PATRIOTISME DALAM ISLAM

PATRIOTISME DALAM ISLAM

CINTA TERHADAP TANAH AIR MENGIKUT GARIS PANDUAN ISLAM

Islam amat menggalakkan umatnya untuk menzahirkan cinta terhadap tanah air. Bahkan al-Quran juga ada menyebut beberapa ayat yang berkaitan dengan kenegaraan seperti kewajipan patuh kepada pimpinan, syura dan hukuman terhadap pesalah.

Namun begitu, perlu kita perhalusi cinta ini agar tidak disalah faham dan bertentangan dengan syariat. Cinta yang sebetulnya akan menjadikan kita sayang terhadap negara dan rela berkorban demi menegakkan Islam dalam negara. Namun, apabila kita terlalu sayangkan negara kita sehingga memandang rendah kepada negara lain dan menganggap negara  kita sahaja yang perlu diangkat, ini adalah fahaman nasionalisme.

APAKAH KEPENTINGAN CINTA TERHADAP TANAH AIR?

Agama Islam tidak terlepas dari mengajak umatnya untuk menanamkan rasa cinta kepada negara. Ini juga menjadi bukti bahawa agama ini merupakan agama yang sempurna kerana merangkumi semua aspek kehidupan manusia dari sekecil-kecil perkara seperti membaca doa makan sehingga perintah menjaga kedaulatan negara. Buktinya juga, kita boleh melihat adanya pembahagian khusus dalam ilmu fiqh kontemporari yang membicarakan tentang negara seperti fiqh siyasi (politik) dengan pelbagai perbahasan di dalamnya yang diajarkan oleh Islam.

Penting juga untuk mempunyai cinta terhadap tanah air kerana perkara tersebut akan melahirkan rakyat yang berjiwa besar. Suka untuk saya menukilkan kisah daripada al-Quran dalam surah al-Taubah ayat 92.

Ketika itu Rasulullah SAW meminta pasukan untuk menyertai perang bersama Baginda. Datanglah sekelompok sahabat yang ingin turut serta namun kerana ada keuzuran, mereka tidak dapat turut serta dalam peperangan tersebut. Al-Quran menyebutkan bahawa mereka berpaling pergi dengan air mata yang jatuh bercucuran di pipi kerana tidak dapat bersama mempertahankan agama dan tanah airnya. Lihatlah, cinta terhadap tanah air mampu menjatuhkan air mata seorang yang berjiwa patriotik.

BAGAIMANA CARA MEMUPUK PATRIOTISME?

Terdapat banyak cara untuk memupuk rasa patriotisme dalam diri kita. Sebagai seorang Islam, wajarlah kita menjadikan Rasulullah SAW sebagai qudwah. Umum mengetahui bahawa Rasulullah SAW menerima perintah hijrah dari tanah airnya Mekah, ke Madinah untuk kepentingan agama yang lebih besar. Hal ini kerana keadaan semasa tanah airnya menghalang Islam disebarkan dengan luas kerana mereka menghadapi tentangan yang amat dahsyat.

Namun dengan takdir Allah SWT, Rasulullah SAW telah berjaya membuka semula Mekah dalam peristiwa bersejarah Fathu Mekah dan berusaha membersihkan tanah kelahirannya itu daripada semua kotoran syirik dan kufur. Perkara yang perlu digariskan di sini ialah kita perlu berusaha menghilangkan kejahilan di tempat kita dalam usaha memupuk patriotisme.

Kita juga boleh membaca dan mengkaji sejarah tanah air berkenaan peristiwa-peristiwa yang berlaku dan para tokoh yang terlibat. Kisah Tok Janggut yang dihukum bunuh oleh British dan diarak mengelilingi Kota Bharu perlu diinsafi dan boleh menimbulkan rasa syukur dalam diri kita kerana kita tidak perlu melalui zaman-zaman getir sebelum merdeka.

KESAN HILANGNYA PATRIOTISME DALAM KALANGAN MASYARAKAT

Kini, sudah hampir tujuh dekad negara kita melakar takdir sendiri. Setiap kali menjelang 31 Ogos, pasti sejarah tanah air kita diulang-tayang di televisyen dan melalui penceritaan nenek kepada cucunya demi menyemaikan rasa cinta generasi baharu kepada negara Malaysia.

Namun, kita perlu mengakui bahawa semakin jauh generasi ini dengan tarikh kemerdekaan, semakin pudar kesedaran mereka untuk menyayangi tanah air.

Seseorang yang tidak mempunyai sikap patriotik dalam dirinya akan menjadi seorang yang egois. Golongan ini hanya mementingkan kepentingan dan keselesaan diri sendiri daripada kepentingan negara. Contohnya, orang begini akan bermudah-mudah dalam membuang sampah merata-rata dan melanggar undang-undang yang ditetapkan kerajaan asalkan hajatnya tercapai. Walhal, sikap yang dilihat kecil ini akan memberikan kesan buruk kepada masyarakat dan seterusnya kepada kemakmuran negara.

Selain itu, kurangnya rasa patriotik dalam diri akan menyebabkan seseorang lebih berbangga dengan budaya asing dan tidak ingin mengangkat martabat negaranya. Apabila negara asing yang lebih maju dilihat hebat, maka mereka akan berusaha mengikut semua budaya, adat dan bahasa negara tersebut untuk kelihatan gah juga. Perkara ini juga menyebabkan kelemahan penggunaan bahasa ibunda dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri.

Sebagai penutup, Islam sangat berkait rapat dengan sikap patriotik. Islam yang benar bersikap wasatiy iaitu pertengahan. Kita sebagai umat Islam khususnya, perlulah membezakan cinta yang benar kepada negara mengikut garis yang ditetapkan oleh agama agar tidak berlaku zalim kepada manusia lain. Bukankah kita semua digalakkan hidup dengan aman damai walaupun berbeza warna kulit dan I’tikad?

(یَـأَیُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرࣲ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوباً وَقَبَاۤىِٕلَ لِتَعَارَفُوۤا۟ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِیمٌ خَبِیرٌ)

[Surah al-Hujurat: 13]

Maksudnya: “Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti.”

Nik Nur Humaira’ binti Nik Yusri
Kuliah Usuluddin
Universiti al-Azhar, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Penerangan Siri-5: Patriotisme Dalam Islam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *