RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 480 – KEPENTINGAN WAKAF DALAM ISLAM

KEPENTINGAN WAKAF DALAM ISLAM

Ajaran Islam menjanjikan kebahagiaan dunia akhirat buat umatnya yang patuh dan taat akan perintah Allah SWT. Secara hakikatnya, manusia diciptakan sebagai spesies yang bersosial, tidak dapat hidup bersendirian tanpa saling menjalinkan hubungan sesama mereka. Maka, dalam lapangan muamalat ini, Islam datang untuk memperelokkan hukum yang dijalankan sesama mereka bagi memastikan muamalat yang dibuat patuh syariah dan tiada unsur tipu daya.

Wakaf merupakan salah satu bentuk muamalat yang dijalankan sesama manusia. Ia memberi kefahaman kepada kita bahawa perlu meletak sesuatu harta kepunyaan kita kepada milik Allah SWT di atas kebaikan dan kebajikan. Kefahamannya amatlah luas dimana kita dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian kita.

Sistem ini mula bertitik-tolak dalam hamparan sejarah Islam bila mana ayat 92 dalam surah Ali-Imran diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW yang memberi maksud:

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

Sahabat jaminan syurga, Sayidina Talhah merupakan seorang yang kaya-raya di bumi Madinah Munawwarah telah memanifestasikan penghayatannya yang membumi terhadap ayat ini dengan mewakafkan sebidang tanahnya, Bairuha iaitu sebaik-baik harta yang dimilikinya. Kini tanah tersebut sekarang telah menjadi sebahagian daripada Masjid Nabawi.

Sistem wakaf ini mampu menjamin kelangsungan keutuhan sesebuah institusi. Lihat sahajalah institusi al-Azhar yang masyhur dengan jolokan “Kiblat Ilmu Umat Islam” ini, mampu terus berfungsi sejak penubuhannya sekian lama sehingga ke hari ini dengan hasil sumbangan wakaf yang disalurkan kepadanya.

Di Malaysia juga, kita telah mula membuka mata dengan peranan wakaf ini misalnya Kementerian Alam Sekitar dan Air di bawah kepimpinan Yang Berhormat Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang telah melancarkan Tabung Wakaf Air Nasional pada 17 Disember 2020 hasil kerjasama kementerian tersebut bersama Yayasan Wakaf Malaysia. Usaha ini membuka peluang kepada rakyat marhaen atau mana-mana syarikat untuk berwakaf mengikut kemampuan masing-masing bagi menjaga kepentingan sejagat dengan menambah baik pengurusan infrastruktur air kepada masyarakat awam.

Akhir kalam, saya menganggarkan bidang wakaf ini akan semakin mendapat tempat sama ada dari sudut kajian ilmiah atau praktikalnya secara langsung. Marilah sama-sama kita berlumba ke arah menabur budi kebaikan agar ganjarannya berterusan hingga hari akhirat dan dapat dituai kelak. Semoga Allah SWT menilai setiap amal kebajikan yang telah kita kerjakan.

Muhammad Faisal bin Mohd Kamaruzaman
Kuliah Ulum Islamiah

Muat turun pdf Risalah Fajar Jumaat Siri 480 – Kepentingan Wakaf Dalam Islam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *