PENYAKIT ‘AIN DAN DOA PELINDUNG DIRI

PENYAKIT ‘AIN DAN DOA PELINDUNG DIRI

 DEFINISI PENYAKIT PENYAKIT ‘AIN

    Penyakit ‘Ain adalah penyakit yang tidak asing bagi umat Islam. Penyakit ini merupakan gangguan yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai oleh perasaan iri dan dengki. Ibnu Qayyim rahimahullah berkata: “Sekelompok orang yang tidak mengerti dalil naqli dan ‘aqli akan mengingkari kewujudan penyakit ‘Ain. Mereka berkata, itu hanyalah ilustrasi yang hakikatnya tidak wujud. Sedangkan bagi mereka yang memahami dalil ‘aqli dan naqli tidak akan menyangkal kewujudan penyakit ‘Ain sekalipun mereka berselisih akan kesan yang disebabkan oleh penyakit ‘Ain. Bagaimana kita melihat seseorang yang jatuh sakit dan hilang kekuatannya ketika dipandang, merupakan antara kesan penyakit ‘Ain kepada manusia. Hal ini kerana, penyakit ‘Ain berkait rapat dengan kekuatan mata sehingga kesannya disebut sebagai penyakit ‘Ain (mata).

Hakikat kepada penyebaran penyakit ‘Ain bukanlah dari mata tersebut, tetapi kesan yang dialami adalah kesan dari pandangan yang dipenuhi perasaan hasad dan kebencian. Hal ini kerana, individu yang dipenuhi hasad dalam dirinya dapat menyakiti orang yang ia dengki. Oleh kerana itu, Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya untuk memohon perlindungan dari kejahatan orang yang dengki.

Kedengkian merupakan penyebab utama terjadinya penyakit ‘Ain kerana sesungguhnya jiwa yang dengki akan menimbulkan permusuhan, kekejian terhadap individu yang ia dengki sehingga kedengkian itu memberi kesan yang zahir terhadap orang yang dituju. Salah satu contoh yang mudah bagi penyakit ‘Ain adalah ular. Racun yang tersimpan di dalam tubuhnya hanya akan disemburkan apabila ia memiliki keinginan yang tinggi, iaitu kekuatan amarah yang keji dan menyakiti ketika bertemu musuh yang mana akan menyebabkan racun di dalam tubuh ular tersebut akan keluar dan disemburkan kepada sesiapa yang dikehendakinya. Wujud dalam kalangan ular yang kekuatannya begitu kuat sehingga mengakibatkan keguguran janin, sebagaimana sabda Rasulullah SAW mengenai ular hitam yang berbelang putih dan berekor kudung: ‘..iaitu ular jenis ini mampu membutakan penglihatan dan menggugurkan janin”.

Dikisahkan dari Ummu Salamah, bahawa ketika Rasulllah SAW melihat anak perempuannya yang masih kecil dengan wajahnya yang cenderung berwarna hitam kerana saf’ah, lalu baginda bersabda: “Dia terkena ‘ Ain, ruqyahlah dia”.

   Saf’ah merupakan suatu tanda dari tanda syaitan, atau satu pukulan dari syaitan yang menyebabkan bekas bundar di wajah seseorang berwarna hitam atau kuning.

PERBEZAAN PENYAKIT ‘AIN DAN HASAD

Penyakit ‘Ain merupakan sebahagian dari hasad dan hasad merupakan sesuatu yang lebih umum daripada penyakit ‘Ain. Golongan yang menyebarkan penyakit ‘Ain merupakan golongan yang memiliki hasad dengki dalam diri mereka, namun belum tentu mereka yang memiliki sifat hasad akan menyebarkan penyakit ‘Ain.

Hasad merupakan sifat yang wujud kerana benci, iri hati dan menginginkan nikmat atau kelebihan hilang dari orang yang ia dengki. Berbeza dengan penyakit ‘Ain, ia wujud kerana perasaan kagum dan takjub. Penyakit ‘Ain boleh menyerang sesiapa sahaja termasuk tuan dan hartanya, haiwan, tumbuh-tumbuhan, bahkan sesuatu yang telah mati mampu untuk diserang penyakit ‘Ain. Oleh itu, seorang muslim apabila melihat sesuatu yang membuatnya kagum, dia digalakkan untuk mendoakan keberkatan bagi pemiliknya, seperti sabda Rasulullah SAW: “Jika seseorang dari kalian melihat pada diri saudaranya sesuatu yang menakjubkan, maka doakan keberkatan baginya, kerana penyakit ‘Ain itu benar-benar ada”.

DOA YANG DIANJURKAN BACA UNTUK MENGELAKKAN DARIPADA TERKENA PENYAKIT ‘AIN.

 بسم الله ما شاء الله

أُعِيْذُكَ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ. اَللَّهُمَّ بَارِكْ فِيْهِ وَلَا تَضُرَّهُ

“Aku berlindung dengan kalimat Allah yang sempurna dari segala gangguan syaitan, binatang melata/serangga, dan segala pengaruh mata jahat. Ya Allah, limpahkanlah keberkatanMu padanya dan hindari dia dari perkara yang memudaratkannya”.

Demikian adalah sedikit pengetahuan mengenai penyakit ‘Ain. Semoga kita sentiasa terhindar dan dilindungi oleh Allah SWT dari penyakit ‘Ain.

Wallahu’alam.

 Aisyah binti Kamarul Zaman
Kuliah Usuluddin, Universiti al-Azhar, Kaherah.

Muat Turun PDF Risalah Fajar Jumaat Siri 479 – Penyakit ‘Ain dan Doa Pelindung Diri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *