa bahagia dalam memberi.

Masalah kesihatan mental tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia mampu meragut nyawa sekiranya tidak mendapatkan rawatan dan pantauan pakar. Sekiranya anda mendapati sahabat mahupun ahli keluarga mengalami tekanan hidup, sekurang-kurangnya hulurkanlah bantuan, pinjamkan telinga  mendengar rintihannya dan cuba cari solusi penyelesaian masalah yang dihadapi.

Pernahkah kalian mendengar perkataan swacinta? Swacinta ialah perbuatan menghargai diri, mengutamakan kebahagiaan diri, kesihatan mental dan fizikal melebihi apapun. Pesananku buat diri dan sahabat seperjuangan, dalam kita berkorban dan memanifestasi erti menjadi sebaik-baik manusia, jangan lupa tentang kesihatan diri. Mana mungkin diri yang sakit dapat terus berbakti dan memberi yang terbaik. Moga Allah reda.

Aimi Syuhada binti Mizam
Tahun 4 Kuliah Perubatan
Universiti Al-Azhar

Muat turun PDF Risalah Kesihatan Siri 103 – Sihatkah Saya