RISALAH UBS SIRI-5: FIKRAH YANG MURNI MELAHIRKAN KEPERIBADIAN YANG MULIA

FIKRAH YANG MURNI
MELAHIRKAN KEPERIBADIAN YANG MULIA

   Suatu tajuk yang cukup sinonim dalam kalangan kita sebagai penuntut ilmu. Jom kita fahami apa itu fikrah? Dan apa itu fikrah yang murni?

Fikrah dalam kamus al-Miftah bermaksud intelektual, mental atau ideologi. Manakala fikrah yang murni sebagaimana yang kita faham, merupakan pemikiran yang suci, bermatlamat akhirat dan membimbing seseorang insan kepada iman yang teguh. Lantas melahirkan keperibadian yang mulia dalam jiwa setiap insan sama ada daripada latar belakang keluarga atau di bentuk dengan ilmu pemahaman yang selari dengan syariat Islam.

Allah SWT berfirman:

صِبْغَةَ اللّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدونَ

Maksudnya: “Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: (agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah) celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepada-Nyalah kami beribadat.”
(Surah al-Baqarah: Ayat 138)

   Berdasarkan dalil ini, dapat kita fahami bahawa hanya Islam adalah  agama yang diredai Allah SWT. Agama Islam yang berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah menjadi teras kepada lahirnya pemikiran yang suci.

Mungkin timbul persoalan, bagaimana membentuk fikrah yang murni?

  • Kita mestilah berpegang dengan akidah yang benar. Syarat pertama bagi seseorang yang mengaku dirinya beragama Islam dan menjadikan Islam sebagai cara hidupnya. Pegangan ini selari dengan apa yang terkandung di dalam Kitabullah dan Sunnah. Begitu juga Salafus-Soleh dan para imam yang mempunyai kefahaman yang mendalam lagi bersih dalam urusan agama.
  • Selain itu, kita perlulah mendalami ilmu pengetahuan yang digariskan oleh ulama. Sesuatu pengetahuan boleh membentuk satu fikrah. Menyelusuri pengetahuan para pejuang rabbani ada menyebutkan dalam kitabnya 12 cabang pengetahuan yang kita perlu tahu pada zaman sekarang yang meliputi ilmu turath dan kontemporari dalam Islam. Sebagai contoh, ilmu berkaitan tilawah dan kajian Islam masa kini.

Seterusnya, kewajipan kita mempunyai ideologi yang murni adalah untuk menjadi benteng daripada terikut dengan fahaman yang sesat. Terdapat dalam hadis Nabi Muhammad SAW:

عن عوف بن مالك، قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: افترقت اليهود على إحدى وسبعين فرقةً، فواحدةٌ في الجنة وسبعون في النار، وافترقت النصارى على اثنتين وسبعين فرقةً، إحدى وسبعون في النار وواحدة في الجنة، والذي نَفْسُ محمَّدٍ بيده لَتَفْتَرِقَنَّ أمتي على ثلاث وسبعين فرقة، فواحدة في الجنة، واثنتان وسبعون في النار، قيل: يا رسول الله من هم؟ قال: الجماعة. (رواه أبو داود وابن ماجة)

Maksudnya: Daripada Auf bin Malik melaporkan, Nabi Muhammad SAW berkata: “Orang-orang Yahudi berpecah kepada 71 kumpulan. Satu kumpulan masuk syurga dan 70 kumpulan ke neraka. Orang Nasrani berpecah kepada 72 kumpulan. 71 kumpulan ke neraka, satu kumpulan ke syurga. Sesungguhnya umatku berpecah kepada 73 kumpulan. Satu puak ke syurga dan 72 kumpulan ke neraka.” Lalu ditanya, “Wahai Rasulullah, siapakah mereka itu?” Nabi SAW berkata, “Mereka adalah yang berada dalam Jemaah.”
(HR Abu Daud dan Ibnu Majah)

   Kini, amaran Nabi Muhammad SAW benar-benar berlaku. Jika umat Islam memandang ringan pada ajaran Islam dan mengasingkan diri daripada jemaah, akhirnya mereka mudah terpengaruh dengan fahaman yang sesat. Sesungguhnya musuh Islam sanggup berkorban apa sahaja untuk menyesatkan umat Islam.

Kesimpulannya, kewajipan kita mempunyai fikrah yang murni adalah ke arah kesatuan kefahaman. Kesatuan ketika meredah jalan ‘Amal Islami ini dan menjauhi perdebatan yang  sia-sia akan membawa kita kepada pembentukan suatu negara Islam dan inilah matlamat terakhir kita, melahirkan negara yang mengamalkan sistem Islam sepenuhnya sekaligus meraih pengampunan dan rahmat Allah SWT.

Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “…Negerimu adalah negeri yang baik (tenteram) dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun.”
(Surah Saba’: Ayat 15)

    Mudah-mudahan dengan memiliki fikrah yang murni iaitu menghayati seluruh ajaran Islam, dapatlah kita ikut jejak langkah Rasullullah SAW yang pada dirinya terpancar ikutan yang baik.

Allah SWT berfirman:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِيْ رَسُوْلِ اللّٰهِ اُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَنْ كَانَ يَرْجُوا اللّٰهَ وَالْيَوْمَ الْاٰخِرَ وَذَكَرَ اللّٰهَ كَثِيْرًاۗ

Maksudnya: “Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan yang banyak mengingat Allah.”
(Surah al-Ahzab: Ayat 21)

 Rujukan:
1. Apa Ertinya Saya Menganut Islam.
2. Menyelusuri Pengetahuan Para Pejuang Rabbani.
3. Fahaman dan Ideologi Umat Islam.
4. Risalah Ta’alim.

Disediakan oleh:
Nurul Ain Najihah binti Ahmad Pekeri,

Kuliah Bahasa Arab,
Universiti al-Azhar, Kaherah.

Muat Turun PDF Risalah UBS Siri 5- Fikrah Yang Murni

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *