INIKAH ERTI KEMERDEKAAN

INIKAH ERTI KEMERDEKAAN

446 tahun. Satu tempoh yang begitu lama tanah air kita dijajah. Semestinya kemerdekaan yang dikecapi memberikan nafas yang lega dan semangat baharu kepada penduduk tanah melayu seluruhnya. Tanggal 1957, kita sudah mendapat kemenangan yang amat besar dan bersejarah iaitu kemerdekaan daripada penjajah.

Merdeka. Ia membawa erti kebebasan dan pemerintahan sendiri tanpa campur tangan atau diambil alih oleh kuasa asing. Seperti kita sedia maklum, banyak kuasa dunia yang cuba meluaskan kuasa mereka. Antaranya dengan cara menakluki tanah melayu demi kepentingan mereka. Namun, perajurit dan pemimpin kita sanggup berkorban demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat. Merdeka, kebebasan daripada kuasa asing sudah kita kecapi.

Siapalah yang tidak mengenali Tungku Abdul Rahman Putra al-Hajj, bapa kemerdekaan tanah air dan Perdana Menteri pertama Tanah Melayu. Gelarannya yang disandang sudah kita fahami dan hayati. Usahanya mendapatkan kemerdekaan daripada ratu Elizabeth di London amat besar dan agung. Sehingga kini kita hidup berdikari atas tanah air kita sendiri. Marcapada, Malaysia tanah air kita diberi nama.

Namun, timbul satu persoalan daripada insan bergelar rakyat. Apatah lagi jika mereka daripada golongan sejarawan atau yang mengetahui dan mempelajari sejarah negara. Persoalan yang diajukan kepada semua rakyat negara berkaitan erti kemerdekaan sebenar. Secara zahirnya, pada tahun 1957, kita sudah menurunkan bendera kuasa luar dan mengangkat bendera kita serta sudah mengiktiraf kemerdekaan.

Kendatipun begitu, negara kita masih lagi mengamalkan ideologi sekularisme, satu pemikiran penjajah seperti keadaan sebelum merdeka. Adakah ini dikatakan satu kemerdekaan? Hebatnya Malaysia yang pernah dijajah mendapat kemerdekaan. Namun hakikatnya kita masih dijajah dengan jajahan pemikiran.

Zaman ini, zaman generasi baharu. Ini bukanlah era untuk mengangkat senjata dan menyimpan tawanan perang. Dek kerana itulah jajahan pemikiran menjadi satu strategi berkesan menggantikan perang fizikal. Negara kita berjaya mendapatkan semula kuasa di tanah air namun masih lagi berfikiran dengan gaya pemikiran penjajah. Sekularisme merupakan ideologi pemikiran yang mengasingkan antara kuasa pemerintahan daripada agama. Inilah yang diterapkan oleh penjajah suatu ketika dahulu dan merupakan satu faktor terbesar penjajahan.

Kemerdekaan bukan semata-mata kebebasan. Walau bebas, tetapi kita masih terikat dengan undang-undang agama. Misalnya, seorang banduan yang keluar daripada penjara, bukan bermakna dia bebas melakukan apa sahaja seperti mencuri dan merompak. Akan tetapi, bebasnya itu seperti orang ramai iaitu bebas berjalan ke mana sahaja, makan tanpa mengira waktu, boleh berjumpa dengan sesiapa sahaja serta aktiviti lain-lain yang sedemikian orang awam biasa. Sekularisme secara mudah didefinisikan sebagai konsep atau ideologi bahawa harus ada pemisahan antara agama dengan institusi atau badan negara. Semestinya itu bukan tindakan yang wajar.

Dalam agama Islam, sudah diajarkan cara berpolitik, cara hukuman penjenayah, perkahwinan, ibadat, urus niaga kewangan, cara bergaul sesama manusia dan sebagainya. Oleh itu, ideologi sekularisme tidak patut diberi peluang untuk bertampuk di negara Malaysia yang kita sayangi ini. Bukan sahaja pemimpin, rakyat juga perlu mendokong dan mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi sama ada kemerdekaan secara fizikal daripada musuh mahupun berbentuk ideologi dan pemikiran negatif seperti sekularisme.

Tuntasnya, kemerdekaan yang kita kecapi ini hasil daripada perjuangan orang-orang terdahulu. Jadi kita perlu berganding bahu dan mempertahankan serta melindungi nikmat yang kita sudah kecapi.

Rujukan:
Wikipedia: Sejarah kemerdekaan Tanah Melayu
Youtube: Ceramah kemerdekaan

Muhammad Ammar Fikri bin Sayuti.
Kuliah Syariah Islamiah.
Universiti al-Azhar, Kaherah.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat Siri 477 – Inikah Erti Kemerdekaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *